AGAMA HINDU.
Agama Hindu adalah agama yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk di negara India sekarang. Agama ini timbul dari keruntuhan ajaran-ajaran Veda dengan mengambil buah fikirannya dan rupa bentuk India purbakala dan pelbagai kisah dongeng yang bersifat rohani. Dengan sebab itu, para penyelidik beranggapan bahawa agama Hindu adalah sebagai kesinambungan dari ajaran-ajaran Veda.
Agama Hindu juga dikenali sebagai Agama Brahma yang wujud sejak permulaan abad ke-8 sebelum Masihi iaitu satu kekuatan besar yang mempunyai daya pengaruh tersembunyi yang memerlukan amalan-amalan ibadat seperti membaca doa, menyanyikan lagu pemujaan dan membuat korban. Dari perkataan “Brahman” inilah diambil perkataan “Brahman” iaitu gelaran ke atas penganjur agama itu yang dipercayai pada wataknya ada hubungan dengan unsur ketuhanan. Dengan sebab ini mereka menjadi sami-sami kepada rakyat yang tidak boleh dilakukan sebarang penyembelehan kecuali di depan dan melalui mereka.
Siapakah yang mengasaskan Agama Hindu? Dan siapakah pula yang mencipta kitab Veda? Sekiranya agama Hindu tidak mempunyai pengasas yang tertentu maka begitu juga dengan kitab Veda. Kitab Veda yang mengandungi kepercayaan, adat istiadat dan undang-undang juga tidak mempunyai pencipta yang tertentu. Penganut agama Hindu mempercayai bahawa kitab ini ialah satu kitab yang azali yang tidak mempunyai tarikh permulaannya yang mana ia diilhamkan sejak azali.
Penyelidik barat dan sarjana agama Hindu pula berpendapat bahawa kitab ini lahir dalam beberapa abad yang tidak kurang dari dua puluh kurun sebelum Masihi. Menurut Berry kitab Veda telah dilaksanakan oleh bangsa Arya.
KITAB VEDA.
Seperti dijelas sebelum ini bahawa kitab suci Hindu (Veda) tidak diketahui penciptanya namun seorang penulis India bernama Mohamed Abdul Salam mempunyai penjelasannya berhubung perkara ini. Veda mempunyai nilai sejarah yang besar kerana sastera keagamaan ini mencerminkan tentang kehidupan bangsa Arya di India dalam zaman yang lampau dan tempat menetap mereka yang baru. Di dalam Veda ada menceritakan mengenai bangsa Arya, tentang pengembaraan, agama dan politik, peradaban dan kebudayaan, kehidupan dan pergaulan, tempat tinggal dan pakaian, makanan dan minuman serta kerja dan mata pencarian mereka.
Di dalamnya juga dapat dilihat tahap kemajuan dari segi akal fikiran bermula dari kemudahan seorang kampung kepada perasaan seorang filsuf. Selain itu terdapat juga doa-doa permulaan yang di akhiri dengan keraguan, dan doa ketuhanan yang menjunjung tinggi kepada kesatuan wujud.
Terdapat empat buah kitab Veda iaitu Rig-Veda, Yajur-Veda, Sama-Veda, dan Atharva-Veda. Rig-veda misalnya mengandungi 1,017 buah nyanyian agama yang digubah untuk dinyanyikan oleh penganutnya dihadapan tuhan-tuhan mereka atau mereka menyanyikan untuk tuhan mereka. Di antara tuhan-tuhan yang masyhur yang ada disebutkan di dalam Rig-veda ialah tuhan Indra (tuhan kepada segala tuhan), tuhan Agni (tuhan api dan penaung keluarga), tuhan Varuna, tuhan Surya (tuhan matahari), dan lain-lain lagi.
Sehingga kini menganut agama Hindu masih menyanyikan lagu-lagu dari Rig-veda. Selalunya mereka membacanya di dalam sembahyang-sembahyang pagi dan petang, memohon berkat dengan membacanya dalam majlis perkahwinan seperti yang pernah dilakukan sejak 3, 000 tahun lalu. Kitab Yajur-veda pula mengandungi ayat-ayat prosa yang dibaca oleh pendita-pendita ketika menyerahkan korban-korban. Sama-veda pula mengandungi nyanyian-nyanyian yang dilagukan oleh penyanyi-penyanyi ketika sedang menjalankan upacara sembahyang dan pembacaan doa. Kitab Athar-veda pula mengandungi beberapa makalah sihir, kuasa-kuasa ghaib dan kepercayaan-kepercayaan karut yang disaluti dengan sadoran India purbakala. Tiap-tiap satu dari kitab Veda ini mengandungi empat bahagian iaitu; Samhita, Brahman, Aranyaka, dan Upanishad.
Samhita merupakan kumpulan ayat-ayat puisi kerana terdapat banyak ayat-ayat seperti ini di dalamnya. Yang penting ialah gubahan yang terdapat di dalam Rig-veda diulang di dalam Sama-veda. Gubahan-gubahan ini dinyanyikan ketika menyerahkan korban-korban. Samhita di dalam Yajur-veda mengandungi setengah-setengah doa yang juga dibacakan ketika menyerahkan korban-korban. Sementara itu, gubahan-gubahan Samhita di dalam Athar-veda adalah berupa doa-doa yang diberikan oleh penduduk India purbakala kepada tuhan-tuhan mereka sebelum kedatangan bangsa Arya dan kerana itulah ia mempunyai nilai sejarah dan nilai agama yang besar.
Brahman ialah petunjuk-petunjuk yang diberikan oleh golongan Brahman kepada penduduk-penduduk negara mereka dan di tengah-tengah keluarga mereka. Ianya mengandungi penerangan mengenai bermacam-macam bentuk korban serta penjelasan lanjut dan musim-musimnya, juga menerangkan tentang peri pentingnya ada keredhaan dari golongan Brahman untuk penerimaan korban-korban itu. Brahman juga merupakan peringkat yang paling hampir kepada kemodenan di dalam pemikiran Hindu.
Aranyaka ialah petunjuk dan panduan yang diberikan kepada orang-orang tua yang meninggalkan keluarganya dalam suku keempat dari umur mereka untuk tinggal di gua-gua dan di hutan-hutan. Aranyaka menunjukkan kepada mereka amalan-amalan yang mudah dilaksanakan sebagai pengganti korban-korban yang diluar kuasa mereka untuk mengadakannya.
Upanishad pula ialah rahsia-rahsia dan penglihatan jiwa untuk golongan tasawuf. Ia juga disusun sebagai petunjuk kepada golongan pendita dan ahli ibadat yang syumul kepada kehidupan batin dan meninggalkan bentuk kehidupan luar. Upanishad juga merupakan mazhab rohani yang menduduki darjat tertinggi dalam rangkaian menuju agama. Di dalam mazhab ini tuhan-tuhan diketepikan atau kurang diberikan perhatian. Doa-doanya pula lebih menenangkan dan korban-korban juga jarang sehingga penghayatan ketuhanan merosot dan tempatnya digantikan dengan ilmu pengetahuan.
Mereka yang memerhati kepada keempat-empat bahagian ini mendapati bahawa Samhita merupakan agama fitrah atau permulaan fikiran. Brahman pula dilihat merupakan aliran undang-undang dan agama umat yang meninggalkan kehidupan primitif tetapi belum mendalami peradaban. Aranyaka pula memindahkan fikiran undang-undang kepada rohani dan sebagai titian sejarah. Upanishad pula merupakan aliran rohani yang menduduki darjat tertinggi dalam rangkaian kemuncak agama.
TUHAN MENURUT PEMIKIRAN HINDU.
Di dalam pemikiran Hindu, terdapat dua aliran pemikiran berhubung ketuhanan iaitu keesaan dan perbilangan. Aliran perbilangan dikatakan lebih kuat dan lebih luas penyebarannya.
Pada pandangan penganut Hindu, jumlah tuhan adalah banyak. Tiap-tiap satunya mempunyai kekuatan tersendiri samada memberi faedah atau membahayakan, seperti air, api, sungai-sungai, gunung-ganang, dan lain-lain. Mereka menyeru tuhan-tuhan ini supaya memberkati keturunan dan harta benda mereka yang seperti binatang-binatang ternakan, barang-barang makanan dan buah-buahan serta menolong mereka dalam masa menentang musuh.
Penganut Hindu tidak sampai kepada penyembahan kekuatan-kekuatan tabi’i ini dengan sekaligus, tetapi dengan melalui beberapa peringkat yang akhirnya membawa mereka kepada penyembahannya. Menurut ustaz Mohd.Abdul Salam, peringkat peralihan ini berlaku apabila mereka mengagumi sesuatu kejadian yang indah dan menimbulkan kesedaran untuk beragama pada mereka. Mereka menikmati kejadian tersebut sehingga merasakan bentuk-bentuk ini mempunyai roh dan jiwa sebagaimana mereka juga. Mereka juga menganggap roh-roh ini ialah daya kekuatan yang bersembunyi disebalik bentuk-bentuk yang kelihatan, dan daya-daya kekuatan inilah yang berkuasa menampakkan kepada mereka bentuk-bentuk yang mengkagumkan. Oleh kerana inilah jumlah tuhan-tuhan bertambah banyak dikalangan mereka.
PERATURAN KASTA MENURUT PEMIKIRAN HINDU.
Punca kasta adalah keturunan darah dan penguasaan bangsa. Menurut wells, selepas kedatangan bangsa Arya masyarakat Hindu telah terbahagi kepada kasta-kasta yang tidak ada wakil antara satu sama lain, tiada beripar-duai dan tidak bergaul dengan bebas. Kemudian kasta ini berterusan sepanjang sejarah Hindu. Hal inilah yang menjadikan penduduk India berlainan dari masyarakat eropah dan Monggol yang mudah beripar-duai. Pada hakikatnya penduduk India ialah suatu masyarakat yang terdiri dari beberapa masyarakat.
Peraturan kasta bermula ketika percampuran yang membuka jalan bagi pembentukan suatu masyarakat yang dipadukan dari unsur-unsur yang berlainan. Peraturan kasta ialah suatu jalan untuk memelihara kemurnian darah bangsawan yang dikhuatiri bercampur dengan jenis-jenis bangsa lain yang sudah mula berhubungan. Terdapat empat golongan di dalam kasta iaitu; Brahman(menggemari lmu pengetahuan), Ksatria(golongan pemerintahan), Vaishya(golongan pedagang), dan Shudra(golongan bodoh).
Menururt Berry di dalam bukunya Religion of The World bahawa peraturan kasta hanya lahir dalam Undang-undang Manu pada abad ke-3 sebelum Masihi. Namun begitu falsafah Hindu kurang senang dengan menjadikan golongan bangsawan sebagai suatu sebab yang melahirkan peraturan kasta, malah menghubungkannya dengan nas yang suci. Di dalam Undang-undang Manu juga ada mengatakan sedemikian “…..Kemudian dia mencipta golongan Brahma dari mulutnya, Ksatria dari lengannya, Vaishya dari pahanya dan shudra dari kakinya. Tiap-tiap satu dari kasta-kasta ini mempunyai kedudukannya sedemikian rupa.”
Maka, berasaskan kepada pemikiran ini yang berpendapat bahawa kasta-kasta dijadikan tuhan begini rupa dan ianya kekal abadi. Oleh itu tiada jalan untuk seseorang itu dinaikkan dari satu kasta ke satu kasat yang lebih tinggi. Berasaskan kepada ini juga lah bahawa seorang anak adalah mengikut sebagaimana keadaan bapanya, maka tidak boleh seorang lelaki mengahwini seorang wanita dari golongan yang lebih tinggi dari golongannya, kerana tidak setaraf dan kerana anak-anaknya dari isterinya itu akan turun juga keperingkatnya. Tetapi dibenarkan pula seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang lebih rendah martabatnya dengan syarat ianya bukan dari golongan yang paling rendah (shudra) iaitu golongan yang hanya memberi khidmat semata-mata.
Keempat-empat golongan inihanya bertemu dalam kepecayaan terhadap tuhan. Kesemua golongan ini juga memuja lembu. Undang-undang Manu telah menggariskan peraturan-peraturan yang harus diikuti oleh semua golongan tersebut. Golongan Brahman ditugaskan menuntut ilmu dan mengajar, memberi petunjuk kepada manusia mengenai agama mereka, dialah guru dan ketua agama. Golongan Ksatria pula ditugaskan untuk belajar dan memberi korban-korban, mengeluarkan sedekah-sedekah, memikul senjata untuk mempertahankan Negara. Vaishya pula hendaklah bertani, berniaga, mengumpul harta benda dan membelanjakannya untuk keperluan tempat-tempat ilmu dan agama. Golongan shudra pula hendaklah berkhidmat untuk kepentingan ketiga-tiga golongan yang mulia itu.
AKIDAH HINDU.
Terdapat empat akidah penting di dalam agama Hindu iaitu; 1) Karma 2) pengembalian roh-roh semula 3) Pembebasan mutlak dan 4) Kesatuan wujud.
6.1 Karma.
Karma adalah undang-undang balasan menurut kepercayaan Hindu. Menurut Prof.Atreya, hawa nafsu ialah faktor yang paling kuat di dalam kehidupan manusia dan hawa nafsu kita pula memberi kesan ke atas orang lain. Di dalam pekerjaan-pekerjaan yang didorong oleh hawa nafsu kita akan melakukan sesuatu yang baik atau sebaliknya kepada orang lain. Oleh itu seharusnya kita dikenakan undang-undang balasan.
Menurut undang-undang keadilan yang tegas, semua kerja pilihan manusia yang memberi kesan ke atas orang lain sama ada baik atau jahat, mestilah menerima balasan dengan pahala atau dosa. Susunan alam ini ialah susunan tuhan berdasarkan keadilan semata-mata. Keadilan alam memerlukan balasan bagi tiap-tiap perbuatan. Di dalam alam tabi’i ada sejenis peraturan yang tidak membiarkan perbuatan manusia, sama ada perbuatan itu kecil ataupun besar berlalu tanpa perhitungan. Seseorang itu akan menerima balasan di atas perbuatannya dan akan menerimanya semasa hidupnya. Sehingga kini masyarakat Hindu amat mempercayai hukum Karma berdasarkan perbuatan baik dibalas baik, jahat dibalas jahat. Namun timbul pula persoalan di mana seorang yang zalim pernah hidup tanpa menerima apa-apa balasan, manakala yang baik pula tidak pernah diperlakukan kebaikan kepadanya. Oleh itu mereka beralih pula kepada pendapat mengenai pengembalian roh-roh semula.
6.2 Pengembalian roh-roh semula.
Pengembalian roh-roh semula bermaksud roh yang telah keluar dari tubuh akan kembali semula ke alam dunia di dalam sebuah tubuh yang lain. Terdapat sebab-sebab pengembalian roh-roh :-
Pertama; roh ini keluar dari tubuh badan dan masih lagi mempunyai hawa nafsu dan kemahuan yang terikat dengan alam kebendaan yang belum lagi dilaksanakan.
Kedua; roh ini keluar dari tubuh dengan menanggung banyak hutang dalam perhubungannya dengan yang lain yang mesti ditunaikan.
Di antara syarat-syarat yang mesti ada untuk kedatangan roh semula ialah roh itu berada di dalam alamnya yang baru dan tidak mengingati alamnya yang terdahulu.
No comments:
Post a Comment