Monday, September 17, 2012


Tujuan entry ini adalah untuk menyambung perbincangan berkaitan pengambilan tanah di Pengerang, iaitu di dalam daerah Kota Tinggi, Johor.

Pada 16 September 2012, penulis pulang ke kampung halaman (Pengerang) kerana menerima jemputan dari Persatuan AnakPengerang. setiba di sana, lebih kurang jam 4.00 petang, penulis melihat sudah ramai penduduk berhimpun di banguna NGO di Sg. Kapal. perhimpunan itu bertujuan untuk menyampaikan hasrat semua penduduk kampung yang masih tidak berpuashati dengan pentadbiran Negeri yang seolah-olah tidak mengendahkan sura penduduk Pengerang. Semua penduduk diberi peluang untuk berucap dan memberikan pandangan masing-masing. Ada yang mohon kaji semula jumlah pampasan agar lebih setimpal dan memberi kegembiraan kepada penduduk.


AKTA PENGAMBILAN TANAH 1960

TUJUAN:


Esei ini disediakan adalah bertujuan untuk:-

(a). menerangkan secara ringkas konsep-konsep penting yang terdapat didalam Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT); dan
(b) membincangkan peruntukan perlindungan terhadap hartanah dibawah Perlembagaan Persekutuan (PP) dan keperluan undang-undang didalam APT 1960.
Malaysia adalah merupakan sebuah negara demokrasi yang menjunjung tinggi hak-hak asasi kemanusiaan. Diantara hak asasi manusia yang didukong tinggi ialah hak untuk bersuara, berparti politik dan memilikki hartanah, sekadar menyebut beberapa contoh.

Didalam kontek pemilikan hartanah, Artikel 13 PP menegaskan bahawa tiada seorangpun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada sesuatu undang-undang boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta dengan paksa tanpa membayar pampasan yang mencukupi.

APT adalah merupakan satu set undang-undang yang digubal khas untuk mengambil balik tanah milik dengan syarat iaitu dipatuhi segala peruntukan yang sedia ada dan pembayaran pampasan yang mencukupi dibuat. Sayogia diingatkan penggunaan APT tidak boleh diamalkan sewenang-wenangnya.


1. LATAR BELAKANG

Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT), Akta 34 telah mula berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia semenjak 13.10.1960. Akta ini telah melalui beberapa proses pindaan sejak mula ia berkuatkuasa. Pada tahun 1992, Akta ini telah disemak semula dan ia dikenali sebagai APT 1960, Akta 486.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan (PP), item 2(d), Senarai Negeri, Jadual Ke 9, tanah adalah di bawah bidang kuasa eksekutif Kerajaan Negeri. Walaubagaimanapun artikel 76 (4) PP membenarkan Parlimen menggubal satu undang-undang tanah dengan tujuan untuk keseragaman dan kesamaan polisi diantara Negeri. Justru APT 1960 telah digubal oleh Parlimen, akan tetapi kuasa-kuasa eksekutif didalamnya masih lagi dipegang oleh pihak Negeri.
Tujuan utama APT ini ialah untuk memproses pengambilan balik tanah dan membayar pampasan yang mencukupi”. Maka pengwujudannya adalah selaras dengan kehendak artikel 13(2) PP, yang menyatakan “tiada undang-undang yang boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau mengguna harta benda dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi”.


2. SUMBER KUASA

APT 1960 memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk mengambil tanah milik yang diperlukan:-
(a). untuk sesuatu maksud awam;
(b). oleh mana-mana orang atau badan bagi apa-apa maksud yang pada pendapat PBN adalah berfaedah untuk pembangunan ekonomi Malaysia atau mana-mana bahagian daripadanya atau kepada orang ramai amnya atau mana-mana kelas orang ramai; atau
(c). untuk tujuan perlombongan atau kediaman, pertanian,perdagangan, industri atau tujuan rekreasi ataupun kombinasi daripada tujuan-tujuan tersebut.


3. PROSEDUR PENGAMBILAN:

Oleh kerana APT itu sendiri adalah merupakan undang-undang prosedural, maka untuk mendapatkan penerangan yang lebih jelas mengenai kandungan APT , adalah bertepatan sekali perbincangan mengenainya dibuat dengan cara melihat bagaimana prosedur pengambilan balik tanah dijalankan. Pada kasarnya dan untuk tujuan penulisan esei ini, proses asas pengambilan dapat dibahagikan kepada tiga keadaan iaitu:-
(a) Pra pengambilan
(b) Pengambilan
(c) Pasca Pengambilan
Tiap-tiap keadaan ini adalah saling berkaitan dan perlu difahami dengan sepenuhnya bagi mendapatkan gambaran yang jelas tentang tatacara pengambilan balik tanah dibuat dan perlu dipatuhi sepenuhnya sebelum melangkah ke keadaaan yang seterusnya.


4. PRA PENGAMBILAN

Didalam peringkat ini terdapat beberapa aktiviti/gerak kerja yang penting iaitu permohonan, pemeriksaan dan pengwartaan tanah yang hendak diambil balik. Permohonan boleh terus dibuat kepada Pihak Berkuasa Negeri dan Pejabat Tanah dimana tanah yang hendak diambil balik terletak.
Didalam keadaan-keadaan tertentu dimana sesuatu tanah itu perlu diperiksa atau disiasat terlebih dahulu sebelum dipastikan kesesuaiannya bagi sesuatu projek dan juga untuk mengelakkan perlakuan tidak jujur oleh pihak yang berkepentingan untuk menuntut bayaran pampasan yang berlebihan, maka tindakan pengwartaan dibawah seksyen 4 adalah sesuai sekali.
Apabila kelulusan dibawah S. 4 ini telah diperolehi daripada PBN, pemberitahuan dalam Borang A hendaklah disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri. Disamping itu Pentadbir Tanah (PT) hendaklah juga menyiarkan kepada pihak awam mengenai notis dalam Borang A itu dengan cara menampal ditempat tempat tertentu.
Jika didapati adalah perlu siasatan tanah yang lebih terperinci dilakukan, Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG) boleh mengeluarkan surat kebenaran didalam Borang B, membenarkan mana-mana orang atau pegawai untuk memasuki tanah tersebut bagi membuat kajian kesesuaian tanah.
Jika sesuatu tanah telah dipastikan untuk diambil bagi sesuatu projek dan pemeriksaannya tidak diperlukan ataupun sudah diwartakan dibawah seksyen 4, maka tindakan seterusnya ialah mengisytiharkan dibawah pengambilan dibawah seksyen 8.
Dalam hal ini PT akan menyediakan kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan diiringi dengan Borang C dan D yang mengandungi senarai lot lot tanah, nama pemilik tanah, keluasan yang diambil dan juga pelan pengambilan. Setelah mendapat kelulusan PBN, pengisytiharan dibawah seksyen 8 hendaklah disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri dengan menggunakan Borang D.
Sebaik sahaja diisytiharkan dalam warta kerajaan, sebagaimana yang dikehendaki oleh seksyen 9, PT hendaklah menandakan atau menyebabkan ditanda kawasan yang terlibat dengan pengambilan diatas tanah itu melainkan jika ini telah dilakukan dengan memuaskan hati PT. Juga PT dikehendaki membuat nota atau menyebabkan dibuat nota tentang pengambilan di atas dokumen hakmilik yang berkaitan.


5. PENGAMBILAN

Selepas itu dibawah seksyen 10, PT akan mengeluarkan Notis Awam dalam Borang E yang menetapkan tarikh siasatan, tempat dan masa bagi mendengar segala tuntutan pampasan keatas tanah yang terlibat.
PT boleh menunda siasatan-nya atau menangguhkan perbicaraannya dari semasa ke semasa. Sebab-sebab penundaan atau penangguhan itu hendaklah direkodkan.
PT diberikuasa untuk mendapatkan laporan bertulis mengenai nilaian tanah dan juga untuk memanggil dan memeriksa saksi-saksi, mentadbir sumpah atau pengakuan dan memaksa supaya dokumen-dokumen (termasuk dokumen hakmilik keluaran dan dokumen-dokumen lain yang membuktikan hakmilik) dikemukakan dan diserahkan kepadanya.(seksyen 13). Setelah selesai membuat siasatan dibawah seksyen 12, PT hendaklah menyediakan award bertulis didalam Borang G bagi tanah yang terlibat dan mmmenyatakan jumlah pampasan yang perlu dibayar bagi setiap orang yang terlibat mengikut kepentingan masing-masing. Setiap award ini hendaklah difailkan dan merupakan bukti muktamad yang mengikat keputusan PT.
Setelah membuat award bertulis, PT hendaklah membuat tawaran pampasan dengan cara menyerah atau menyebabkan diserah notis dalam bentuk Borang H kepada tiap-tiap orang yang berkepentingan.
Pemilikan tanah secara rasmi dibuat di bawah seksyen 22 dengan cara mengeluarkan notis Borang K dengan menyampaikan-nya kepada penduduk tanah itu, jika ianya tidak dijumpai hendaklah mengeposkan notis tersebut. Salinan notis ini hendak-lah juga disampaikan kepada pemilik tanah, orang-orang yang berkepentingan dan agensi pemohon. Juga salinan dihantar kepada pihak berkuasa pendaftaran untuk diendoskan didalam hakmilik tanah yang terlibat.
Apabila Borang K didaftarkan dengan sempurnanya didalam hakmilik maka tanah yang terjadual yang terlibat dengan pengambilan dengan sendirinya menjadi tanah kerajaan.
Penarikan balik pengambilan hanya boleh dibuat sebelum Borang K didaftarkan didalam hakmilik. Penarikan balik pengambilan boleh dibuat di bawah seksyen 35 dan hendaklah diisytiharkan didalam Warta Kerajaan. Akibat daripada penarikan ini PT akan menentukan amaun pampasan yang kena dibayar apa-apa kerosakan pada tanah itu (jika ada).


6. PASCA PENGAMBILAN

Sekiranya pengambilan balik tanah melibatkan sebahagian daripada lot tanah, PT hendaklah mengemukakan permohonan ukur kepada Jabatan Ukur supaya baki lot tanah itu diukur semula. Pindaan cukai tanah ke atas baki lot perlu dibuat berdasarkan anggaran keluasan tanah yang tidak diambil dan dibayar pada tahun kalendar yang berikutnya.
Selepas baki lot diukur oleh Pejabat Ukur, bagi tanah yang dipegang dibawah hakmilik kekal, Pejabat Ukur akan mengeluarkan hakmilik sambungan yang berkaitan dan diserahkan kepada PT/Pendaftar (mana yang berkenaan) untuk dilengkapkan dan didaftarkan. Bagi baki lot yang dipegang dibawah hakmilik sementara, PT dikehendaki membuat pindaan keatas sempadan lot yang baru pada hakmilik berkaitan.
Semasa menjalankan siasatan, adakalanya PT menemui jalan buntu untuk menentukan kesahehan sesuatu hakmilik, suratcara yang dibawa atau pun orang yang layak menerima pampasan. Justru PT dibolehkan membuat rujukan ke Mahkamah dengan menggunakan Borang M sebagaimana dinyatakan dibawah seksyen 36.
Perlu diperhatikan bahawa PT hendaklah berusaha untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum tamat tempoh pengwartaan seksyen 8, iaitu dua tahun bagi membolehkannya membuat tawaran pampasan.
Dibawah seksyen 37 mana-mana orang yang berkepentingan keatas tanah boleh membuat bantahan terhadap :-
(a) ukuran tanah
(b) jumlah pampasan
(c ) siapa yang layak menerima
(d) pembahagian pampasan


7. KESIMPULAN

Demikian secara ringkas tindakan-tindakan utama yang terkandung didalam proses pengambilan balik tanah. Pada peringkat awal, ketentuan mengenai tanah, keluasan yang terlibat, jumlah pampasan dan mereka yang menerima pampasan telah dipastikan. Prosedur-prosedur yang seterusnya selepas itu ialah tindakan-tindakan susulan saperti pindaan cukai, pengeluaran hakmilik sambungan dan pemilikan secara rasmi dibuat. Sesungguhnya pengambilan balik tanah perlu diuruskan secara berhati-hati kerana jika salah urus ia mungkin akan dicabar kesahihannya di Mahkamah. Prinsip asas undang-undang tentang hak individu keatas hartanah perlu didukung, justru itu PT perlulah prihatin dan berwaspada semasa menguruskan pengambilan tanah supaya setiap tindakan yang diambil tidak melampaui Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Wednesday, September 5, 2012

ISU TANAH PENGERANG

Saya terpanggil untuk membuat entry ini disebabkan satu isu yang sedang hangat diperkatakan diperingkat kebangsaan, iaitu Projek RAPID di Pengerang Johor. isu tanah pengerang timbul apabila kerajaan baru-baru ini mengumumkan kadar pampasan yang diberikan kepada penduduk pengerang iaitu sekadar RM2.80 sekaki persegi.

Tidak dinafikan bahawa tanah di pengerang ialah kategori tanah pertanian dan kerajaan mengambilan tanah dgn membayar pampasan mengikut kadar tanah pertanian. timbul pula isu, kerajaan sekarang sudah mula mengerahkan penduduk kampung untuk berpindah ke penempatan yang disediakan, sedangkan penempatan yang disediakan masih belum ada sebuah rumah rumah pun. Bagaimana penduduk nak berpindah? mesranya kerajaan terhadap penduduk pengerang ini? kerajaan berjanji ingin akan menyediakan sebuah rumah bagi setiap keluarga di penempatan baru dan yang menyedihkan kos rumah tersebut akan ditanggung oleh penduduk kampung. inikah yang dimaksudkan "Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan"?

kadar tanah? kini rakyat pengerang sedang memberontak, dan saya fikir kerajaan tahu keadaan ini akan berlaku. Saya yakin harga ini akan berubah sebelum PRU ke-13 nanti. kepada satu kadar yang munasabah. (bersambung)