Monday, May 10, 2010

SEJARAH PENUBUHAN ASEAN

1. PENGENALAN

Sebelum penubuhan ASEAN sebenarnya sudah terdapat beberapa cubaan lebih awal untuk mewujudkan pertubuhan serantau walaupun tidak dianggotai oleh keseluruhan negara Asia Tenggara. Paling awal adalah cubaan untuk menubuhkan Association of South East Asia (ASA) pada bulan Julai 1961. ASA pada ketika itu dianggotai oleh hanya tiga buah negara iaitu Malaysia, Thailand dan Filipina. Sejak awal penubuhannya, pertubuhan ini menghadapi masalah terutama dari segi keanggotaannya yang agak terhad. Di samping itu ASA juga dituduh sebagai sebuah pertubuhan yang pro-Barat. Masa depan ASA musnah dengan pembentukan Malaysia dalam tahun 1963 apabila Filipina menentang penubuhan persekutuan baru ini kerana mendakwa Sabah sebagai sebahagian wilayah mereka. Indonesia kemudiannya turut memburukkan lagi keadaan apabila melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia.

Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) telah ditubuhkan pada tahun 1967 oleh negara-negara pengasas yang terdiri daripada Malaysia, Filipina, Singapura, Indonesia dan Thailand. Pada tahap ini anggota ASEAN menerajui wawasan bahawa setiap negara di Asia Tenggara bekerjasama secara aktif ke arah keamanan, kestabilan, kemajuan serta kesejahteraan rantau tersebut. Ini merupakan satu wawasan yang berani memandangkan keadaan di Asia Tenggara pada masa itu yang amat terpisah akibat konflik ideologi dan peperangan.

Terputusnya hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Manila (1962), konfrantasi Malaysia – Indonesia (1963), pemisahan Singapura daripada Malaysia (1965), Perang Vietnam dan Revolusi Kebudayaan di Negara China, kesemuanya telah memisah dan menimbulkan rasa sangsi di kalangan negara di rantau itu. Namun dengan usaha gigih negara-negara anggota, ASEAN telah ditubuhkan bagi menyediakan rangka kerja dan mekanisma untuk kerjasama serantau melalui Deklarasi ASEAN di Bangkok pada 8 Ogos 1967.

“Pertubuhan ini mewakili kehendak bersama negara-negara Asia Tenggara untuk bersatu dalam semangat persahabatan serta kerjasama dan melalui usaha serta pengorbanan bersama memastikan keamanan dan kesejahteraan untuk setiap rakyat”.

Deklarasi ASEAN 8 Ogos 1967


2. SEJARAH PENUBUHAN ASEAN

Pada hakikatnya usaha ke arah kerjasama serantau telahpun bermula selepas Perang Dunia Kedua dengan terbentuknya beberapa kesatuan atau pakatan di antara negara-negara di Asia tenggara. Di peringkat ini kerjasama serantau adalah ke arah usaha bagi mengekalkan kestabilan politik dan memulihkan ekonomi yang musnah akibat peperangan. Namun jangka hayat pertubuhan serta pakatan ini adalah singkat oleh kerana konflik antara negara anggota. Di antara pertubuhan yang dibentuk pada masa itu ialah pertubuhan Asia tenggara (ASA), MAPHILINDO, dan The Asian and Pasific Council (ASPAC).

2.1 ASA

Pada 30 Julai 1961, ASA telah dibentuk hasil pertemuan Menteri-menteri Luar Tanah Melayu, Filipina dan Thailand di Bangkok. Tujuan utama pembentukannya ialah untuk meningkatkan kerjasama sosio-ekonomi, kebudayaan serta pentadbiran. Walau bagaimanapun ASA telah gagal bertahan lama akibat daripada kelemahan struktur organisasi serta konflik yang kian memuncak di antara negara-negara anggota terutamanya tuntutan Filipina ke atas Sabah dan konfrantasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1963.




2.2 MAPHILINDO

MAPHILINDO telah ditubuhkan pada 31 Julai 1963 hasil cadangan Presiden Macapagal dari Filipina dan dianggotai oleh Malaya, Filipina dan Indonesia. Namun akibat daripada timbulnya konflik dalaman dan luaran antara negara-negara anggota telah membawa kepada kegagalan MAPHILINDO. Penubuhan Malaysia telah membawa tentangan hebat daripada Filipina yang menuntut haknya ke atas Sabah yang didakwa sebagai wilayah warisan Kesultanan Sulu. Begitu juga Indonesia yang turut menentang oleh kerana adanya cita-cita Presiden Sukarno untuk mewujudkan “Indonesia Raya” melalui penggabungan semua kepulauan Melayu. Pembentukkan Malaysia dilihat sebagai halangan utama cita-cita beliau dan dianggap sebagai satu bentuk Imperialisme dan dasar Kolonialism barat ke atas negara-negara di Asia Tenggara. Konflik semakin nampak dengan pemisahan Singapura daripada Malaysia di atas alasan perbezaan sistem dan keinginan untuk mencapai kemerdekaan. Lantaran itu akibat konflik yang berlanjutan, MAPHILINDO akhirnya turut berkubur.

2.3 ASPAC

Tahun 1966 menyaksikan pembentukan satu lagi pertubuhan baru iaitu ASPAC yang dianggotai oleh Malaysia, Filipina, Thailand, Australia, Jepun, Taiwan, New Zealand, Korea Selatan dan Vietnam Selatan. Tumpuan pertubuhan ini ialah untuk menggalakkan kerjasama serantau di dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan di kalangan negara-negara Asia Pasifik. Seperti pertubuhan lain, ASPAC juga mengalami kegagalan, oleh kerana pertubuhan ini dikatakan tidak menggambarkan kerjasama serantau yang sebenarnya dengan adanya keanggotaan negara luar dari Asia Tenggara. Pada tahun 1975, ASPAC telah dibubarkan, namun ia telah memberi idea bagi pembentukan pertubuhan kerjasama serantau yang lebih mantap di Asia Tenggara.




3. SENARIO POLITIK

Beberapa senario politik di Asia Tenggara pada pertengahan tahun 1960 an telah menjadi faktor pendorong ke arah pembentukan pertubuhan serantau. Tercetusnya perang Vietnam pada tahun 1965 telah menyedarkan negara-negara di Asia Tenggara tentang peri pentingnya kerjasama dan perpaduan serantau bagi mengelakkan campurtangan kuasa luar. Perubahan pucuk pimpinan di Indonesia yang seterusnya menamatkan konfrantasi Malaysia-Indonesia telah berjaya mengurangkan ketegangan di Asia Tenggara. Begitu juga dengan perlantikan Marcos sebagai Presiden Filipina telah mendinginkan isu tuntutan ke atas Sabah.

Justeru ini memungkinkan lagi wujudnya kerjasama sosio-ekonomi di kalangan negara-negara serantau. Ini ditambahkan lagi dengan keinginan untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai kawasan aman dan stabil serta bebas daripada campurtangan kuasa-kuasa besar yang mahu meluaskan pengaruh masing-masing.

4. PENUBUHAN ASEAN

Hasil daripada senario politik yang telah dinyatakan satu perbincangan rasmi telah diadakan di antara wakil kerajaan Malaysia, Indonesia, dan Thailand di Bangkok pada 29 Mei hingga 1 Jun 1966. Tujuan perbincangan ini adalah untuk mewujudkan hubungan dan kerjasama yang lebih erat di kalangan negara-negara Asia Tenggara. Perbincangan seterusnya di antara menteri-menteri Luar Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina dan Thailand pada awal tahun 1967 di Bangkok telah merintis jalan ke arah pembentukan satu pertubuhan kerjasama serantau. Akhirnya ASEAN telah ditubuhkan melalui Deklarasi Bangkok pada 8 ogos 1967 dengan tujuan utama untuk mewujudkan kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan demi kestabilan dan keamanan rantau Asia Tenggara. Keahlian ASEAN pada ketika itu hanyalah lima buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, dan Thailand.


5. OBJEKTIF PENUBUHAN ASEAN

ASEAN ditubuhkan dengan matlamat utama untuk kepentingan bersama serta mewujudkan kerjasama serantau dari segi politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan. Melalui konsep kolektif ini, negara-negara anggota ASEAN berkongsi tanggungjawab untuk memajukan tingkat sosio-ekonomi dan memastikan kestabilan serta keamanan serantau yang bebas daripada ancaman dan pengaruh kuasa luar.

Deklarasi Bangkok yang ditandatangani pada 8 Ogos 1967 telah menggariskan objektif utama ASEAN iaitu :-
Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan pembangunan kebudayaan serantau melalui usahasama dalam semangat keamanan dan persahabatan demi mengukuhkan keamanan dan kesejahteraan seluruh komuniti di Asia Tenggara.

Mewujudkan keamanan dan kestabilan serantau menghormati keadilan dan undang-undang di dalam hubungan antara negara serta mematuhi prinsip-prinsip carta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Mewujudkan kerjasama aktif dan saling membantu ke atas perkara-perkara kepentingan bersama dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan, teknikal, saintifik dan pentadbiran.

Mengadakan kerjasama yang lebih berkesan untuk meningkatkan lagi aktiviti pertanian dan industri, meluaskan perdagangan dan komoditi antarabangsa, meningkatkan pengangkutan serta komunikasi dan taraf rakyat.

Menggalakkan kajian tentang Asia Tenggara.

Mengekalkan kerjasama erat dengan organisasi antarabangsa dan serantau yang mempunyai matlamat sama serta mencari jalan merapatkan lagi kerjasama dengan mereka.

6. STRUKTUR ORGANISASI ASEAN

6.1 ASEAN Heads of Government
Ia merupakan kuasa tertinggi di dalam ASEAN diwakili oleh persidangan Ketua-ketua kerajaan ASEAN yang digelar sebagai ASEAN Summit atau persidangan Kemuncak ASEAN. Ia merupakan persidangan formal yang diadakan setiap tiga tahun sementara persidangan secara tidak formal diadakan sekali di antara persidangan formal.

6.2 ASEAN Ministerial Meeting (AMM)
Ia merupakan persidangan bagi Menteri-menteri Luar ASEAN. Persidangan ini dijalankan setiap tahun di mana ianya bertanggungjawab di dalam membentuk garis panduan dasar-dasar dan aktiviti-aktiviti ASEAN.

6.3 ASEAN Economic Ministers (AEM)
Ia dibentuk semasa Persidangan Kemuncak di kuala Lumpur pada tahun 1977. Ia bersidang setiap tahun secara formal atau tidak formal untuk mengarah kerjasama ekonomi ASEAN.

Terdapat banyak lagi badan yang telah ditubuhkan di bawah struktur ASEAN seperti; Joint Ministerial Meeting (JMM), ASEAN Standing Committee (ASC), Senior Officials Meeting (SOM), Senior Economic officials Meeting (SEOM) dan banyak lagi.




7. PERSIDANGAN KEMUNCAK ASEAN (ASEAN SUMMIT)
7.1 Persidangan Kemuncak ASEAN Pertama
ASEAN SUMMIT yang pertama telah diadakan di Bali, Indonesia pada 23-24 Februari 1976. Persidangan ini telah mencapai beberapa resolusi dan kejayaan. Di antaranya ialah ;
Ø Pengisytiharan ASEAN CONCORD
Di dalam pengisytiharan ini apa yang dapat dipersetujui oleh negara-negara ASEAN pada ketika itu ialah menegakkan komitmen mereka terhadap Deklarasi Bandung, Bangkok, Kuala Lumpur dan Piagam PBB. Selain itu, ASEAN CONCORD juga berusaha mewujudkan keamanan, kemajuan dan kemakmuran di kalangan rakyat negara anggota. Ianya juga mahu meluaskan kerjasama ASEAN dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaan dan politik di kalangan negara anggota ASEAN.

Ø Treaty of Amity and Coorporation in SEA
Di dalam perjanjian ini ia menekankan usaha mewujudkan keamanan dan kestabilan dengan menghormati undang-undang di dalam perhubungan mereka. Selain itu perjanjian ini juga menekankan penyelesaian perselisihan melalui cara-cara aman seperti rundingan damai dan sebagainya. Di dalam perjanjian ini turut menekankan tentang kerjasama di antara Negara-negara di Asia Tenggara dan Negara-negara luar perlu diperluaskan.

Ø Pembentukan Sekretariat ASEAN (ASEAN Secretariat)
Sekretariat ini telah dibentuk melalui perjanjian yang ditandatangani oleh menteri-menteri luar ASEAN semasa Persidangan Kemuncak di Bali pada tahun 1976. Sekretariat ini bertujuan untuk meningkatkan penyelarasan dan implementasi dasar-dasar, projek-projek dan aktiviti badan-badan di bawah ASEAN. Pernyataan misinya mencerminkan semangat dan matlamat Persidangan Kemuncak ke-4 iaitu ke arah memperkukuhkan serta memperhebatkan lagi kerjasama di kalangan Negara anggota ASEAN. Terdapat 4 biro di dalam Sekretariat ASEAN iaitu ;
1. Biro AFTA – bertanggungjawab menguruskan hal-hal berkaitan dengan “ASEAN Free Trade AREA”
2. Biro Kerjasama Ekonomi (Bureau of Economic Cooporation)- menangani perkara-perkara berkaitan dengan pelaburan, kewangan, perbankan, makanan, pertanian, pengangkutan, tenaga dan lain-lain lagi.
3. Biro Kerjasama Fungsional (Bureau of Functional Cooporation) - bertanggungjawab menggariskan dan menyelaras implementasi pelan bertindak berhubung dengan sains dan teknologi, alam sekitar, kebudayaan dan maklumat, pembangunan sosial serta pengawalan penyalahgunaan dadah.
4. Biro Kerjasama dan Perhubungan Dialog ASEAN (Bureau for ASEAN Cooporation and Dialogue Relations) - bertanggungjawab melaksanakan sistem penilaian projek yang diguna pakai oleh Jawatankuasa tetap ASEAN.

7.2 Persidangan kemuncak ASEAN Kedua
Diadakan di Kuala Lumpur pada 4-5 Ogos 1977 di mana resolusi yang dicapai ialah dengan pembentukan ASEAN Economic Ministers (AEM). Selain itu Ketua-ketua ASEAN bersetuju untuk memanggil menteri-menteri lain yang relevan di dalam ASEAN Ministerial Meeting (AMM).

7.3 Persidangan kemuncak ASEAN Ketiga
Ianya telah diadakan di Manila pada 14-15 Disember 1987 dan resolusi yang dicapai ialah dengan terbentuknya Joint Ministerial meeting (JMM),
Senior Officials Meeting (SOM), Senior Economic Officials Meeting (SEOM), dan Joint Consultative Meeting (JCM). Selain itu persidangan kali ketiga ini turut meminda terhadap Treaty of Amity and Cooporation in SEA(TAC) bagi menampung kemasukan Papua New Guinea dan lain-lain negara di Asia Tenggara.

7.4 Persidangan Kemuncak ASEAN Keempat
Persidangan kemuncak ini telah diadakan di Singapura pada tahun 1992. di antara resolusi dan kejayaan yang dicapai ialah terbentuknya Majlis AFTA(AFTA Council) yang bertujuan untuk menyelenggara, menyelaras dan menilai semula Common Effective Preferential Tariff (CEPT) Scheme. Selain itu persidangan kemuncak kali keempat ini juga bertujuan untuk mencapai kata sepakat untuk memperteguhkan lagi Sekretariat ASEAN supaya ia dapat menyokong inisiatif persidangan ini dengan efektif. Ia juga mencapai resolusi iaitu memperhebatkan lagi kerjasama ekonomi ASEAN bagi menampung pertumbuhan dan pembangunan ASEAN.

7.5 Persidangan Kemuncak ASEAN Kelima
Persidangan Kemuncak ASEAN kelima ini telah berlangsung pada 14 dan 15 Disember 1995 di Bangkok. Di antara kejayaan persidangan ini ialah termeterainya perjanjian Treaty on the SEA Nuclear Weapon – Free Zone atau Zone of Peace Freedom, and Neutrality (ZOPFAN). Selain itu ia memastikan keamanan dan keselamatan antarabangsa melalui ‘nuclear disarmament’. Persidangan kelima ini juga melakar sejarah apabila ianya merupakan pertemuan pertama di antara ketujuh-tujuh Ketua Negara ASEAN dengan Ketua Negara Kemboja, Laos dan Myanmar selepas kemasukan Brunei dan Vietnam sebagai anggota ASEAN. Pada persidangan yang keenam Kemboja telah diterima sebagai anggota kesepuluh ASEAN.




8. KERJASAMA POLITIK DAN KESELAMATAN SERANTAU ASEAN
Isu politik dan keselamatan telah membawa kepada beberapa resolusi penting yang digunapakai oleh negara anggota ASEAN. Di antaranya ialah Zon of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN), Treaty of Amity and Cooperation in SEA (TAC), Declaration of ASEAN CONCORD dan Treaty on the South East Asia Nuclear Weapon-Frees Zone (SEANWFZ).

ZOPFAN misalnya telah diisytiharkan dalam tahun 1971 dengan menekankan semangat keamanan serta komitmen ASEAN untuk menjadikan rantau ini bebas daripada sebarang campurtangan negara luar rantau. TAC pula merupakan ‘a code of international conduct’ yang memberi garis panduan perhubungan di antara negara-negara di rantau ini mengikut ketetapan Piagam PBB. ASEAN Concord pula yang diisytiharkan pada 1976 mengandungi prinsip-prinsip serta rangka kerja bagi kerjasama ASEAN dalam bidang politik, keselamatan, ekonomi dan fungsional. Sementara SEANWFZ merupakan sumbangan ASEAN ke arah usaha mengadakan perlucutan senjata nuklear sepenuhnya.

8.1 ASEAN Regional Forum (ARF)
ARF telah dibentuk pada tahun 1994 dan berperanan sebagai forum perundingan bertujuan ke arah mewujudkan ‘preventive diplomacy’ dan membina keyakinan di kalangan negara-negara di Asia Pasifik. Forum ini diwakili oleh sembilan ahli anggota ASEAN, Kemboja sebagai pemerhati, sepuluh sekutu dialog serta Papua New Guinea sebagai pemerhati jemputan. Senior Official Meeting (SOM) untuk ARF (ARF SOM) juga telah diadakan bagi menyediakan sokongan dan tindakan susulan ke atas aktiviti-aktiviti ARF. ARF telah bersejutu dengan tiga peringkat pendekatan ke arah kerjasama iaitu :-
i) Membina keyakinan;
ii) Mewujudkan ‘preventive diplomacy’ ; dan
iii) Mempertimbangkan pendekatan menangani konflik.


8.2 Special SOM
Di peringkat intra-ASEAN, Special Meeting of ASEAN Senior Officials (Special SOM) telah dibentuk yang diwakili oelh pegawai Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan Negara anggota ASEAN. Persidangan ini membincangkan tentang bidang kerjasama yang sedang dan mungkin diadakan dari segi politik dan keselamatan.

8.3 ASEAN-ISIS
Dalam usaha mengukuhkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan rantau Asia Tenggara, ASEAN juga mengadakan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan. Perbincangan-perbincangan tentang hal-ehwal politik dan keselamatan sering diadakan misalnya dengan ASEAN-Institutes of Strategic and International Studies (ASEAN-ISIS) yang terdapat di setiap negara anggota ASEAN.

8.4 Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB)
Negara-negara ASEAN juga mengadakan kerjasama dalam mencari jalan dan cara meningkatkan usahasama dengan PBB dalam mewujudkan rantau aman dan stabil. ASEAN juga sepakat untuk berusaha ke arah menjadikan PBB sebuah badan yang efektif dalam mewujudkan keamanan dan kesejahteraan di rantau ini dan di peringkat dunia di dalam era pasca Perang Dingin.


9. KERJASAMA EKONOMI ASEAN
Bermula dengan beberapa aktiviti ekonomi di tahun-tahun 1960-an, kini kerjasama ekonomi semakin meluas di kalangan negara anggota ASEAN. Ini jelas terlibat dari komitmen yang kuat negara-negara ASEAN untuk menjadikan rantau ini sebagai kuasa ekonomi yang kuat dan dinamik.

Kerjasama ekonomi ASEAN meliputi usaha-usaha liberalisasi dan kemudahan perdagangan serta aktiviti pelaburan. Keputusan-keputusan tegas juga telah diambil untuk meningkatkan dan mengukuhkan kerjasama industri melalui satu skim baru yang mengambilkira keperluan industri serta keadaan ekonomi serantau ASEAN. Kemajuan juga telah dicapai di dalam kerjasama untuk memajukan sektor swasta dan perniagaan bersaiz kecil serta pertengahan.

Matlamat kerjasama ekonomi ASEAN di tahun 1990 an adalah untuk;-

i) Melaksanakan ASEAN Free Trade Area (AFTA) sepenuhnya.
ii) Membangunkan rantau ini sebagai ‘global base’ bagi pengeluaran barangan yang bermutu dan menggunakan teknologi canggih untuk pasaran di Asia Tenggara.
iii) Meningkatkan keberkesanan industri rantau ini berdasarkan prinsip-prinsip ‘market sharing’ dan ‘resource pooling’
iv) Meningkatkan daya tarikan rantau ini sebagai kawasan pelaburan serta destinasi pelancongan.
v) Bekerjasama untuk meningkat lagi pembangunan infrastruktur yang dapat menyumbang ke arah suasana perdagangan yang lebih berkesan.
vi) Memastikan sumber-sumber yang banyak di rantau ini digunakan dengan efektif dan efisyen.

Kejayaan kerjasama ekonomi ASEAN merupakan hasil daripada kebijaksanaan dan ketegasan keputusan yang diambil semasa Deklarasi Bangkok pada tahun 1967. Deklarasi ini telah meletakkan asas kepada kerjasama ekonomi dan di antara lain telah menekankan matlamat serta tujuan berikut :-

Ø Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan social dan pembangunan kebudayaan di arantau ini.

Ø Menggalakkan kerjasama aktif serta saling membantu di dalam hal-hal kepentingan bersama di bidang ekonomi, sosial, kebudayaan, teknikal, saintifik dan pentadbiran.

Ø Bekerjasama secara lebih efektif untuk meningkatkan penggunaan sumber pertanian dan industri di rantau ini, meluaskan perdagangan, memperbaiki kemudahan pengangkutan serta komunikasi dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya.

Langkah yang paling signifikan untuk meningkatkan perdagangan di ASEAN merupakan pembentukan AFTA semasa Persidangan Kemuncak Keempat pada tahun 1992.
Objektif utama AFTA adalah untuk meningkatkan kedudukan ASEAN sebagai ‘competitive production base’ untuk memenuhi pasaran dunia. Ini diharapkan dapat dicapai melalui perluasan perdagangan intra-ASEAN dan juga pengaliran masuk pelaburan luar secara terus.

The Common Effective Preferential Tariff (CEPT) Scheme merupakan mekanisma utama dalam merealisasikan AFTA. CEPT telah dilancarkan pada 1 januari 1993 dan meliputi produk pengeluaran serta pertanian. Skim ini memerlukan pengurangan tariff bagi semua produk di dalam ‘Inclusion List’. Pengurangan tariff ini bermula semenjak tahun 1994 dan menjelang tahun 2003 tarif untuk semula produk di dalam ‘Inclusion List’ seharusnya tidak melebihi 5%.

10. HUBUNGAN LUAR ASEAN
Komitmen ASEAN untuk meluaskan hubungan luarnya telah dimulakan semenjak Persidangan Ketua-ketua Negara ASEAN yang pertama di Bali pada tahun 1976. Di sini ASEAN telah melahirkan kesediaannya untuk mengadakan hubungan dan kerjasama yang akan memberi keuntungan bersama dengan negara-negara lain di rantau ini. Persidangan Kemuncak yang Kedua pada tahun 1977 sekali lagi menegaskan usaha ASEAN untuk memperluaskan dan mengukuhkan kerjasama ekonomi dengan negara-negara ketiga atau kumpulan negara-negara.

Kumpulan Negara pertama yang menjadi fokus hubungan luar ASEAN merupakan negara rakan perdagangan utamanya. ASEAN telah mengadakan hubungan dialog sepenuhnya dengan Australia, Jepun, New Zealand, USA, EU, Canada dan Republik Korea. India yang telah menjadi “sectoral dialogue partner” ASEAN semenjak 1993 telah ditingkatkan ke kedudukan Rakan Dialog (Dialogue partner) pada tahun 1995. Begitu juga China dan Russia yang mengadakan hubungan baik dengan ASEAN telah diberikan status Rakan Dialog pada tahun 1996. Pakistan pula telah mengadakan “sectoral dialogue relations” dengan ASEAN dalam tahun 1977.

Hubungan dialog ASEAN telah berjaya menggalakkan perdagangan serta pelaburan, memberi kemudahan pemindahan teknologi dan pengetahuan, juga memudahkan kemasukan produk ASEAN ke dalam pasaran rakan-rakan dialognya. Ia juga membolehkan ASEAN mengadakan dialog tentang isu-isu serantau dan global dengan negara-negara utama dunia. Selain daripada itu hubungan tersebut telah dapat memastikan ASEAN mendapat bantuan pembangunan dan teknikal.

Kerjasama ekonomi telah menjadi bidang kerjasama yang paling penting di dalam hubungan ASEAN dengan rakan dialognya. Kerjasama ekonomi ASEAN meliputi bidang perdagangan dan pelaburan, pembangunan industri, pemindahan teknologi, tenaga, komunikasi, pengangkutan dan pelancongan.

Kerjasama pembangunan ASEAN dengan rakan dialognya adalah dikaitkan dengan kepentingan ekonomi kedua-dua belah pihak. Lantaran itu kebanyakan daripada program-program dan projek-projek pembangunan telah direka bagi tujuan memenuhi objektif ini. Kerjasama ini adalah berasaskan rakan kongsi (partnership) dalam bidang sains dan teknologi, HRD, alam sekitar, pembangunan sosial dan kebudayaan serta kawalan narkotik.

Kerjasama pembangunan ini berakar umbi daripada usaha di kalangan negara anggota ASEAN dan juga bantuan daripada rakan dialognya. Adanya kesedaran tentang peri pentingnya pengurusan berhemah demi untuk mendapat faedah maksimum daripada bantuan luar ini, telah membawa kepada pembentukan ASEAN Coorperation Unit (ACU) semasa ASEAN Ministerial Meetings (AMM) ke-22. Unit ini bertanggungjawab ke atas semua aspek penilaian projek dan pengurusan.

Selain daripada mengadapan hubungan dialog dengan rakan dialog yang sedia ada, persidangan Kemuncak ASEAN yang keempat pada tahun 1992, juga bersetuju untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama ASEAN dengan negara-negara lain yang berminat serta pertubuhan-pertubuhan antarabangsa.

10.1 ASEAN dan Negara Luar
v ASEAN – Amerika Syarikat (AS)
Dialog ASEAN – AS telah diwujudkan secara formal pada tahun 1977. Ia menumpukan kepada menyertaan aktif sektor swasta di dalam meningkatkan kerjasama. Melalui projek ASEAN Private Investment and Trade Opportunities (PITO), kerjasama pembangunan serta perdagangan dan pelaburan telah dapat diperkukuhkan.

Pada penghujung tahun 1996, pelaburan AS di Asia Tenggara bernilai lebih daripada USD$35 billion. Pelaburan AS juga telah mengalami diversifikasi di rantau ini. Di pertengahan tahun 1980 an kebanyakan daripada pelaburan AS adalah di dalam sektor minyak dan gas. Kini sektor pengeluaran (manufacturing) menjadi pelaburan terbesar AS di ASEAN.

Sementara itu ASEAN kekal sebagai pasaran luar negara yang ketiga terbesar bagi eksport AS selepas UE dan Jepun. Dari tahun 1977-1990 eksport AS ke ASEAN meningkat ke 155% dengan kadar pertumbuhan eksport terbesar berbanding dengan pertumbuhan di Hong Kong, Mexico, Korea dan pasaran-pasaran utama yang lain.

Perdagangan ASEAN – AS dirancakkan lagi dengan pembentukan US-ASEAN Business Council. Majlis ini merupakan organisasi swasta utama yang mewakili kepentingan sektor swasta di Amerika Syarikat. Majlis ini bertujuan untuk meluaskan kedudukan persaingan AS dalam bidang perdagangan dan pelaburan di rantau Asia Tenggara. Ia menyediakan maklumat penting, serta mengadakan program-program untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan sektor swasta di negara anggota ASEAN.

AS juga menyalurkan bantuan di dalam bidang pemindahan teknologi, HRD, alam sekitar, sains dan teknologi dan juga kawalan narkotik. Dialog ASEAN-AS ini juga merupakan satu forum di mana perbincangan tentang isu-isu politik serta keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa diadakan.

v ASEAN – Australia
Pada tahun 1974, the ASEAN – Australian Economic Cooperation Programme (AAECP) telah dibentuk dan menjadi titik tolak hubungan ASEAN – Australia. Kini AAECP Phase II menyambung usaha ke arah meningkatkan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan di antara ASEAN – Australia melalui aktiviti-aktiviti Project Streams.

AAECP menekankan kemajuan sains dan teknologi serta HRD dengan membina rangkaian di antara sektor swasta ASEAN – Australia melalui apa yang dikenali sebagai “The Linkages Stream”.

v ASEAN – India
Di awal tahun 1993, ASEAN – India telah memulakan “sectoral dialogue” di dalam bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan serta sains dan teknologi. Sebuah tabung ASEAN – India Fund telah ditubuhkan bagi menaja aktivit-aktiviti kerjasama di antara kedua-dua pihak.

Di persidangan Kemuncak Kelima pada bulan Disember 1995 di Bangkok, keputusan telah dicapai untuk memberikan India status rakan dialog (Full Dialogue Partner).

Semenjak itu ASEAN dan India telah membentuk Joint Cooperation Committee (JCC) dan telah mengadakan pertemuan pertamanya di New Delhi pada bulan November 1996. kedua-dua belah pihak bersetuju untuk meluaskan lagi bidang kerjasama mereka hingga merangkumi HRD dan hubungan antara rakyat. ASEAN – India juga telah bersetuju untuk memulakan dialog politik di peringkat SOM.

v ASEAN – Jepun
Hubungan ASEAN – Jepun telah dimulakan pada tahun 1973 dan di Institusikan pada tahun 1977. Melalui ASEAN – Japan Forum, kedua-dua pihak telah membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama termasuk perdagangan, komoditi, pelaburan, pemindahan teknologi, kerjasama kebudayaan dan kerjasama pembangunan.

Jepun telah mengeluarkan sumbangan bagi penubuhan ASEAN Cultural Fund dengan tabungan berjumlah USD$40 juta pada tahun 1977. Tabung ini juga adalah untuk mengadakan Japan – ASEAN Exchange Programmed an Inter – ASEAN Techincal Exchange Programme.

Di dalam Forum Meeting Ke-15 di Tokyo pada bulan Mei 1977, ASEAN dan Jepun bersetuju supaya forum tersebut memainkan peranan utama di dalam dialog mereka. Mereka juga bersetuju mengadakan pertemuan forum itu sekali setahun sebelum ASEAN Post Ministrerial Conference.

10.2 ASEAN – Pertubuhan Serantau
v ASEAN – Europian Union (EU)
Sebagaimana yang telah dinyatakan, EU merupakan salah satu daripada rakan dialog ASEAN. Selain daripada aktiviti-aktiviti yang telah disebutkan, hubungan ASEAn – EU juga terjelma melalui European Commision Supported Programmes. Program-program ini menggalakkan kerjasama perdagangan dan perniagaan di antara syarikat-syarikat di EU dengan ASEAN.

Di antara program-program di bawah naungan European Commission ini ialah :-
1) Asia Invest
Asia Invest merupakan program lima tahun yang diadakan dengan tujuan memberi kemudahan pelaburan serta membantu syarikat-syarikat bersaiz kecil dan sederhana di Eropah dan Asia untuk mengadakan perkongsian perniagaan serta berkembang di peringkat antarabangsa.

Asia Invest membekalkan maklumat-maklumat relevan bagi memudahkan syarikat-syarikat ini membuat keputusan tentang perkongsian, pasaran dan pelaburan. Program ini juga memecah halangan-halangan yang menghalang syarikat-syarikat ini daripada mencari pasaran serta rakan kongsi baru.

Asia Invest merangkumi negara-negara di EU, Asia Tenggara, Asia Selatan dan China. Ia akan menghubungkan European Business Information Centres (EBICs) di Asia dengan Euro – Info – Centres serta badan-badan perniagaan dan industri di Eropah.

2) Standards, Quality and Conformity Assessment Program
Ini merupakan program yang bertujuan untuk meningkat lagi kerjasama ekonomi EU/ASEAN dengan menggunapakai tingkat kepiawaian dan kualiti yang sesuai bagi kedua-dua belah pihak.

Program ini mempunyai “5 years regional component” yang bertujuan ke arah membantu mengadakan pasaran dalaman ASEAN di mana barangan bebas bergerak serta terbuka kepada Produks EU.

Ia juga mempunyai “3 years national component” yang bertujuan mengukuhkan kualiti infrastruktur di negara-negara ASEAN. Selain daripada itu komponen ini juga menggalakkan pertukaran amalan-amalan yang baik dan berkualiti di kalangan sektor-sektor ekonomi, organisasi dan syarikat-syarikat di EU dan ASEAN. Ini diharapkan dapat menyumbang ke arah perkembangan hubungan jangka panjang ASEAN – EU.

v ASEAN – United Nation Development Program (UNDP)
Kerjasama di antara ASEAN – UNDP telah bermula semenjak tahun 1970an dengan adanya “Kansu Report” (1972) yang menjadi asas pembentukan program-program serantau yang lain. Sejak itu UNDP telah menjadi organisasi “multilateral aid” serta rakan dialog bukan kerajaan yang terbesar bagi ASEAN.

ASP – 5 atau “ASEAN – UNDP Sub-regional Programme for the Fifth Cycle” (1992-1996) menyediakan bantuan teknikal di dalam lima bidang utama iaitu:-

a) Pembangunan manusia dengan menekankan elemen-elemen perubahan sosio-ekonomi dan kesannya ke atas masyarakat, keadilan dalam pengagihan sumber bagi golongan minoriti dan kurang bernasib baik, pendidikan serta masalah dadah dan AIDS.

b) "Capacity Building” yang memberi bantuan dari segi meningkatkan keupayaan pengurusan program-program kerjasama ASEAN serta menambah kemahiran dan pengetahuan kakitangan professional dan sokongan dalam secretariat ASEAN.

c) Liberalisasi perdagangan dan pelaburan yang meletakkan piawai serta memudahkan perdagangan intra-ASEAN, meningkatkan kecekapan serta keberkesanan dalam perlaksanaan CEPT, membentuk strategi dan rancangan untuk mengukuhkan industri-industri tertentu serta menggalakkan pelaburan.

d) Perdagangan dan alam sekitar yang menekankan isu-isu perdagangan dan kaitannya dengan alam sekitar.

e) Sains dan teknologi yang menyediakan bantuan dari segi aktiviti-aktiviti sains dan teknologi serta teknologi dan alam sekitar.

11. KESIMPULAN
Asia Tenggara merupakan sebuah kawasan yang diwarnai dengan pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya. Namun walaupun adanya diversifikasi ini, ia mampu untuk menjadi sebuah rantau yang maju, dinamik dan berwawasan. Dengan adanya kerjasama di antara negara-negara di dalamnya Asia Tenggara pasti mempunyai masa depan yang cerah serta dapat menyaingi negara-negara maju yang lain.

Sebagai badan yang penting di rantau ini ASEAN tidak pernah bebas ataupun sunyi daripada cabaran. Ketika ASEAN mengorak langkah ke arah mencapai satu identiti, satu matlamat dan satu komuniti, ia kini semakin terdedah kepada isu-isu sensitif seperti konflik politik dalaman, demokrasi, tadbir urus yang cekap, malapetaka semula jadi, dan hak-hak asasi iaitu isu-isu yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.

Bagaimanapun, dalam mengimbas kembali perjalanan selama empat dekad, sebenarnya ASEAN telah melakarkan segmen kejayaan tersendiri. Kejayaan ini boleh digambarkan menerusi pembentukan perjanjian dan kata sepakat seperti Deklarasi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali atau ZOPFAN (1971), Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (1976), Deklarasi ASEAN Mengenai Laut China Selatan (1992) dan Perjanjian Zon Asia Tenggara Bebas Senjata Nuklear (1995), dan Forum Serantau ASEAN. Ini adalah kejayaan yang unik.

Justeru, ASEAN sentiasa menjadi tarikan dan dilihat sebagai contoh kerjasama ekonomi yang berdaya maju. Jika dilihat dari sudut yang lebih luas, hampir kesemua kuasa ekonomi dunia sekarang ini menjadi rakan dialog ASEAN, dan negara-negara lain juga ingin berbuat demikian. Malahan, Taiwan telah melahirkan minat untuk menjadi anggota ASEAN. Rusia dan Taiwan juga memperlihatkan keinginan untuk bersama ASEAN.

Usaha sedemikian telah menyumbang kepada tindakan mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau menerusi langkah-langkah membina kepercayaan walaupun terdapat cabaran. Dalam pelbagai kejayaan yang direkodkan, keamanan dan kestabilan mengambil kedudukan utama.

Mengenai kejayaan dalam bidang ekonomi pula, ASEAN menjalin kerjasama di pelbagai peringkat, antaranya mewujudkan Pelan Projek-Projek Perindustrian ASEAN dan Skim Usaha Sama Perindustrian ASEAN. Pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) pula merupakan satu lagi kejayaan penting ASEAN dalam proses globalisasi.

Satu lagi ialah semangat bersatu yang wujud kesan daripada krisis kewangan 1997-1998 yang membolehkan negara-negara ASEAN kembali pulih walaupun masalah ekonomi yang dihadapi ketika itu amat serius.

ASEAN pernah dilabelkan sebagai tidak relevan dengan perkembangan semasa. Sepanjang sedekad yang lalu pertumbuhan serantau ini telah mengatasi banyak isu berkaitan dan kembali kukuh di arena antarabangsa. Pertambahan anggota dan rakan dialog bukan sahaja menjadikan ASEAN semakin dinamik, malah boleh mengundang masalah jika tidak diurus dengan baik.

Pokoknya, ASEAN merupakan salah satu entiti global yang tidak boleh memisahkan diri daripada rantau-rantau lain. ASEAN telah menyesuaikan diri dengan cabaran masa lalu, dan sudah pasti akan berbuat demikian pada masa-masa mendatang.

Di sebalik peredaran zaman, ASEAN tetap relevan dan dinamik lagi kukuh dengan memasyarakatkan ASEAN sebagai badan yang unggul di peringkat global dalam jangka panjang.

9 comments:

  1. good job!!!so hard to find the information!!!thank you very much!!!><

    ReplyDelete
  2. tqvm for information about ASEAN

    ReplyDelete
  3. TQVM for such a brilliant info.... really appreciate

    ReplyDelete
  4. terima kasih kepada empunya blog kerana memberi informasi yang sangat berguna tentang asean ni...senang skit nk buat assignment

    ReplyDelete
  5. Boleh bagitahu kenapa 'PIAWAI ASEAN' baru diwujudkan selepas 40tahun mereka bersama? Boleh sesiapa tolong?

    ReplyDelete
  6. thank kepada empunya blog banyak maklumat yang saya dapat.

    ReplyDelete