Keputusan Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor :
P.Kamalanathan (BN) – 24,997 undi
Datuk Zaid Ibrahim (PKR) – 23,272 undi
Majority – 1,725 undi
Jumlah mengundi – 48,935
Undi rosak-731
Undi pos – (BN) 767
(PKR) 120
Peratusan mengundi – 75.87%
Peratusan kaum kawasan (64,437):
Melayu- 52.7% (34,020)
Cina – 26.3% (16,964)
India – 19.3% (12,453)
Lain² - 1.7% (1,000)
KEPUTUSAN PUN DAH TAHU...JADI ANALISIS AKU BEGINILAH LEBIH KURANG..
26hb April 2010 merupakan tarikh penting dalam hidup ahli Parlimen Hulu Selangor yang baru iaitu P.Kamalanathan setelah memenangi pilihan raya kecil Hulu Selangor dengan menewaskan calon dari PKR, Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi.
Ini bermakna BN merampas kembali kerusi parlimen Hulu Selangor dari pembangkang setelah pilihan raya 2008 yang lalu calonnya iaitu Datuk. G.Palanivel tewas kepada calon PKR. Pada pilihan raya umum ke-12 itu calon PKR memenangi kerusi Hulu Selangor dengan majoriti hanya 198 undi sahaja.
Dari senario kedua-dua pilihan raya ini, jelas menunjukkan rakyat di Hulu Selangor mempunyai sebab yang tersendiri memilih calon mereka. Saya melihat ini merupakan persaingan politik yang sihat antara BN dan PR. Untuk menganalisi dengan lebih lanjut maka beberapa persoalan perlu dihuraikan.
Apakah maksud undi majoriti 1725 itu?
Adakah jentera pilihanraya BN berjaya digerakkan sepenuhnya?
Adakah parti pembangkang berjaya menarik suara rakyat di Hulu Selangor?
Apakah faktor yang menyebabkan PKR tewas kali ini?
Apakah faktor kejayaan BN?
Mengapakah kaum Cina menolak BN?
Mengapakah calon bebas menarik diri dari pilihan raya kecil ini?
Apakah maksud undi majoriti 1,725 itu?
Pada pendapat saya, jumlah majoriti itu menunjukkan bahawa rakyat Hulu selangor mengidamkan perubahan dan janji kerajaan dahulu dari segi infrastruktur dan sebagainya. Selain itu juga penarikan diri calon bebas turut menjadi penyebab undi majoriti ini berlaku. Kerana jika calon bebas terus bertanding di kerusi parlimen Hulu Selangor, kita akan lihat pertembungan empat penjuru di mana jumlah undi pasti akan berubah lagi. Seperti kita sedia maklum, setiap calon bebas di Hulu Selangor mempunyai pengikut yang tersendiri. Maka dengan penarikan diri dan memeberi sokongan kepada calon BN telah meningkatkan lagi undi kepada BN.
Adakah jentera pilihan raya BN berjaya digerakkan sepenuhnya?
Saya melihat kesungguhan jentera BN untuk memenangi kerusi Hulu Selangor berhasil. Kerjasama semua komponen parti BN untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan rakyat selangor telah berjaya walaupun turut diberi persaingan oleh Pakatan Rakyat. Kesungguhan komponen BN membantu YB Kamalanathan sepanjang kempen pilihan raya telah membantu keyakinan rakyat di sana. Namun begitu keyakinan kaum Cina masih rendah terhadap BN. Ini mungkin disebabkan konflik di dalam parti MCA itu sendiri. Apa yang pasti MCA perlu mengkaji mengapa kaum cina menolak calon BN.
Adakah parti pembangkang berjaya menarik suara rakyat di Hulu Selangor?
Dengan jumlah undi yang diperolehi, saya yakin rakyat di Hulu Selangor yakin dengan calon PKR kerana latar belakang politik yang luas serta pendidikan beliau. Seandainya PKR meletakkan calon yang kurang ternama, sudah pasti undi majoriti semakin besar kepada BN. Tindakan PKR meletakkan calon telah berjaya menarik undi sebanyak 23,272 undi dan ini merupakan jumlah yang besar juga walaupun parti itu sedang bergeluk dengan konflik dalaman seperti beberapa ahlinya keluar dari parti tersebut. Selain itu saya merasakan juga rakyat Hulu Selangor melakukan undi protes[1] terhadap BN kerana ada suara dari rakyat di sana yang mahukan calon dari kaum Melayu. Mungkin sekiranya BN meletakkan calon kaum Melayu maka jumlah undi akan berubah lebih banyak. Maka bolehlah dikatakan jumlah undi yang diperolehi oleh PKR pada kali ini disebabkan rakyat di Hulu selangor melakukan undi protes serta latar belakang calon PKR itu sendiri. Jika diimbas kembali kejayaan PKR pada 2008, adalah disebabkan undi protes juga ke atas kepimpinan Tun Abdullah sebagai PM pada ketika itu selain isu rasuah, kronisme nepotisme dan sebagainya dalam BN.
Apakah faktor yang menyebabkan PKR tewas kali ini?
Terdapat beberapa kemungkinan kegagalan PKR pada kali ini. Di antaranya ialah rakyat di Hulu Selangor menolak calon PKR yang kita sedia maklum adalah bukan dari kawasan Hulu Selangor. Selain itu juga, tempoh dua tahun PKR di Hulu Selangor berkhidmat tidak banyak pembaharuan yang dilakukan menyebabkan rakyat mula menaruh harapan kembali kepada BN. Faktor keluar parti oleh beberapa pemimpin parti seperti Datuk Dr. Halili turut menyumbang kepada kegagalan PKR. Seperti yang kita sedia maklum, Dr.Halili merupakan bendahari bahagian PKR di Hulu Selangor dan disebut-sebut sebagai calon yang paling layak di Hulu Selangor namun PKR telah menamakan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon. Ini turut mendatangkan kemarahan ahli parti tersebut dan menunjukkan bahawa PKR sanggup menolak ahlinya yang lebih lama dalam parti dan mencalonkan orang yang baru sahaja ‘masuk rumah’ untuk menjadi calon. Imej PKR tercalar disebabkan perkara tersebut.
Apakah faktor kejayaan BN?
Di dalam hal ini, saya melihat BN memperolehi undi disebabkan beberapa faktor. Di antaranya ialah rakyat Hulu Selangor mula menerima pendekatan dan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh PM. Selain itu faktor janji yang ditaburkan kerajaan BN turut menyumbang kepada kejayaan ini. Tidak mustahil juga kejayaan BN ini disebabkan undi protes kepada PKR kerana meletakkan calon yang bukan dari kalangan anak Selangor sedangkan PKR ramai pemimpin lagi. Imej kepimpinan PM turut membantu kepada kejayaan ini. Beberapa dasar baru yang diperkenalkan seperti MEB telah memberi keyakinan kepada rakyat khususnya di Hulu Selangor. Namun demikian, saya percaya kejayaan BN pada kali ini adalah disebabkan kerjasama jentera pilihan raya BN yang bertungkus-lumus memastikan calonnya iaitu YB P.Kamalanathan diterima oleh semua rakyat di Hulu Selangor. Peribadi YB P.Kamalanathan turut membantu kejayaan ini walaupun mendapat sedikit tentangan kaum Melayu.
Mengapakah kaum Cina menolak BN di Hulu Selangor?
Tidak semua kaum cina menolak BN. Namun tidak dinafikan konflik dalam parti MCA menyebabkan kaum cina menolak BN dan menyokong PKR. Kemenangan Datuk Seri Chua Soi Lek dan kegagalan Datuk Seri Ong Tee Kiat di dalam baru-baru ini menempiaskan lagi keputusan pilihan raya Hulu Selangor. Mungkin juga kaum Cina merasa marah di atas perlantikan Datuk Seri Chua Soi Lek itu dan merasakan imej MCA akan lebih buruk selepas ini. Selain itu isu MEB juga menyebabkan rasa kurang senang kaum Cina kerana mereka merasakan MEB itu adalah penjenamaan semula daripada DEB yang masih menjaga kepentingan ekuiti orang Melayu. Mungkin juga pembangkang telah berjaya menggunakan isu kematian Tee Beng Hock bagi meraih undi kaum cina. Apa yang pasti kerajaan harus mengembalikan kepercayaan kaum cina di Hulu Selangor.
Mengapakah calon bebas menarik diri dari pilihan raya kecil ini?
Perkara ini sangat menarik untuk dibincangkan. Seperti yang kita ketahui kehadiran calon bebas di dalam setiap musim pilihan raya adalah untuk menjadi pihak ketiga kepada rakyat seandainya mereka tidak yakin dengan calon parti BN dan pembangkang. Selalunya di dalam pilihan raya, sudah pasti kedua-dua parti BN dan PR menggunakan isu pembohongan dan menyerang peribadi calon yang pada mata rakyat itu merupakan perbuatan tidak bermoral. Maka kehadiran calon bebas ini menjadi suara akhir rakyat untuk menunjukkan rasa protes dengan tindakan itu. Apabila disentuh tentang penarikan diri calon bebas di Hulu Selangor, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena kerana calon bebas iaitu VS Chandran bekas timbalan pengerusi MIC bahagian Hulu Selangor menyuarakan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas begitu juga exco pemuda UMNO Shah Alam, Johan Mohd. Diah telah mengumumkan penarikan diri sebelum kempen pilihan raya bermula. Tidak mustahil juga jika calon bebas ini telah dijanjikan ‘durian runtuh’ sekiranya mengambil keputusan menarik diri dari bertanding. Sejauh mana kebenaran dakwaan PKR yang mengatakan bahawa calon bebas ini telah dibeli oleh BN belum boleh dipastikan lagi kerana mungkin juga boleh berlaku jika kita katakan PKR juga turut menjanjikan habuan yang sama kepada calon bebas ini untuk menarik diri namun jumlahnya tidak mampu menandingi yang ditawarkan BN. Politik tetap politik dan sesuai dengan definisinya sebagai politik adalah “seni serba mungkin”. Apa-apapun kehadiran calon bebas telah memberi cabaran kepada calon BN dan PR di dalam setiap pilihan raya kerana ini membolehkan berlakunya pemecahan undi.
Rumusan.
Keputusan pilihan raya Hulu Selangor telah membuka lembaran baru buat BN dan rakyat Hulu Selangor. Dengan merampas kembali kerusi parlimen Hulu Selangor, BN akan terus memastikan pilihan raya di Sibu sebagai medan seterusnya untuk memperkasakan BN. Apa yang pasti kejayaan BN itu adalah kejayaan rakyat yang mendokong kepimpinan PM. Sudah tentu rakyat Hulu Selangor menantikan projek yang telah dijanjikan oleh kerajaan semasa kempen dijalankan. Sebagai kerajaan yang telah mendapat mandat dari rakyat, kerajaan haruslah menunaikan segala janji tersebut sebagai balasan. Jangan hanya pandai menabur janji tetapi tidak pandai mengotakannya. Pembangkang juga harus membuat post mortem ke atas kekalahan ini.
Mungkin pembangkang harus mengambil berat isu calon yang bertanding. Mungkin juga calon dari anak jati kawasan tersebut lebih layak berbanding pengaruh calon yang bukan dari kawasan tersebut. Tindakan pembangkang mendakwa SPR berat sebelah tidak boleh diterima kerana pada pilihan raya 2008 kerajaan BN telah banyak kehilangan negeri tetapi adakah itu masih menunjukkan SPR masih tidak berlaku adil. Walau apapun kemenangan BN di Hulu Selangor berbeza pandangannya dari kacamata pemerintah dan rakyat jelata. Kejayaan BN menunjukkan kuasa tetapi kejayaan BN kepada rakyat adalah kejayaan menuntut janji. Sehinggakan ada rakan-rakan bersembang di kedai kopi mengatakan “lepas ni YB mana pulak akan mati ya” dan ada juga mengatakan “bagus juga ada YB mati”. Parti mana yang memerintah tidak menjadi masalah kepada rakyat asalkan kemajuan serta kemakmuran terus dijaga dan jangan dicalarkan dengan taktik politik lapuk.
[1] Undi Protes tidak semestinya dizahirkan dengan undi rosak, Dalam konteks ini undi protes boleh diterjemahkan dengan undi berpihak kepada pihak A disebabkan hilang kepercayaan rakyat kepada pihak B.
No comments:
Post a Comment