Keratan Akhbar
JOHOR BAHRU 24 Sept 2012. - Keutuhan perpaduan Melayu yang
diperkukuhkan dengan persefahaman erat dalam kalangan kaum lain menjadikan
Barisan Nasional (BN) Johor kuat dalam menghadapi setiap pilihan raya umum
sejak dahulu.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kekuatan
perpaduan Melayu dan sokongan tanpa berbelah-bahagi daripada kaum lain itu
menjadi teras kekuatan BN selama ini.
"Dalam tiga pilihan raya umum sebelum 2008 iaitu pada 1995,
1999 dan 2004, BN memenangi semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri
(DUN) di Johor.
"Ini kejayaan penuh kecuali satu kerusi DUN Senggarang pada
2004 kerana kesilapan teknikal," katanya pada majlis perasmian Persidangan
Perwakilan Berkelompok UMNO Bahagian-bahagian Negeri Johor 2012 di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini kelmarin.
Majlis tersebut dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak yang juga Presiden UMNO.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Abdul
Latiff Ahmad dan ahli jawatankuasa badan perhubungan negeri.
Persidangan berkelompok tersebut membabitkan empat UMNO bahagian
iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai dan Tanjung Piai.
Abdul Ghani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata,
sejak mencapai kemerdekaan, BN Johor hanya dua kali kehilangan kerusi Parlimen
iaitu Kluang pada 1978 dan Bakri pada 2008.
"Ini bermakna BN Johor memenangi 232 daripada 234 kerusi
Parlimen dipertandingkan sejak 1959 dan ia suatu pencapaian yang cukup membanggakan
iaitu 99.14 peratus.
"Di kerusi DUN, kita turut cemerlang dengan memenangi 459
daripada 576 kerusi yang dipertandingkan sepanjang tempuh tersebut dengan
pencapaian 96.42 peratus sekali gus menggambarkan betapa kukuhnya sokongan
rakyat Johor kepada BN sejak dahulu lagi," katanya.
Beliau berkata, rekod tersebut mencerminkan Johor adalah kubu kuat
BN dan kekuatan itu bukan datang dengan sendiri tetapi dipupuk melalui
perpaduan, kegiatan bersama rakyat sepanjang tahun, kerja keras dalam setiap
pilihan raya serta perubahan yang amat meyakinkan rakyat.
"Ini juga bukti rakyat Johor memahami dan memperakui BN teguh
memikul dan memelihara amanah rakyat," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan denyut nadi keyakinan
sudah dirasai di setiap peti undi kerana hampir separuh daripada 1.5 juta
pengundi di negeri ini adalah ahli parti komponen BN yang menjadi asas kekuatan
BN Johor.
Pendapat Penulis..
Nampaknya BN begitu yakin akan mengekalkan rekod
kemenangan mereka untuk menghadapi pilihanraya Umum ke-13 nanti. Tidak dinafikan
Johor merupakan kubu kuat UMNO sejak dahulu lagi kerana jika diimbas sejarah
penubuhan UMNO dan kemerdekaan Malaysia, Johor adalah tempat dimana UMNO
bertapak. Sejak 1959 hingga 2008, Johor telah ditadbir oleh kerajaan BN dan
UMNO merupakan penyumbang terbesar dalam kemenangan BN di Johor.
Namun, harus diingat, langit tidak selalu cerah.
Jika Perak, Kedah, Selangor, dan Pulau Pinang boleh tumbang, tidak mustahil
Johor juga menerima nasib yang sama. Jika dilihat keadaan semasa di Johor,
timbul isu Pengambilan tanah di Pengerang. Pengerang merupakan satu-satunya
kubu kuat UMNO yang memperolehi kemenangan tanpa bertanding dalam pilihanraya
umum lepas. Mengapa ini boleh terjadi? Jelas menunjukkan pembangkang tidak
berani bertanding di Pengerang kerana penduduk di sana tidak boleh menerima
pembangkang atau parti lain selain UMNO. Ini isyarat yang baik ditunjukkan oleh
penduduk Pengerang kepada UMNO. Namun, kini penduduk Pengerang dihimpit masalah
disebabkan permainan politik UMNO Johor bak kata pepatah “ Madu dibalas tuba”.
Apa tidaknya, sekian lama penduduk Pengerang memberi kepercayaan dan
mencurahkan taat setia mereka kepada UMNO tetapi kini tanah mereka di Pengerang
diambil semata-mata untuk projek mega RAPID.
Daripada tinjauan dan temubual penulis dengan
beberapa penduduk kampung di sana (juga kampung penulis) kesemuanya tidak
menolak pembangunan malah mereka menyokong pembangunan yang ingin dibina di
Pengerang, namun, kadar pampasan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada
penduduk amat tidak munasabah dan masuk akal. Rm2.80 sekaki persegi. Kadar ini
amat menjerut leher penduduk Pengerang. Kalau diikutkan perancangannya, Kerajaan
negeri berjanji akan menyediakan kediaman untuk penduduk Pengerang yang tanah
mereka diambil balik, namun sehingga kini, tidak ada sebuah rumah pun dibina
dikawasan perpindahan tersebut sedangkan notis perpindahan telah dikeluarkan
oleh kerajaan. Persoalannya, ke manakah penduduk kampung hendak tinggal?
Cukupkah dengan hanya RM2.80 sekaki persegi?
Daripada perbualan penulis dengan rakan penulis
iaitu seorang penilai hartanah, beliau menyatakan bahawa nilai tanah bergantung
kepada apa tujuan tanah tersebut diambil. Maksudnya jika tanah tersebut diambil
untuk tujuan perindustrian atau perusahaan, maka nilai tanah hendaklah dinilai
sama dengan nilai tujuan ianya diambil. Sebagai contoh, jika tanah tersebut
diambil untuk tujuan projek RAPID bernilai RM60 billion, tidak mustahil kadar
sekaki persegi tanah tersebut boleh mencecah Rm80 sekaki persegi. Tetapi
kerajaan hanya memberi pampasan hanya sebanyak RM2.80 untuk penduduk Pengerang.
Sepatutnya kerajaan negeri mestilah membalas budi
penduduk Pengerang. Kadar pampasan Rm2.80 sekaki persegi harus dikaji balik.
Penulis yakin kadar tersebut boleh dinaikkan jika kerajaan negeri menghargai
penduduk Pengerang yang mengundi UMNO sejak dulu lagi. Lihat sahaja semasa
kempen Pilihanraya, kerajaan begitu merayu kepada rakyat agar mengundi mereka
dan sengaja mengajak rakyat mengenang budi kerajaan. Persoalannya, mengapa
rakyat sahaja harus mengenang budi kerajaan? Tidak bolehkah kerajaan mengenang
budi rakyat yang memilih mereka? Jika tidak kerana rakyat memilih UMNO, usah
bermimpi di siang hari UMNO mampu menang di Pengerang. Pada pendapat penulis,
kerajaan hendak menimbulkan keadaan ‘false consciousness’ atau ‘kesedaran
palsu’ dalam hati penduduk Pengerang. Mereka akan cuba menyatakan bahawa
penduduk pengerang sudah banyak berubah jika dibanding dengan keadaa pengerang
pada 20 tahun yang lalu disebabkan bantuan kerajaan.