Wednesday, June 2, 2010

KESAN KONFLIK KELAS KE ATAS PERKEMBANGAN NEGARA MEMBANGUN

1. PENDAHULUAN.

Untuk membincangkan tajuk ini, penulis merasakan perlu dihuraikan terlebih dahulu beberapa istilah yang boleh membantu pembacanya memahami dengan lebih jelas tajuk perbincangan ini. Di permulaan perbincangan, penulis akan cuba memberikan definisi kepada beberapa istilah yang penting. Kemudiannya penulis akan menyorot kembali sejarah di mana tercetusnya idea konflik kelas. Seterusnya penulis akan membincangkan konflik kelas ini di negara sedang membangun di mana kebanyakkannya tidak jelas kelihatan disebabkan kesedaran palsu yang wujud dalam diri kelas bawahan. Penulis juga akan mengambil beberapa contoh negara demokrasi seperti Filipina, dan Malaysia untuk dijadikan contoh kepada perbincangan ini dan kesan konflik kelas kepada pembangunan politik negara.

2. KONLFIK

Istilah konflik ini secara etimologis berasal dari bahasa Latin iaitu “con” yang bermaksud bersama, dan “fligere” yang bermaksud perlanggaran. Secara sosiologinya, konflik bermaksud sebagai suatu proses sosial antara dua orang atau lebih individu atau kelompok manusia di mana salah satu pihak berusaha menyingkirkan pihak lain dengan menghancurkannya atau membuatkan pihak yang satu lagi berasa tidak berdaya menentang.

Dengan demikian konflik dalam kehidupan sosial bermaksud terjadinya perlanggaran kepentingan, pendapat, harapan yang harus diwujudkan dan sebagainya yang paling melibatkan dua pihak atau lebih, di mana tiap-tiap pihak dapat berupa perorangan, keluarga, kelompok kekerabatan, satu komuniti, mahupun satu organisasi sosial pendukung ideologi tertentu, satu organisasi politik, suku bangsa mahupun satu pemeluk agama tertentu.

De Dreu dan Gelfand (2008) menyatakan bahwa conflict as a process that begins when an individual or group perceives differences and opposition between itself and another individual or group about interests and resources, beliefs, values, or practices that matter to. Dari definisi tersebut jelas bahawa konflik merupakan proses yang bermula ketika individu atau kelompok mempersepsi terjadinya perbezaan atau pertentangan antara dirinya dengan individu atau kelompok yang lain mengenai minat dan sumber daya, keyakinan, nilai atau lain-lain lagi.

Robbins (2001) menyebut konflik sebagai a process in which an effort is purposely made by A to offset the efforts of B by some form of blocking that will result in frustrating B in attaining his or her goals or furthering his or her interests. Dalam definisi ini pula jelas menunjukkan bahawa konflik dapat terjadi ketika usaha suatu kelompok dihambat oleh kelompok lain sehingga kelompok ini mengalami tekanan.

Kondalkar (2007) menyatakan bahawa konflik sebagai “as a disagreement between two or more individuals or groups, with each individual or group trying to gain acceptance of its views or objective over others. Dari pendapat ini Kondalkar melihat bahawa konflik merupakan ketidaksetujuan (disagreement) antara dua atau lebih individu atau kelompok yang mana masing-masing individu atau kelompok tersebut mencuba untuk boleh diterima pandangannya atau tujuannya oleh individu atau kelompok yang lain.

Dari beberapa definisi di atas dapat disimpulkan bahawa konflik adalah suatu hasil andaian individu ataupun kelompok yang merasakan wujud perbezaan yang menyebabkan adanya pertentangan dalam ide ataupun kepentingan, sehingga perbezaan ini menyebabkan berlakunya keinginan untuk bertindak untuk mempertahankan ide atau kepentingan.

3. KELAS.

Seterusnya di dalam melanjutkan perbincangan ini, pendekatan kelas boleh digunakan. Asas kepada pendekatan ini adalah dengan melihat terdapatnya struktur dalam masyarakat berdasarkan pegangan, kuasa dan kedudukan ekonomi. Di dalam pendekatan kelas ini, masyarakat dilihat terbahagi kepada dua iaitu kelas pemodal (Borjuis) dan kelas Buruh (proletariat). Kebergantungan proletariat kepada golongan Borjuis telah menjadikan mereka golongan yang inferior kepada Borjuis meskipun jumlah mereka jauh lebih ramai.. Mengapakah ini boleh terjadi? Disebabkan golongan Borjuis ini memiliki sumber pengeluaran dan matlamat golongan Borjuis adalah sentiasa mengejar keuntungan maka mereka amat cenderung dilihat menggunakan eksploitasi dan pemerasan dalam merealisasikan matlamat tersebut dan mengekalkan status-quo.

Oleh kerana Borjuis begitu berpengaruh di dalam ekonomi, masyarakat dan politik, maka mereka dilihat tidak mempunyai masalah untuk menjadikan pemerintah sebagai alat untuk mendominasi dan menindas golongan proletariat dalam apa jua cara demi memastikan matlamatnya tercapai. Golongan pemerintah pula amat bergantung kepada Borjuis ini kerana merekalah yang mendominasi ekonomi negara dan sering menyalurkan bantuan kewangan kepada pemerintah. Demi memastikan kedua-dua pihak mendapat kepentingan, hubungan baik antara Borjuis dan pemerintah tidak dapat dipisahkan. Maka dilihat hubungan yang saling bergantungan ini telah mewujudkan konflik dalam kelas sosial di mana Borjuis terus mendapat perlindungan pemerintah sedangkan proletariat terus ditindas tanpa sedar.

Menurut perspektif kelas, struktur kuasa di dalam sesebuah negara adalah berdasarkan kepada andaian-andaian seperti di bawah iaitu;

1. Kewujudan negara liberal demokratik dalam struktur kelas yang jelas;
2. Kelas-kelas ini wujud dalam keadaan bertentangan dan berkonflik;
3. Pertentangan dan konflik ini tersembunyi atau mungkin tidak disedari oleh rakyat;
4. Peranan negara ialah mengawal konflik ini bagi mengelakkan dominasi kelas pemerintah.

Untuk menjelaskan lagi bagaimana kelas wujud dalam struktur sosial masyarakat, terdapat dua (2) teori yang boleh menjelaskan dengan lebih mendalam iaitu Teori Marxisme dan Teori Komunisme.

4. TEORI MARXISME

Teori yang dihasilkan ini adalah berasal dari idea Marx dan Engels yang dimanifestasikan hasil daripada penulisan mereka. Menurut teori ini terdapat 4 perkara atau ciri-ciri asas yang perlu dikuasai. Asas-asas bagi teori inilah yang akan menerangkan idea sebenar perjuangan Marx dan Engels dan kesemua asas ini perlu di fahami dengan baik.

Asas atau ciri yang pertama ialah eksploitasi kelas. Menurut asas ini, kita diperlihatkan oleh Marx tentang bagaimana pengeksploitasian antara masyarakat atau kelas yang berbeza berlaku. Hal ini dilihat oleh Marx sebagai bibit utama bagi kapitalisme dan perdagangan bebas. Dalam kapitalisme, keuntungan para kapitalis dapat dikecapi dengan perbezaan antara hasil pengeluaran dengan kos pengeluaran yang merangkumi kos tenaga buruh.

Dalam konteks ini dapat diperlihatkan bahawa semakin rendah kos pengeluaran, semakin rendahlah kos tenaga buruh. Hal ini kerana, kapitalisme adalah berasaskan pembayaran yang diberi kepada pekerja yang mana nilainya adalah lebih rendah dari nilai barang yang dihasilkan. Perkara ini menunjukkan betapa rendahnya nilai manusia yang dikawal oleh segolongan yang berkepentingan dalam ekonomi dan kaya atau berkuasa.

Ciri yang kedua pula ialah berkenaan ‘base’ dan ‘superstructure’. ‘Base’ dan ‘superstructure’ ini adalah istilah yang digunakan untuk memahami suatu konsep kehidupan dalam masyarakat yang cuba digambarkan oleh Marx. Idea Marx ini juga cuba memberi gambaran bahawa terdapat kaitan antara dua entiti yang berbeza ini. Akan tetapi apakah takrifan sebenar ‘base’ dan ‘superstructure’ ini dan apakah hubungkaitnya?

‘Base’ menurut Marx adalah kesedaran masyarakat sosial terhadap sesuatu isu yang meliputi semua aspek kemanusian. ‘Superstructure’ pula menakrifkan suatu institusi yang wujud sama ada institusi politik mahupun perundangan. Teori Marxism ini memperlihatkan bagaimana kesedaran ini akan mewujudkan sebuah intitusi yang bergerak. Hal ini kerana, mereka melihat bahawa ‘base’ hanya sekadar organisasi sosial yang cuma mampu berfikir dan perubahan itu hanya dapat berlaku melalui sebuah badan yang berorganisasi yakni ‘superstructure’ atau institusi itu tadi.

Berdasarkan perkara ini, kita dapat mengetahui bahawa ‘base’ dan ‘superstructure’ ini saling bergantungan dalam aspek kehidupan seharian. Marx juga sering menggunakan contoh pengeluaran sesebuah produk dalam penghasilan sesebuah barangan asas. Namun begitu, perkara ini tetap sama dengan kedua-duanya saling bergantungan antara satu sama lain dalam mempelopori kehidupan.

Ciri seterusnya adalah berkenaan dengan kesedaran kelas atau ‘class consciousness’. Kesedaran kelas bermaksud kesedaran sesebuah masyarakat mengenai kepentingan diri dan masyarakat mereka dan juga disekeliling mereka. Kesedaran ini terbentuk dengan mereka mengetahui bahawa mereka adalah kalangan masyarakat yang berupaya dan mempunyai kapasiti dari segi tenaga dan bilangan bagi memperjuangkan segala kehendak mereka. Signifikannya, kesedaran kelas ini adalah asas yang paling penting untuk mencetus dan menjayakan sebuah revolusi.

Dalam konteks kehidupan masyarakat, pembahagian masyarakat kepada kelas-kelas sosial adalah berdasarkan tahap kekayaan atau kekukuhan ekonomi sahaja. Walau bagaimanapun, Marx berpendapat bahawa sesebuah kelas atau struktur sosial itu dapat dikelaskan dengan berdasarkan hubungan mereka dengan kaedah pengeluaran dan pembuatan. Hal ini menunjukkan bagaimana Marx melihat bahawa kelas itu mampu diubah atas dasar keupayaan, kapasiti atau bilangan majoriti dan ini mampu menggerakkan satu perubahan struktur masyarakat dan ini yang cuba dijelaskan bahawa revolusi boleh berlaku dengan timbulnya kesedaran kelas.

Ciri yang terakhir bagi teori Marxism ini ialah kesedaran palsu masyarakat atau ‘false consciousness’. Dalam ‘The German Ideology’ karya Marx, beliau menghuraikan tentang kesedaran palsu dan bagaimana perkara ini diterapkan dalam masyarakat. Menurutnya, lapisan masyarakat ‘superstructure’ telah menggunakan kekayaan dan kekuasaan mereka untuk memberi kesedaran palsu kepada masyarakat. Istilah “carrot and stick” sangat sesuai untuk dijadikan analogi bagi situasi ini. Dengan cara ini, masyarakat bawahan digula-gulakan oleh golongan atasan tentang keadaan ekonomi, status kehidupan masyarakat dan lain-lain dengan menyembunyikan kebenaran sebenar.

Hanya dengan cara ini, masyarakat dapat ditenangkan supaya mereka merasakan bahawa pembangunan dan kesenangan dapat mereka kecapi melalui sistem kapitalisme walhal mereka mendapat keuntungan yang terlalu sedikit berbanding golongan yang mengula-gulakan mereka yakni golongan masyarakat ‘superstructure’. Golongan ini bertindak hanya untuk kepentingan individu dan masyarakat mereka dengan mengaut segala keuntungan yang ada. Bagi masyarakat yang kurang peka dan prihatin, inilah bahana yang sering menimpa mereka.

Melalui pendekatan teori ini, kita dapat mengetahui bahawa tujuan sebenar Marx ialah untuk menyedarkan masyarakat yang terkongkong dan dieksploitasi berdasarkan kedudukan mereka. Marx membawa teori melalui kesemua ciri-ciri ini hanya dengan satu matlamat akhir yakni untuk membangkitkan kesedaran rakyat bawahan bahawa mereka sering ditindas oleh masyarakat atasan. Demikianlah juga dengan idea dan perjuangan Marx untuk menghapuskan kelas masyarakat dan membawa satu konsep kesamarataan.

5. KELAS SOSIAL MENURUT MARX

“... those individuals who sell their labour power, and who, in the capitalist mode of production, do not own the means of production...” (Engels & Marx 1848)

Kata-kata di atas adalah pengelasan yang dibuat oleh Marx untuk satu golongan yang dinamakan proletariat. Golongan ini adalah tulang belakang kepada sistem pengeluaran dalam ekonomi dan merupakan golongan majoriti. Ini disebabkan mereka adalah golongan yang tidak mempunyai modal, kilang, alat-alat industri dan hanya merupakan buruh dalam sektor tersebut. Dalam sistem kapitalis, golongan ini sentiasa dieksploitasi oleh satu lagi golongan dengan pelbagai syarat-syarat tertentu.

“... those who own the means of production and buy labour power from the proletariat, thus exploiting the proletariat...” (Engels & Marx 1848)

Siapakah golongan yang menindas proletariat tadi? Menurut Marx seperti di atas, mereka ini boleh dikenali sebagai golongan Borjuis. Penjelasan di atas menghuraikan betapa golongan ini mengeksploitasi proletariat kerana mereka mempunyai modal, kilang serta jentera dan membeli tenaga buruh proletariat. Hal ini kerana proletariat adalah tidak berkemampuan dan oleh itu mereka dibeli oleh bourgeoisie untuk menjalankan proses pengeluaran.

6. TEORI KELAS

Seperti yang telah dibincangkan di atas, teori kelas yang juga dikenali sebagai teori Marxis menganggap teori pluralis tentang negara bersifat neutral adalah ibarat topeng semata-mata kerana menyembunyikan satu realiti yang membahagikan masyarakat kepada kelas-kelas yang bertentangan dan bertujuan untuk mempertahankan kuasa kelas pemerintah serta sistem hak milik perseorangan. Menurut pespektif kelas; terdapat empat (4) andaian struktur kuasa dalam sesebuah negara iaitu;

3. Pertentangan dan konflik ini tidak disedari oleh rakyat; dan
4. Peranan negara ialah mengawal konflik ini bagi mengekalkan dominasi kelas pemerintah.

Adakah teori ini relevan dalam mengkaji perkembangan politik di negara membangun? Menurut Engels, negara terbentuk adalah mengikut proses evolusi masyrakat dari zaman batu hingga ke zaman moden. Proses ini telah menukar struktur masyarakat daripada primitif kepada kompleks yang melibatkan perubahan peranan masyarakat. Jika dahulu masyarakat berkonflik kerana inginkan perlindungan tempat tinggal, makanan, namun pada zaman sekarang konfik yang berlaku adalah lebih dari itu. Masyarakat inginkan perlindungan tempat tinggal yang lebih selesa dan serba lengkap, makanan yang berkhasiat dan pelbagai pilihan, pendidikan yang menjaminkan pekerjaan, infrastruktur yang serba lengkap serta canggih dan lain-lain lagi. Keadaan ini lebih ketara apabila manusia diperkenalkan kepada sistem pemilikan hak milik persendirian dan mereka yang dapat mempertahankan harta mereka adalah dilihat berkuasa dalam menentukan aturan hidup bermasyarakat dan menindas kelas bawahannya untuk terus berkuasa.

Golongan hartawan ini secara langsung membentuk kelas atasan menjadi lebih berkuasa dalam menentukan aturan hidup dan tidak hairanlah mengapa kelas ini sanggup melakukan apa sahaja khususnya menggunakan kuasa negara untuk mengekalkan struktur kuasa yang ada demi menjaga kepentingan mereka. Gramsci melalui idea hegemoninya menjelaskan bahawa negara adalah instrument kekuasaan bagi kelas pemerintah melalui pemilikan dan penguasaan mereka ke atas proses pengeluaran.

Gramsci menjelaskan lagi betapa pentingnya peranan ideologi pemerintah dalam menentukan struktur ekonomi yang bukan semata-mata dipaksakan ke atas rakyat tetapi diakui dan diterima oleh rakyat dalam rela dan yang paling penting adalah dalam keadaan tidak sedar. Dalam konteks penerimaan ideologi pemerintah ini, hegemoni boleh dikatakan sebagai penaklukan melalui budaya sementara kuasa pula sebagai hegemoni intelektual.

Menurut Vincent (1987) pula teori kelas ini melihat kewujudan negara sebagai alat untuk didominasi oleh kelas kapitalis yang memerintah, tetapi negara ini tidak kekal. Teori kelas kontemporari terus berpegang kepada analisis tentang hubungan eksploitasi di antara kelas yang dominant dan kelas yang tertindas sebagai penyebab konflik social dalam masyarakat. Bagi mengawal konflik , kelas dominant kapitalis mempengaruhi negara supaya menjaga kepentingan golongan kapitalis dan terus menekan golongan bawahan. Negara yang memerlukan modal untuk tujuan pembangunan terpaksa akur dengan kehendak golongan ini dan dengan kuasa ini jugalah golongan pemilik modal mempengaruhi negara untuk mengekalkan struktur sosial yang ada.

Ada yang mentakrif negara ialah sebuah institusi yang melindungi dan mengekalkan status quo yang membolehkan kegiatan ekonomi kapitalis berjalan lancar; negara sebagai arena konflik kelas dan kaum; dan negara juga sebagai alat kelas Borjuis. Pendek kata, negara bukan berkecuali tetapi alat kepada borjuis. Frank (1967) yang mengasaskan teori pergantungan menghujahkan bagaimana negara mundur telah dieksploitasi oleh negara maju sejak penjajahan bermula. Perkembangan dan pembangunan negara mundur juga dikatakan terus bergantung kepada kepada megara maju dari segi modal, teknologi dan pasaran walaupun selepas penjajahan tamat. Maka, jalan keluar dari kemelut ini adalah dengan memutuskan jalinan perhubungan pergantungan di antara negara mundur dan maju.

Namun begitu, bukan semudah itu negara menjadi alat kelas borjuis semata-mata kerana pelbagai kelas sentiasa bersaing dan berlumba-lumba untuk mengawal negara. Dalam konteks ini, muncul teori Poulantzas (1973) tentang negara mempunyai “autonomi relativf” iaitu ia agak bebas daripada kelas yang dominant dari segi ekonomi dan boleh menjalankan kuasa bukan semata-mata untuk kelas tersebut, tetapi untuk seluruh masyarakat.

Menurut beliau, persaingan dalam masyarakat boleh mengancam kestabilan system kapitalis sendiri kerana boleh membawa kepada perubahan social seperti pembentukan kelas dan masyarakat baru, terutamanya apabila kelas tertindas disusun dan dipimpin dengan baik dan dipandu oleh ideology serta pimpinan yang dapat mengatasi masyarakat lama untuk menggantikannya dengan struktur kuasa yang baru. Tetapi negara tetap boleh mendapat manfaat daripada kepentingan yang berbeza ini dengan menggunakan kuasanya untuk menentukan dasar pembangunan yang dapat memberi ruang kepada wujudnya autonomi relatif negara.

Idea Poulantzas ini telah dikembangkan oleh Alavi di dalam kajiannya mengenai peranan negara dalam masyarakat pinggiran. Alavi (1982) mendapati teori Marxis yang melihat negara sebagai mengekalkan penguasaan social yang ada dalam pembentukan kelas dan alat kepada kelas yang dominant sebagai kurang tepat kerana perkembangan ekonomi masyarakat di Asia, Afrika dan Amerika Latin tidak boleh disamakan dengan pengalaman masyarakat Barat.

Melihat kepada kejayaan ekonomi Jepun dan beberapa negara Asia Timur yang lain, mereka telah menggunakan model ‘negara pembangunan’ yang menggabungkan campur tangan kerajaan yang aktif dalam ekonomi dan kerjasama yang erat dengan negara maju telah menunjukkan bahawa dalam masyarakat yang terbahagi kepada kelas dominant dan kelas subordinate, terdapat satu ruang bagi negara untuk memainkan peranan pembangunan seluruh masyarakat, dan bukannya semata-mata untuk golongan dominan sahaja. Inilah yang dimaksudkan dengan autonomi relative apabila ia berupaya melaksanakan matlamat pembangunan dengan tidak semestinya memihak kepada kepentingan kumpulan social atau kelas yang dominant dalam masyarakat, malah berupaya memenuhi kehendak golongan bawahan juga.

7. KONFLIK KELAS

Idea kepada konflik kelas ini dicetuskan oleh Karl Marx melalui teori Marxism di mana wujud kesedaran kelas atau ‘class consciousness’. Kesedaran kelas bermaksud kesedaran sesebuah masyarakat mengenai kepentingan diri dan masyarakat mereka dan juga disekeliling mereka. Kesedaran ini terbentuk dengan mereka mengetahui bahawa mereka adalah kalangan masyarakat yang berupaya dan mempunyai kapasiti dari segi tenaga dan bilangan bagi memperjuangkan segala kehendak mereka. Signifikannya, kesedaran kelas ini adalah asas yang paling penting untuk mencetus dan menjayakan sebuah revolusi.

Namun begitu, disebabkan golongan Borjuis ini mempunyai hubungan yang baik dengan pemerintah, maka kesedaran kelas itu agak tenggelam disebalik kesedaran palsu yang berjaya dimainkan oleh mereka.

8. KONFLIK KELAS NEGARA MEMBANGUN DAN KESANNYA

Sejarah teori kelas ada kaitannya dengan sejarah sistem feudalisme di mana struktur masyarakat mempunyai kelas. Jika sistem feudal melihat golongan Raja adalah golongan tertinggi diikuti golongan bangsawan dan rakyat jelata yang paling rendah di dalam sistem demokrasi juga mempunyai kelas terutamanya negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.

Negara-negara di Asia secara umumnya terkenal dengan kesetiaan sosial mereka terhadap adat dan nilai budaya yang diamalkan. Salah satu nilai sosial yang amat kuat malah masih lagi diamalkan hingga ke hari ini ialah nilai sosial yang menekankan tanggung jawab individu terhadap kumpulan masyarakat yang mereka anggotai. Di Asia, masyarakatnya tidak digalakkan mengamal kebebasan individu kerana ianya dianggap boleh meruntuhkan nilai sosial dan masyarakat yang ada. Malah dalam kebanyakan aturan sosial masyarakat Asia, kebebasan individu diandaikan sebagai satu nilai yang boleh mengundang kekacauan social terhadap kesepaduan masyarakat, manakala fahaman individualisme dianggap pula mengandungi nilai mementingkan diri sendiri yang juga boleh meruntuhkan solidariti struktur masyarakat itu sendiri.(Pye 1985).

Fahaman sedemikian jelas kelihatan dalam masyarakat Asia Tenggara yang mengamalkan ajaran Buddha, seperti di Thailand, Kemboja, laos Vietnam dan Singapura yang mana nilai-nilai daripada ajaran Budhha sentiasa mempromosi nilai pengorbanan individu bergantung sejauh mana individu yang menganggotai masyarakat mampu mempertahankan masyarakat atau negara yang dianggotainya. Nilai ini bertentangan dengan doktrin demokrasi di mana keutuhan, kesepaduan dan kelangsungan sesebuah masyarakat atau negara, bergantung kepada darjah kebebasan individu dalam memilih apa yang terbaik untuk kepentingan individu itu sendiri.

Maka, dalam konteks nilai tersebut lahirlah hubungan yang bersifat penaung-dinaung (patron-client). Apabila disebut istilah penaung-dinaung ini, kita akan terus merujuk kepada golongan yang kaya sebagai penaung dan golongan yang miskin sebagai dinaung. Dari istilah ini telah wujud kelas dalam masyarakat tanpa sedar. Individu yang berkuasa(patron) dalam semua aspek kehidupan iaitu yang mengawal ekonomi berusaha membentuk dan melahirkan seramai mungkin pengikutnya sendiri. Hubungan sosial yang berasaskan penaung-dinaung ini adalah struktur yang asas dalam aspek politik, ekonomi dan sosial di kebanyakan masyarakat Asia Tenggara.

Situasi sosial yang diasaskan daripada nilai-nilai tersebut turut mempengaruhi tingkah laku politik di kebanyakan negara di Asia Tenggara. Dalam masyarakat yang kuat berpegang kepada konsep penaung-dinaung ini, persaingan politik hampir tidak kelihatan. Kesetiaan politik adalah aspek yang amat dituntut oleh setiap penaung daripada individu yang dinaunginya. Malahan aspek ini juga dikekalkan selepas kebanyakan negara Asia Tenggara mencapai kemerdekaan. Amalan demokrasi diwujudkan semata-mata untuk tujuan perhiasan bagi menggambarkan sikap keterbukaan pemerintah terhadap rakyat.

8.1 Filipina

Filipina antara negara terawal di Asia Tenggara yang menerima struktur demokrasi daripada penjajahan barat, namun persaingan dan perkembangan demokrasi Filipina adalah dikuasai oleh tuan-tuan tanah yang bersaing pengaruh politik di antara satu sama lain. Tuan-tuan tanah tersebut telah menggunakan pilihan raya sebagai medan untuk menentukan siapakah yang paling berkuasa di antara mereka dan akhirnya akan membentuk struktur penaung-dinaung yang paling kuat. Maka, tidak hairanlah hingga ke hari ini, parlimen Filipina terdiri daripada kelompok individu yang punya susur galur keturunan tuan tanah.

Dalam konteks demokrasi di Filipina, keturunan tuan tanah dikenali sebagai elit politik yang menguasai ekonomi negara akan menentukan hala tuju demokrasi. Dalam kata lain dalam tempoh semenjak Filipina mendapat status negara Komanwel dari tempoh tahun 1935-1972, demokrasi di Filipina diurus tadbir berasas kepada nilai-nilai tradisional penaung-dinaung. Pada tahun 1972 apabila Ferdinand Marcos menguasai tampuk kerajaan, beliau telah mengubah struktur penaung-dinaung dan sistem demokrasi. Namun, di bawah pemerintahan Marcos ini, persaingan politik seolah-olah tidak wujud. Tambahan lagi semua media akhbar disekat kebebasan dan penyertaan politik oleh masyarakat bawahan (massa) turut dinafikan.

Apa yang dilakukan oleh Marcos pada ketika itu adalah ingin mewujudkan penaung tunggal iaitu beliau sendiri. Hal ini telah menyebabkan beliau berjaya mengawal hubungan sosial dengan beberapa penaung di peringkat daerah dan menuntut kesetiaan politik daripada mereka. Perkara ini telah mencetus kemarahan kelas bawahan kerana tiada kebebasan diberikan kepada mereka dalam bidang politik. Namun begitu rejim Marcos pada ketika itu amat kuat sehingga golongan massa tidak mampu bertindak.

Sistem penaung tunggal yang diamalkan Marcos banyak bersandarkan kepada sejauhmanakah beliau mampu melindungi dan memenuhi tuntutan pengikutnya. Marcos pada ketika itu memberi perlindungan kepada pengikutnya berasakan perlindungan ekonomi. Namun, rejim Marcos tidak kekal lama apabila Filipina mengalami krisis ekonomi pada akhir 1970-an dan awal 1980-an. Beliau tidak lagi mampu menyalurkan bantuan ekonomi kepada pengikutnya. Ini telah menyebabkan penaung kecil (pengikutnya) merasa marah terhadap beliau.

Peristiwa pembunuhan Benigno Aquino Jr oleh Marcos pada tahun 1986 telah diambil kesempatan oleh mengikutnya untuk menamatkan pemerintahan Marcos dengan memberi sokongan kepada Corazon Aquino(mendiang Benigno Aquino). Akhirnya melalui perarakan rakyat, Marcos telah digulingkan.

Dalam pemerintahan Corazon Aquino, beliau telah mengembalikan demokrasi di Filipina dengan mewujudkan dua dewan perundangan iaitu Dewan Senat dan Dewan Perwakilan. Namun begitu, beliau gagal mengubah struktur sosial masyarakat Filipina yang berasaskan penaung-dinaung. Sejarah Filipina ini bukan terhenti setakat itu sahaja, malah selepas Corazon Aquino (1986-1992), diikuti Fidel Ramos (1992-1998), Eric Estrada (1998-2001) dan Gloria Macapagal Arroyo (2001-sekarang) masih menunjukkan kepada kita persaingan pengaruh politik di antara penaung kekal utuh. Kesemua pemimpin yang telah dinyatakan di atas tadi merupakan golongan elit (tuan tanah). Sehingga kini konfik kelas elit dan massa masih berlaku di Filipina disebabkan kegagalan kerajaannya mengekalkan pendekatan penaung-dinaung.

Konflik kelas yang berlaku di Filipina yang berlarutan hingga kini menyebabkan rakyat miskin di luar bandar terus dicengkam kemiskinan tanpa mendapat pembelaan yang sewajarnya dari kerajaan. Ini menyebabkan ada sebahagian rakyatnya menyeludup masuk ke Malaysia bagi mendapatkan pekerjaan secara haram. Apabila kelas bawahan membuat demonstrasi kerana kerajaan dikatakan gagal membantu mereka dalam bidang ekonomi dan pendidikan, maka ia akan mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi negara tersebut. Apabila ekonomi negara tidak stabil, politik negara juga goyah kerana rakyat akan menuding jari kepada kerajaan kerana gagal memacu negara ke arah ekonomi yang lebih maju. Hari ini Filipina bergelut dengan kemiskinan yang serius dan apa yang menariknya, pilihan raya umum Filipina yang dijangkakan pada 10 Mei akan melihatkan kita bagaimana bakal pemerintah yang baru mengurangkan konflik kelas di negara itu dan seterusnya memacu ekonomi Filipina ke tahap yang lebih baik.

8.2 Malaysia

Pada awal kemerdekaan Malaysia, banyak negara yang meragui keupayaan Malaysia untuk mengurus hal kenegaraan dan kemasyarakatan tanpa bantuan British. Ia termasuklah kemajmukan masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum,etnik dan latar budayanya. Disebabkan itu lah pihak british telah membuat perjanjian agar pemimpin politik tempatan yang terdiri dari pelbagai kaum menunjukkan kerjasama politik mereka. Hasilnya tertubuhlah parti UMNO, MCA, dan MIC. Pada tahun 1955 parti Perikatan hasil gabungan UMNO, MCA dan MIC telah memperolehi kemenangan di dalam pilihan raya pertama Malaya.

Namun begitu, rusuhan kaum yang meletus pada 13 Mei 1969 selepas pilihan raya mengandaikan bahawa konsep demokrasi permuafakatan adalah punca kegagalan dalam mentadbir Malaysia. Peristiwa rusuhan kaum tersebut meletus ekoran rasa tidak puas hati kaum Melayu terhadap taraf ekonomi mereka yang jauh ketinggalan berbanding dengan kaum lain khususnya kaum Cina.

Terdapat kata keramat yang sering disebut-sebut oleh pemimpin politik Malaysia iaitu ‘tidur sebantal tapi mimpi lain-lain’. Ini merujuk kepada walaupun ketiga-tiga parti utama negara bergabung di bawah gabungan Barisan Nasional, namun manifesto UMNO tidak sama dengan MCA begitu juga MIC. Bukan sahaja dari parti komponen kerajaan malah parti dalam pakatan rakyat juga meniupkan isu kepentingan parti masing-masing agar sokongan rakyat terus diperolehi. Bermula dari situlah pemimpin parti telah mula meniupkan semangat perkauman di dalam setiap diri ahli parti.

Menurut Huntington (1968) di dalam masyarakat atau negara yang sistem politiknya kuat dipengaruhi oleh elemen primordial(tradisional) sukar untuk diwujudkan sebuah sistem demokrasi tulen sebagaimana yang diamalkan di kebanyakan negara barat. Apa yang ingin penulis sampaikan di sini ialah bagaimana pengaruh tradisional telah menyekat kebebasan rakyat di dalam sistem demokrasi masa kini. Pengaruh tradisional yang dimaksudkan ialah setiap masyarakat haruslah patuh kepada pemimpinnya dan menumpahkan taat setia tanpa rasa berbelah bagi.

Hal ini bertentangan dengan kehendak demokrasi yang membenarkan rakyat menolak pemimpin yang zalim dan tidak menjaga kepentingan rakyat. Kebebasan bersuara juga tidak harus disekat. Konflik kelas elit dan massa sebenarnya telah lama berlaku sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. Namun sikap kepatuhan yang tidak berbelah bagi seperti yang diriwayatkan di dalam kisah Hang Tuah misalnya telah menyebabkan kelas atasan terus bermaharaja lela tanpa rasa tergugat.

Jika diterapkan ke zaman serba moden ini, masih berlaku sikap setia tanpa berbelah bagi. Mengapa ini berlaku? Adakah pemimpin parti yang kebanyakannya terdiri dari ahli korporat amat menjaga kebajikan ahlinya? Adakah manifesto parti menyakinkan ahlinya? Adakah jika menentang pemimpin itu dianggap derhaka? Persoalan-persoalan ini perlu dijawab supaya kita tahu apakah yang menyebabkan masyarakat di Malaysia seolah-olah hilang kesedaran tentang berlakunya konflik kelas antara mereka.

Pertama, kesetiaan rakyat kepada pemimpin ini disebabkan rakyat secara majoriti terdiri daripada golongan kelas bawahan yang pendapatannya rendah sudah tentu mengharapkan sokongan kewangan dan bantuan keperluan hidup dari kerajaan. Maka, sebagai balasan, rakyat ini haruslah menumpahkan taat setianya kepada pemerintah tersebut. Keduanya, media massa masa kini terlalu mengangkat pemerintah dengan mengeluarkan berita-berita tentang sumbangan kerajaan kepada rakyat jelata sedangkan itu adalah tanggungjawab yang harus dilaksanakan pemerintah walupun rakyat tidak memilih mereka. Maka rakyat akan melihat bahawa pemerintah amat menjaga kepentingan dan kebajikan masyarakat dan haruslah berterima kasih kepada kerajaan.

Ketiga, parti politik Malaysia adalah parti berasaskan kaum. Untuk memastikan kedudukan pemimpin ini sentiasa mendapat sokongan rakyat, maka ditiupkan konflik perkauman sehingga melahirkan rasa benci antara satu kaum dengan kaum yang lain. Walupun pada awalnya rakyat sedar tentang kewujudan kelas, namun ianya tenggelam disebabkan isu perkauman yang dimainkan oleh pemimpin parti. Maka rakyat kembali menyokong kepada pemimpin parti bagi memperjuangkan hak mereka.

Menurut Chandra (1979) dan Syed Husin (1968) konflik kelas telah dilitupi oleh konstruksi konflik etnik kerana wujud manipulasi isu etnik yang dimainkan oleh elit pemerintah sekaligus mengaburkan mata dan minda rakyat tentang konflik yang yang sebenar. Jika dilihat sejak Malaysia merdeka, isu seperti kewarganegaraan, hak istimewa orang melayu, kedaulatan institusi di raja dan rizab simpanan melayu sering menjadi isu hingga kini sedangkan perkara tersebut telah dijelaskan dan dimuktamadkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya konflik kelas ini tidak dapat dibendung oleh pemimpin, keselamatan negara turut terjejas di mana akan berlakunya rusuhan seperti 13 Mei. Selain itu juga kesan konflik kelas terhadap negara membangun boleh menyebabkan pelabur akan mengambil tindakan tunggu dan lihat sebelum melabur, kerana jika konflik kelas ini tidak diselesaikan dengan berkesan ianya akan memberi kesan buruk terhadap perniagaan mereka.

KESIMPULAN

Secara sedar atau tidak, konflik kelas sememangnya berlaku di dalam kebanyakan negara di Asia Tenggara kerana elemen primordial yang kuat. Namun begitu kejayaan Jepun menangani konfik dilihat sebagai satu kejayaan bagi sebuah negara membangun. Konflik kelas yang berlaku di antara golongan pemodal dan bawahan tercetus apabila tiada keseimbangan ekonomi dan penindasan yang dilakukan oleh golongan atasan.

Negara yang mempunyai autonomi relatif berupaya melaksanakan matlamat pembangunan dengan memenuhi kehendak golongan bawahan juga. Kemuncak kepada konflik kelas ialah apabila golongan bawahan ini mula sedar adanya jurang di antara kelas atasan dan bawahan di mana kelas atasan sentiasa mengeksploitasi mereka. Golongan ini mampu bertindak dengan melancarkan demonstrasi ke atas golongan atasan jika terpaksa. Bagi mengawal konflik ini, maka golongan kelas atasan akan menggunakan negara sebagai alat di mana melalui hegemoni. Konsep Penaung-dinaung juga dilihat menjadi pencetus berlakunya konflik kelas selain kepergantungan negara membangun terhadap negara maju.

KONFLIK KELAS

Monday, May 10, 2010

SEJARAH PENUBUHAN ASEAN

1. PENGENALAN

Sebelum penubuhan ASEAN sebenarnya sudah terdapat beberapa cubaan lebih awal untuk mewujudkan pertubuhan serantau walaupun tidak dianggotai oleh keseluruhan negara Asia Tenggara. Paling awal adalah cubaan untuk menubuhkan Association of South East Asia (ASA) pada bulan Julai 1961. ASA pada ketika itu dianggotai oleh hanya tiga buah negara iaitu Malaysia, Thailand dan Filipina. Sejak awal penubuhannya, pertubuhan ini menghadapi masalah terutama dari segi keanggotaannya yang agak terhad. Di samping itu ASA juga dituduh sebagai sebuah pertubuhan yang pro-Barat. Masa depan ASA musnah dengan pembentukan Malaysia dalam tahun 1963 apabila Filipina menentang penubuhan persekutuan baru ini kerana mendakwa Sabah sebagai sebahagian wilayah mereka. Indonesia kemudiannya turut memburukkan lagi keadaan apabila melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia.

Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) telah ditubuhkan pada tahun 1967 oleh negara-negara pengasas yang terdiri daripada Malaysia, Filipina, Singapura, Indonesia dan Thailand. Pada tahap ini anggota ASEAN menerajui wawasan bahawa setiap negara di Asia Tenggara bekerjasama secara aktif ke arah keamanan, kestabilan, kemajuan serta kesejahteraan rantau tersebut. Ini merupakan satu wawasan yang berani memandangkan keadaan di Asia Tenggara pada masa itu yang amat terpisah akibat konflik ideologi dan peperangan.

Terputusnya hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Manila (1962), konfrantasi Malaysia – Indonesia (1963), pemisahan Singapura daripada Malaysia (1965), Perang Vietnam dan Revolusi Kebudayaan di Negara China, kesemuanya telah memisah dan menimbulkan rasa sangsi di kalangan negara di rantau itu. Namun dengan usaha gigih negara-negara anggota, ASEAN telah ditubuhkan bagi menyediakan rangka kerja dan mekanisma untuk kerjasama serantau melalui Deklarasi ASEAN di Bangkok pada 8 Ogos 1967.

“Pertubuhan ini mewakili kehendak bersama negara-negara Asia Tenggara untuk bersatu dalam semangat persahabatan serta kerjasama dan melalui usaha serta pengorbanan bersama memastikan keamanan dan kesejahteraan untuk setiap rakyat”.

Deklarasi ASEAN 8 Ogos 1967

2. SEJARAH PENUBUHAN ASEAN

Pada hakikatnya usaha ke arah kerjasama serantau telahpun bermula selepas Perang Dunia Kedua dengan terbentuknya beberapa kesatuan atau pakatan di antara negara-negara di Asia tenggara. Di peringkat ini kerjasama serantau adalah ke arah usaha bagi mengekalkan kestabilan politik dan memulihkan ekonomi yang musnah akibat peperangan. Namun jangka hayat pertubuhan serta pakatan ini adalah singkat oleh kerana konflik antara negara anggota. Di antara pertubuhan yang dibentuk pada masa itu ialah pertubuhan Asia tenggara (ASA), MAPHILINDO, dan The Asian and Pasific Council (ASPAC).

2.1 ASA

Pada 30 Julai 1961, ASA telah dibentuk hasil pertemuan Menteri-menteri Luar Tanah Melayu, Filipina dan Thailand di Bangkok. Tujuan utama pembentukannya ialah untuk meningkatkan kerjasama sosio-ekonomi, kebudayaan serta pentadbiran. Walau bagaimanapun ASA telah gagal bertahan lama akibat daripada kelemahan struktur organisasi serta konflik yang kian memuncak di antara negara-negara anggota terutamanya tuntutan Filipina ke atas Sabah dan konfrantasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1963.

2.2 MAPHILINDO

MAPHILINDO telah ditubuhkan pada 31 Julai 1963 hasil cadangan Presiden Macapagal dari Filipina dan dianggotai oleh Malaya, Filipina dan Indonesia. Namun akibat daripada timbulnya konflik dalaman dan luaran antara negara-negara anggota telah membawa kepada kegagalan MAPHILINDO. Penubuhan Malaysia telah membawa tentangan hebat daripada Filipina yang menuntut haknya ke atas Sabah yang didakwa sebagai wilayah warisan Kesultanan Sulu. Begitu juga Indonesia yang turut menentang oleh kerana adanya cita-cita Presiden Sukarno untuk mewujudkan “Indonesia Raya” melalui penggabungan semua kepulauan Melayu. Pembentukkan Malaysia dilihat sebagai halangan utama cita-cita beliau dan dianggap sebagai satu bentuk Imperialisme dan dasar Kolonialism barat ke atas negara-negara di Asia Tenggara. Konflik semakin nampak dengan pemisahan Singapura daripada Malaysia di atas alasan perbezaan sistem dan keinginan untuk mencapai kemerdekaan. Lantaran itu akibat konflik yang berlanjutan, MAPHILINDO akhirnya turut berkubur.

2.3 ASPAC

Tahun 1966 menyaksikan pembentukan satu lagi pertubuhan baru iaitu ASPAC yang dianggotai oleh Malaysia, Filipina, Thailand, Australia, Jepun, Taiwan, New Zealand, Korea Selatan dan Vietnam Selatan. Tumpuan pertubuhan ini ialah untuk menggalakkan kerjasama serantau di dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan di kalangan negara-negara Asia Pasifik. Seperti pertubuhan lain, ASPAC juga mengalami kegagalan, oleh kerana pertubuhan ini dikatakan tidak menggambarkan kerjasama serantau yang sebenarnya dengan adanya keanggotaan negara luar dari Asia Tenggara. Pada tahun 1975, ASPAC telah dibubarkan, namun ia telah memberi idea bagi pembentukan pertubuhan kerjasama serantau yang lebih mantap di Asia Tenggara.

3. SENARIO POLITIK

Beberapa senario politik di Asia Tenggara pada pertengahan tahun 1960 an telah menjadi faktor pendorong ke arah pembentukan pertubuhan serantau. Tercetusnya perang Vietnam pada tahun 1965 telah menyedarkan negara-negara di Asia Tenggara tentang peri pentingnya kerjasama dan perpaduan serantau bagi mengelakkan campurtangan kuasa luar. Perubahan pucuk pimpinan di Indonesia yang seterusnya menamatkan konfrantasi Malaysia-Indonesia telah berjaya mengurangkan ketegangan di Asia Tenggara. Begitu juga dengan perlantikan Marcos sebagai Presiden Filipina telah mendinginkan isu tuntutan ke atas Sabah.

Justeru ini memungkinkan lagi wujudnya kerjasama sosio-ekonomi di kalangan negara-negara serantau. Ini ditambahkan lagi dengan keinginan untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai kawasan aman dan stabil serta bebas daripada campurtangan kuasa-kuasa besar yang mahu meluaskan pengaruh masing-masing.

4. PENUBUHAN ASEAN

Hasil daripada senario politik yang telah dinyatakan satu perbincangan rasmi telah diadakan di antara wakil kerajaan Malaysia, Indonesia, dan Thailand di Bangkok pada 29 Mei hingga 1 Jun 1966. Tujuan perbincangan ini adalah untuk mewujudkan hubungan dan kerjasama yang lebih erat di kalangan negara-negara Asia Tenggara. Perbincangan seterusnya di antara menteri-menteri Luar Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina dan Thailand pada awal tahun 1967 di Bangkok telah merintis jalan ke arah pembentukan satu pertubuhan kerjasama serantau. Akhirnya ASEAN telah ditubuhkan melalui Deklarasi Bangkok pada 8 ogos 1967 dengan tujuan utama untuk mewujudkan kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan demi kestabilan dan keamanan rantau Asia Tenggara. Keahlian ASEAN pada ketika itu hanyalah lima buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, dan Thailand.

5. OBJEKTIF PENUBUHAN ASEAN

ASEAN ditubuhkan dengan matlamat utama untuk kepentingan bersama serta mewujudkan kerjasama serantau dari segi politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan. Melalui konsep kolektif ini, negara-negara anggota ASEAN berkongsi tanggungjawab untuk memajukan tingkat sosio-ekonomi dan memastikan kestabilan serta keamanan serantau yang bebas daripada ancaman dan pengaruh kuasa luar.

Deklarasi Bangkok yang ditandatangani pada 8 Ogos 1967 telah menggariskan objektif utama ASEAN iaitu :-
Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan pembangunan kebudayaan serantau melalui usahasama dalam semangat keamanan dan persahabatan demi mengukuhkan keamanan dan kesejahteraan seluruh komuniti di Asia Tenggara.

Mewujudkan keamanan dan kestabilan serantau menghormati keadilan dan undang-undang di dalam hubungan antara negara serta mematuhi prinsip-prinsip carta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Mewujudkan kerjasama aktif dan saling membantu ke atas perkara-perkara kepentingan bersama dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan, teknikal, saintifik dan pentadbiran.

Mengadakan kerjasama yang lebih berkesan untuk meningkatkan lagi aktiviti pertanian dan industri, meluaskan perdagangan dan komoditi antarabangsa, meningkatkan pengangkutan serta komunikasi dan taraf rakyat.

Menggalakkan kajian tentang Asia Tenggara.

Mengekalkan kerjasama erat dengan organisasi antarabangsa dan serantau yang mempunyai matlamat sama serta mencari jalan merapatkan lagi kerjasama dengan mereka.

6. STRUKTUR ORGANISASI ASEAN

6.1 ASEAN Heads of Government
Ia merupakan kuasa tertinggi di dalam ASEAN diwakili oleh persidangan Ketua-ketua kerajaan ASEAN yang digelar sebagai ASEAN Summit atau persidangan Kemuncak ASEAN. Ia merupakan persidangan formal yang diadakan setiap tiga tahun sementara persidangan secara tidak formal diadakan sekali di antara persidangan formal.

6.2 ASEAN Ministerial Meeting (AMM)
Ia merupakan persidangan bagi Menteri-menteri Luar ASEAN. Persidangan ini dijalankan setiap tahun di mana ianya bertanggungjawab di dalam membentuk garis panduan dasar-dasar dan aktiviti-aktiviti ASEAN.

6.3 ASEAN Economic Ministers (AEM)
Ia dibentuk semasa Persidangan Kemuncak di kuala Lumpur pada tahun 1977. Ia bersidang setiap tahun secara formal atau tidak formal untuk mengarah kerjasama ekonomi ASEAN.

Terdapat banyak lagi badan yang telah ditubuhkan di bawah struktur ASEAN seperti; Joint Ministerial Meeting (JMM), ASEAN Standing Committee (ASC), Senior Officials Meeting (SOM), Senior Economic officials Meeting (SEOM) dan banyak lagi.

7. PERSIDANGAN KEMUNCAK ASEAN (ASEAN SUMMIT)
7.1 Persidangan Kemuncak ASEAN Pertama
ASEAN SUMMIT yang pertama telah diadakan di Bali, Indonesia pada 23-24 Februari 1976. Persidangan ini telah mencapai beberapa resolusi dan kejayaan. Di antaranya ialah ;
Ø Pengisytiharan ASEAN CONCORD
Di dalam pengisytiharan ini apa yang dapat dipersetujui oleh negara-negara ASEAN pada ketika itu ialah menegakkan komitmen mereka terhadap Deklarasi Bandung, Bangkok, Kuala Lumpur dan Piagam PBB. Selain itu, ASEAN CONCORD juga berusaha mewujudkan keamanan, kemajuan dan kemakmuran di kalangan rakyat negara anggota. Ianya juga mahu meluaskan kerjasama ASEAN dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan dan politik di kalangan negara anggota ASEAN.

Ø Treaty of Amity and Coorporation in SEA
Di dalam perjanjian ini ia menekankan usaha mewujudkan keamanan dan kestabilan dengan menghormati undang-undang di dalam perhubungan mereka. Selain itu perjanjian ini juga menekankan penyelesaian perselisihan melalui cara-cara aman seperti rundingan damai dan sebagainya. Di dalam perjanjian ini turut menekankan tentang kerjasama di antara Negara-negara di Asia Tenggara dan Negara-negara luar perlu diperluaskan.

Ø Pembentukan Sekretariat ASEAN (ASEAN Secretariat)
Sekretariat ini telah dibentuk melalui perjanjian yang ditandatangani oleh menteri-menteri luar ASEAN semasa Persidangan Kemuncak di Bali pada tahun 1976. Sekretariat ini bertujuan untuk meningkatkan penyelarasan dan implementasi dasar-dasar, projek-projek dan aktiviti badan-badan di bawah ASEAN. Pernyataan misinya mencerminkan semangat dan matlamat Persidangan Kemuncak ke-4 iaitu ke arah memperkukuhkan serta memperhebatkan lagi kerjasama di kalangan Negara anggota ASEAN. Terdapat 4 biro di dalam Sekretariat ASEAN iaitu ;
1. Biro AFTA – bertanggungjawab menguruskan hal-hal berkaitan dengan “ASEAN Free Trade AREA”
2. Biro Kerjasama Ekonomi (Bureau of Economic Cooporation)- menangani perkara-perkara berkaitan dengan pelaburan, kewangan, perbankan, makanan, pertanian, pengangkutan, tenaga dan lain-lain lagi.
3. Biro Kerjasama Fungsional (Bureau of Functional Cooporation) - bertanggungjawab menggariskan dan menyelaras implementasi pelan bertindak berhubung dengan sains dan teknologi, alam sekitar, kebudayaan dan maklumat, pembangunan sosial serta pengawalan penyalahgunaan dadah.
4. Biro Kerjasama dan Perhubungan Dialog ASEAN (Bureau for ASEAN Cooporation and Dialogue Relations) - bertanggungjawab melaksanakan sistem penilaian projek yang diguna pakai oleh Jawatankuasa tetap ASEAN.

7.2 Persidangan kemuncak ASEAN Kedua
Diadakan di Kuala Lumpur pada 4-5 Ogos 1977 di mana resolusi yang dicapai ialah dengan pembentukan ASEAN Economic Ministers (AEM). Selain itu Ketua-ketua ASEAN bersetuju untuk memanggil menteri-menteri lain yang relevan di dalam ASEAN Ministerial Meeting (AMM).

7.3 Persidangan kemuncak ASEAN Ketiga
Ianya telah diadakan di Manila pada 14-15 Disember 1987 dan resolusi yang dicapai ialah dengan terbentuknya Joint Ministerial meeting (JMM),
Senior Officials Meeting (SOM), Senior Economic Officials Meeting (SEOM), dan Joint Consultative Meeting (JCM). Selain itu persidangan kali ketiga ini turut meminda terhadap Treaty of Amity and Cooporation in SEA(TAC) bagi menampung kemasukan Papua New Guinea dan lain-lain negara di Asia Tenggara.

7.4 Persidangan Kemuncak ASEAN Keempat
Persidangan kemuncak ini telah diadakan di Singapura pada tahun 1992. di antara resolusi dan kejayaan yang dicapai ialah terbentuknya Majlis AFTA(AFTA Council) yang bertujuan untuk menyelenggara, menyelaras dan menilai semula Common Effective Preferential Tariff (CEPT) Scheme. Selain itu persidangan kemuncak kali keempat ini juga bertujuan untuk mencapai kata sepakat untuk memperteguhkan lagi Sekretariat ASEAN supaya ia dapat menyokong inisiatif persidangan ini dengan efektif. Ia juga mencapai resolusi iaitu memperhebatkan lagi kerjasama ekonomi ASEAN bagi menampung pertumbuhan dan pembangunan ASEAN.

7.5 Persidangan Kemuncak ASEAN Kelima
Persidangan Kemuncak ASEAN kelima ini telah berlangsung pada 14 dan 15 Disember 1995 di Bangkok. Di antara kejayaan persidangan ini ialah termeterainya perjanjian Treaty on the SEA Nuclear Weapon – Free Zone atau Zone of Peace Freedom, and Neutrality (ZOPFAN). Selain itu ia memastikan keamanan dan keselamatan antarabangsa melalui ‘nuclear disarmament’. Persidangan kelima ini juga melakar sejarah apabila ianya merupakan pertemuan pertama di antara ketujuh-tujuh Ketua Negara ASEAN dengan Ketua Negara Kemboja, Laos dan Myanmar selepas kemasukan Brunei dan Vietnam sebagai anggota ASEAN. Pada persidangan yang keenam Kemboja telah diterima sebagai anggota kesepuluh ASEAN.

8. KERJASAMA POLITIK DAN KESELAMATAN SERANTAU ASEAN
Isu politik dan keselamatan telah membawa kepada beberapa resolusi penting yang digunapakai oleh negara anggota ASEAN. Di antaranya ialah Zon of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN), Treaty of Amity and Cooperation in SEA (TAC), Declaration of ASEAN CONCORD dan Treaty on the South East Asia Nuclear Weapon-Frees Zone (SEANWFZ).

ZOPFAN misalnya telah diisytiharkan dalam tahun 1971 dengan menekankan semangat keamanan serta komitmen ASEAN untuk menjadikan rantau ini bebas daripada sebarang campurtangan negara luar rantau. TAC pula merupakan ‘a code of international conduct’ yang memberi garis panduan perhubungan di antara negara-negara di rantau ini mengikut ketetapan Piagam PBB. ASEAN Concord pula yang diisytiharkan pada 1976 mengandungi prinsip-prinsip serta rangka kerja bagi kerjasama ASEAN dalam bidang politik, keselamatan, ekonomi dan fungsional. Sementara SEANWFZ merupakan sumbangan ASEAN ke arah usaha mengadakan perlucutan senjata nuklear sepenuhnya.

8.1 ASEAN Regional Forum (ARF)
ARF telah dibentuk pada tahun 1994 dan berperanan sebagai forum perundingan bertujuan ke arah mewujudkan ‘preventive diplomacy’ dan membina keyakinan di kalangan negara-negara di Asia Pasifik. Forum ini diwakili oleh sembilan ahli anggota ASEAN, Kemboja sebagai pemerhati, sepuluh sekutu dialog serta Papua New Guinea sebagai pemerhati jemputan. Senior Official Meeting (SOM) untuk ARF (ARF SOM) juga telah diadakan bagi menyediakan sokongan dan tindakan susulan ke atas aktiviti-aktiviti ARF. ARF telah bersejutu dengan tiga peringkat pendekatan ke arah kerjasama iaitu :-
i) Membina keyakinan;
ii) Mewujudkan ‘preventive diplomacy’ ; dan
iii) Mempertimbangkan pendekatan menangani konflik.

8.2 Special SOM
Di peringkat intra-ASEAN, Special Meeting of ASEAN Senior Officials (Special SOM) telah dibentuk yang diwakili oelh pegawai Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan Negara anggota ASEAN. Persidangan ini membincangkan tentang bidang kerjasama yang sedang dan mungkin diadakan dari segi politik dan keselamatan.

8.3 ASEAN-ISIS
Dalam usaha mengukuhkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan rantau Asia Tenggara, ASEAN juga mengadakan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan. Perbincangan-perbincangan tentang hal-ehwal politik dan keselamatan sering diadakan misalnya dengan ASEAN-Institutes of Strategic and International Studies (ASEAN-ISIS) yang terdapat di setiap negara anggota ASEAN.

8.4 Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB)
Negara-negara ASEAN juga mengadakan kerjasama dalam mencari jalan dan cara meningkatkan usahasama dengan PBB dalam mewujudkan rantau aman dan stabil. ASEAN juga sepakat untuk berusaha ke arah menjadikan PBB sebuah badan yang efektif dalam mewujudkan keamanan dan kesejahteraan di rantau ini dan di peringkat dunia di dalam era pasca Perang Dingin.

9. KERJASAMA EKONOMI ASEAN
Bermula dengan beberapa aktiviti ekonomi di tahun-tahun 1960-an, kini kerjasama ekonomi semakin meluas di kalangan negara anggota ASEAN. Ini jelas terlibat dari komitmen yang kuat negara-negara ASEAN untuk menjadikan rantau ini sebagai kuasa ekonomi yang kuat dan dinamik.

Kerjasama ekonomi ASEAN meliputi usaha-usaha liberalisasi dan kemudahan perdagangan serta aktiviti pelaburan. Keputusan-keputusan tegas juga telah diambil untuk meningkatkan dan mengukuhkan kerjasama industri melalui satu skim baru yang mengambilkira keperluan industri serta keadaan ekonomi serantau ASEAN. Kemajuan juga telah dicapai di dalam kerjasama untuk memajukan sektor swasta dan perniagaan bersaiz kecil serta pertengahan.

Matlamat kerjasama ekonomi ASEAN di tahun 1990 an adalah untuk;-

i) Melaksanakan ASEAN Free Trade Area (AFTA) sepenuhnya.
ii) Membangunkan rantau ini sebagai ‘global base’ bagi pengeluaran barangan yang bermutu dan menggunakan teknologi canggih untuk pasaran di Asia Tenggara.
iii) Meningkatkan keberkesanan industri rantau ini berdasarkan prinsip-prinsip ‘market sharing’ dan ‘resource pooling’
iv) Meningkatkan daya tarikan rantau ini sebagai kawasan pelaburan serta destinasi pelancongan.
v) Bekerjasama untuk meningkat lagi pembangunan infrastruktur yang dapat menyumbang ke arah suasana perdagangan yang lebih berkesan.
vi) Memastikan sumber-sumber yang banyak di rantau ini digunakan dengan efektif dan efisyen.

Kejayaan kerjasama ekonomi ASEAN merupakan hasil daripada kebijaksanaan dan ketegasan keputusan yang diambil semasa Deklarasi Bangkok pada tahun 1967. Deklarasi ini telah meletakkan asas kepada kerjasama ekonomi dan di antara lain telah menekankan matlamat serta tujuan berikut :-

Ø Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan social dan pembangunan kebudayaan di arantau ini.

Ø Menggalakkan kerjasama aktif serta saling membantu di dalam hal-hal kepentingan bersama di bidang ekonomi, sosial, kebudayaan, teknikal, saintifik dan pentadbiran.

Ø Bekerjasama secara lebih efektif untuk meningkatkan penggunaan sumber pertanian dan industri di rantau ini, meluaskan perdagangan, memperbaiki kemudahan pengangkutan serta komunikasi dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya.

Langkah yang paling signifikan untuk meningkatkan perdagangan di ASEAN merupakan pembentukan AFTA semasa Persidangan Kemuncak Keempat pada tahun 1992.
Objektif utama AFTA adalah untuk meningkatkan kedudukan ASEAN sebagai ‘competitive production base’ untuk memenuhi pasaran dunia. Ini diharapkan dapat dicapai melalui perluasan perdagangan intra-ASEAN dan juga pengaliran masuk pelaburan luar secara terus.

The Common Effective Preferential Tariff (CEPT) Scheme merupakan mekanisma utama dalam merealisasikan AFTA. CEPT telah dilancarkan pada 1 januari 1993 dan meliputi produk pengeluaran serta pertanian. Skim ini memerlukan pengurangan tariff bagi semua produk di dalam ‘Inclusion List’. Pengurangan tariff ini bermula semenjak tahun 1994 dan menjelang tahun 2003 tarif untuk semula produk di dalam ‘Inclusion List’ seharusnya tidak melebihi 5%.

10. HUBUNGAN LUAR ASEAN
Komitmen ASEAN untuk meluaskan hubungan luarnya telah dimulakan semenjak Persidangan Ketua-ketua Negara ASEAN yang pertama di Bali pada tahun 1976. Di sini ASEAN telah melahirkan kesediaannya untuk mengadakan hubungan dan kerjasama yang akan memberi keuntungan bersama dengan negara-negara lain di rantau ini. Persidangan Kemuncak yang Kedua pada tahun 1977 sekali lagi menegaskan usaha ASEAN untuk memperluaskan dan mengukuhkan kerjasama ekonomi dengan negara-negara ketiga atau kumpulan negara-negara.

Kumpulan Negara pertama yang menjadi fokus hubungan luar ASEAN merupakan negara rakan perdagangan utamanya. ASEAN telah mengadakan hubungan dialog sepenuhnya dengan Australia, Jepun, New Zealand, USA, EU, Canada dan Republik Korea. India yang telah menjadi “sectoral dialogue partner” ASEAN semenjak 1993 telah ditingkatkan ke kedudukan Rakan Dialog (Dialogue partner) pada tahun 1995. Begitu juga China dan Russia yang mengadakan hubungan baik dengan ASEAN telah diberikan status Rakan Dialog pada tahun 1996. Pakistan pula telah mengadakan “sectoral dialogue relations” dengan ASEAN dalam tahun 1977.

Hubungan dialog ASEAN telah berjaya menggalakkan perdagangan serta pelaburan, memberi kemudahan pemindahan teknologi dan pengetahuan, juga memudahkan kemasukan produk ASEAN ke dalam pasaran rakan-rakan dialognya. Ia juga membolehkan ASEAN mengadakan dialog tentang isu-isu serantau dan global dengan negara-negara utama dunia. Selain daripada itu hubungan tersebut telah dapat memastikan ASEAN mendapat bantuan pembangunan dan teknikal.

Kerjasama ekonomi telah menjadi bidang kerjasama yang paling penting di dalam hubungan ASEAN dengan rakan dialognya. Kerjasama ekonomi ASEAN meliputi bidang perdagangan dan pelaburan, pembangunan industri, pemindahan teknologi, tenaga, komunikasi, pengangkutan dan pelancongan.

Kerjasama pembangunan ASEAN dengan rakan dialognya adalah dikaitkan dengan kepentingan ekonomi kedua-dua belah pihak. Lantaran itu kebanyakan daripada program-program dan projek-projek pembangunan telah direka bagi tujuan memenuhi objektif ini. Kerjasama ini adalah berasaskan rakan kongsi (partnership) dalam bidang sains dan teknologi, HRD, alam sekitar, pembangunan sosial dan kebudayaan serta kawalan narkotik.

Kerjasama pembangunan ini berakar umbi daripada usaha di kalangan negara anggota ASEAN dan juga bantuan daripada rakan dialognya. Adanya kesedaran tentang peri pentingnya pengurusan berhemah demi untuk mendapat faedah maksimum daripada bantuan luar ini, telah membawa kepada pembentukan ASEAN Coorperation Unit (ACU) semasa ASEAN Ministerial Meetings (AMM) ke-22. Unit ini bertanggungjawab ke atas semua aspek penilaian projek dan pengurusan.

Selain daripada mengadapan hubungan dialog dengan rakan dialog yang sedia ada, persidangan Kemuncak ASEAN yang keempat pada tahun 1992, juga bersetuju untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama ASEAN dengan negara-negara lain yang berminat serta pertubuhan-pertubuhan antarabangsa.

10.1 ASEAN dan Negara Luar
v ASEAN – Amerika Syarikat (AS)
Dialog ASEAN – AS telah diwujudkan secara formal pada tahun 1977. Ia menumpukan kepada menyertaan aktif sektor swasta di dalam meningkatkan kerjasama. Melalui projek ASEAN Private Investment and Trade Opportunities (PITO), kerjasama pembangunan serta perdagangan dan pelaburan telah dapat diperkukuhkan.

Pada penghujung tahun 1996, pelaburan AS di Asia Tenggara bernilai lebih daripada USD$35 billion. Pelaburan AS juga telah mengalami diversifikasi di rantau ini. Di pertengahan tahun 1980 an kebanyakan daripada pelaburan AS adalah di dalam sektor minyak dan gas. Kini sektor pengeluaran (manufacturing) menjadi pelaburan terbesar AS di ASEAN.

Sementara itu ASEAN kekal sebagai pasaran luar negara yang ketiga terbesar bagi eksport AS selepas UE dan Jepun. Dari tahun 1977-1990 eksport AS ke ASEAN meningkat ke 155% dengan kadar pertumbuhan eksport terbesar berbanding dengan pertumbuhan di Hong Kong, Mexico, Korea dan pasaran-pasaran utama yang lain.

Perdagangan ASEAN – AS dirancakkan lagi dengan pembentukan US-ASEAN Business Council. Majlis ini merupakan organisasi swasta utama yang mewakili kepentingan sektor swasta di Amerika Syarikat. Majlis ini bertujuan untuk meluaskan kedudukan persaingan AS dalam bidang perdagangan dan pelaburan di rantau Asia Tenggara. Ia menyediakan maklumat penting, serta mengadakan program-program untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan sektor swasta di negara anggota ASEAN.

AS juga menyalurkan bantuan di dalam bidang pemindahan teknologi, HRD, alam sekitar, sains dan teknologi dan juga kawalan narkotik. Dialog ASEAN-AS ini juga merupakan satu forum di mana perbincangan tentang isu-isu politik serta keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa diadakan.

v ASEAN – Australia
Pada tahun 1974, the ASEAN – Australian Economic Cooperation Programme (AAECP) telah dibentuk dan menjadi titik tolak hubungan ASEAN – Australia. Kini AAECP Phase II menyambung usaha ke arah meningkatkan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan di antara ASEAN – Australia melalui aktiviti-aktiviti Project Streams.

AAECP menekankan kemajuan sains dan teknologi serta HRD dengan membina rangkaian di antara sektor swasta ASEAN – Australia melalui apa yang dikenali sebagai “The Linkages Stream”.

v ASEAN – India
Di awal tahun 1993, ASEAN – India telah memulakan “sectoral dialogue” di dalam bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan serta sains dan teknologi. Sebuah tabung ASEAN – India Fund telah ditubuhkan bagi menaja aktivit-aktiviti kerjasama di antara kedua-dua pihak.

Di persidangan Kemuncak Kelima pada bulan Disember 1995 di Bangkok, keputusan telah dicapai untuk memberikan India status rakan dialog (Full Dialogue Partner).

Semenjak itu ASEAN dan India telah membentuk Joint Cooperation Committee (JCC) dan telah mengadakan pertemuan pertamanya di New Delhi pada bulan November 1996. kedua-dua belah pihak bersetuju untuk meluaskan lagi bidang kerjasama mereka hingga merangkumi HRD dan hubungan antara rakyat. ASEAN – India juga telah bersetuju untuk memulakan dialog politik di peringkat SOM.

v ASEAN – Jepun
Hubungan ASEAN – Jepun telah dimulakan pada tahun 1973 dan di Institusikan pada tahun 1977. Melalui ASEAN – Japan Forum, kedua-dua pihak telah membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama termasuk perdagangan, komoditi, pelaburan, pemindahan teknologi, kerjasama kebudayaan dan kerjasama pembangunan.

Jepun telah mengeluarkan sumbangan bagi penubuhan ASEAN Cultural Fund dengan tabungan berjumlah USD$40 juta pada tahun 1977. Tabung ini juga adalah untuk mengadakan Japan – ASEAN Exchange Programmed an Inter – ASEAN Techincal Exchange Programme.

Di dalam Forum Meeting Ke-15 di Tokyo pada bulan Mei 1977, ASEAN dan Jepun bersetuju supaya forum tersebut memainkan peranan utama di dalam dialog mereka. Mereka juga bersetuju mengadakan pertemuan forum itu sekali setahun sebelum ASEAN Post Ministrerial Conference.

10.2 ASEAN – Pertubuhan Serantau
v ASEAN – Europian Union (EU)
Sebagaimana yang telah dinyatakan, EU merupakan salah satu daripada rakan dialog ASEAN. Selain daripada aktiviti-aktiviti yang telah disebutkan, hubungan ASEAn – EU juga terjelma melalui European Commision Supported Programmes. Program-program ini menggalakkan kerjasama perdagangan dan perniagaan di antara syarikat-syarikat di EU dengan ASEAN.

Di antara program-program di bawah naungan European Commission ini ialah :-
1) Asia Invest
Asia Invest merupakan program lima tahun yang diadakan dengan tujuan memberi kemudahan pelaburan serta membantu syarikat-syarikat bersaiz kecil dan sederhana di Eropah dan Asia untuk mengadakan perkongsian perniagaan serta berkembang di peringkat antarabangsa.

Asia Invest membekalkan maklumat-maklumat relevan bagi memudahkan syarikat-syarikat ini membuat keputusan tentang perkongsian, pasaran dan pelaburan. Program ini juga memecah halangan-halangan yang menghalang syarikat-syarikat ini daripada mencari pasaran serta rakan kongsi baru.

Asia Invest merangkumi negara-negara di EU, Asia Tenggara, Asia Selatan dan China. Ia akan menghubungkan European Business Information Centres (EBICs) di Asia dengan Euro – Info – Centres serta badan-badan perniagaan dan industri di Eropah.

2) Standards, Quality and Conformity Assessment Program
Ini merupakan program yang bertujuan untuk meningkat lagi kerjasama ekonomi EU/ASEAN dengan menggunapakai tingkat kepiawaian dan kualiti yang sesuai bagi kedua-dua belah pihak.

Program ini mempunyai “5 years regional component” yang bertujuan ke arah membantu mengadakan pasaran dalaman ASEAN di mana barangan bebas bergerak serta terbuka kepada Produks EU.

Ia juga mempunyai “3 years national component” yang bertujuan mengukuhkan kualiti infrastruktur di negara-negara ASEAN. Selain daripada itu komponen ini juga menggalakkan pertukaran amalan-amalan yang baik dan berkualiti di kalangan sektor-sektor ekonomi, organisasi dan syarikat-syarikat di EU dan ASEAN. Ini diharapkan dapat menyumbang ke arah perkembangan hubungan jangka panjang ASEAN – EU.

v ASEAN – United Nation Development Program (UNDP)
Kerjasama di antara ASEAN – UNDP telah bermula semenjak tahun 1970an dengan adanya “Kansu Report” (1972) yang menjadi asas pembentukan program-program serantau yang lain. Sejak itu UNDP telah menjadi organisasi “multilateral aid” serta rakan dialog bukan kerajaan yang terbesar bagi ASEAN.

ASP – 5 atau “ASEAN – UNDP Sub-regional Programme for the Fifth Cycle” (1992-1996) menyediakan bantuan teknikal di dalam lima bidang utama iaitu:-

a) Pembangunan manusia dengan menekankan elemen-elemen perubahan sosio-ekonomi dan kesannya ke atas masyarakat, keadilan dalam pengagihan sumber bagi golongan minoriti dan kurang bernasib baik, pendidikan serta masalah dadah dan AIDS.

b) "Capacity Building” yang memberi bantuan dari segi meningkatkan keupayaan pengurusan program-program kerjasama ASEAN serta menambah kemahiran dan pengetahuan kakitangan professional dan sokongan dalam secretariat ASEAN.

c) Liberalisasi perdagangan dan pelaburan yang meletakkan piawai serta memudahkan perdagangan intra-ASEAN, meningkatkan kecekapan serta keberkesanan dalam perlaksanaan CEPT, membentuk strategi dan rancangan untuk mengukuhkan industri-industri tertentu serta menggalakkan pelaburan.

d) Perdagangan dan alam sekitar yang menekankan isu-isu perdagangan dan kaitannya dengan alam sekitar.

e) Sains dan teknologi yang menyediakan bantuan dari segi aktiviti-aktiviti sains dan teknologi serta teknologi dan alam sekitar.

11. KESIMPULAN
Asia Tenggara merupakan sebuah kawasan yang diwarnai dengan pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya. Namun walaupun adanya diversifikasi ini, ia mampu untuk menjadi sebuah rantau yang maju, dinamik dan berwawasan. Dengan adanya kerjasama di antara negara-negara di dalamnya Asia Tenggara pasti mempunyai masa depan yang cerah serta dapat menyaingi negara-negara maju yang lain.

Sebagai badan yang penting di rantau ini ASEAN tidak pernah bebas ataupun sunyi daripada cabaran. Ketika ASEAN mengorak langkah ke arah mencapai satu identiti, satu matlamat dan satu komuniti, ia kini semakin terdedah kepada isu-isu sensitif seperti konflik politik dalaman, demokrasi, tadbir urus yang cekap, malapetaka semula jadi, dan hak-hak asasi iaitu isu-isu yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.

Bagaimanapun, dalam mengimbas kembali perjalanan selama empat dekad, sebenarnya ASEAN telah melakarkan segmen kejayaan tersendiri. Kejayaan ini boleh digambarkan menerusi pembentukan perjanjian dan kata sepakat seperti Deklarasi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali atau ZOPFAN (1971), Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (1976), Deklarasi ASEAN Mengenai Laut China Selatan (1992) dan Perjanjian Zon Asia Tenggara Bebas Senjata Nuklear (1995), dan Forum Serantau ASEAN. Ini adalah kejayaan yang unik.

Justeru, ASEAN sentiasa menjadi tarikan dan dilihat sebagai contoh kerjasama ekonomi yang berdaya maju. Jika dilihat dari sudut yang lebih luas, hampir kesemua kuasa ekonomi dunia sekarang ini menjadi rakan dialog ASEAN, dan negara-negara lain juga ingin berbuat demikian. Malahan, Taiwan telah melahirkan minat untuk menjadi anggota ASEAN. Rusia dan Taiwan juga memperlihatkan keinginan untuk bersama ASEAN.

Usaha sedemikian telah menyumbang kepada tindakan mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau menerusi langkah-langkah membina kepercayaan walaupun terdapat cabaran. Dalam pelbagai kejayaan yang direkodkan, keamanan dan kestabilan mengambil kedudukan utama.

Mengenai kejayaan dalam bidang ekonomi pula, ASEAN menjalin kerjasama di pelbagai peringkat, antaranya mewujudkan Pelan Projek-Projek Perindustrian ASEAN dan Skim Usaha Sama Perindustrian ASEAN. Pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) pula merupakan satu lagi kejayaan penting ASEAN dalam proses globalisasi.

Satu lagi ialah semangat bersatu yang wujud kesan daripada krisis kewangan 1997-1998 yang membolehkan negara-negara ASEAN kembali pulih walaupun masalah ekonomi yang dihadapi ketika itu amat serius.

ASEAN pernah dilabelkan sebagai tidak relevan dengan perkembangan semasa. Sepanjang sedekad yang lalu pertumbuhan serantau ini telah mengatasi banyak isu berkaitan dan kembali kukuh di arena antarabangsa. Pertambahan anggota dan rakan dialog bukan sahaja menjadikan ASEAN semakin dinamik, malah boleh mengundang masalah jika tidak diurus dengan baik.

Pokoknya, ASEAN merupakan salah satu entiti global yang tidak boleh memisahkan diri daripada rantau-rantau lain. ASEAN telah menyesuaikan diri dengan cabaran masa lalu, dan sudah pasti akan berbuat demikian pada masa-masa mendatang.

Di sebalik peredaran zaman, ASEAN tetap relevan dan dinamik lagi kukuh dengan memasyarakatkan ASEAN sebagai badan yang unggul di peringkat global dalam jangka panjang.