Tujuan entry ini adalah untuk menyambung perbincangan berkaitan pengambilan tanah di Pengerang, iaitu di dalam daerah Kota Tinggi, Johor.
Pada 16 September 2012, penulis pulang ke kampung halaman (Pengerang) kerana menerima jemputan dari Persatuan AnakPengerang. setiba di sana, lebih kurang jam 4.00 petang, penulis melihat sudah ramai penduduk berhimpun di banguna NGO di Sg. Kapal. perhimpunan itu bertujuan untuk menyampaikan hasrat semua penduduk kampung yang masih tidak berpuashati dengan pentadbiran Negeri yang seolah-olah tidak mengendahkan sura penduduk Pengerang. Semua penduduk diberi peluang untuk berucap dan memberikan pandangan masing-masing. Ada yang mohon kaji semula jumlah pampasan agar lebih setimpal dan memberi kegembiraan kepada penduduk.
AKTA
PENGAMBILAN TANAH 1960
TUJUAN:
Esei
ini disediakan adalah bertujuan untuk:-
(a). menerangkan secara
ringkas konsep-konsep penting yang terdapat didalam Akta Pengambilan Tanah 1960
(APT); dan
(b) membincangkan peruntukan
perlindungan terhadap hartanah dibawah Perlembagaan Persekutuan (PP) dan
keperluan undang-undang didalam APT 1960.
Malaysia adalah merupakan
sebuah negara demokrasi yang menjunjung tinggi hak-hak asasi kemanusiaan.
Diantara hak asasi manusia yang didukong tinggi ialah hak untuk bersuara,
berparti politik dan memilikki hartanah, sekadar menyebut beberapa contoh.
Didalam kontek pemilikan hartanah, Artikel 13 PP menegaskan bahawa
tiada seorangpun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan
tiada sesuatu undang-undang boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau
menggunakan harta dengan paksa tanpa membayar pampasan yang mencukupi.
APT adalah merupakan satu
set undang-undang yang digubal khas untuk mengambil balik tanah milik dengan
syarat iaitu dipatuhi segala peruntukan yang sedia ada dan pembayaran pampasan
yang mencukupi dibuat. Sayogia diingatkan penggunaan APT tidak boleh diamalkan
sewenang-wenangnya.
1.
LATAR BELAKANG
Akta Pengambilan Tanah 1960
(APT), Akta 34 telah mula berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia semenjak
13.10.1960. Akta ini telah melalui beberapa proses pindaan sejak mula ia
berkuatkuasa. Pada tahun 1992, Akta ini telah disemak semula dan ia dikenali
sebagai APT 1960, Akta 486.
Mengikut Perlembagaan
Persekutuan (PP), item 2(d), Senarai Negeri, Jadual Ke 9, tanah adalah di bawah
bidang kuasa eksekutif Kerajaan Negeri. Walaubagaimanapun artikel 76 (4) PP
membenarkan Parlimen menggubal satu undang-undang tanah dengan tujuan untuk
keseragaman dan kesamaan polisi diantara Negeri. Justru APT 1960 telah digubal
oleh Parlimen, akan tetapi kuasa-kuasa eksekutif didalamnya masih lagi dipegang
oleh pihak Negeri.
Tujuan utama APT ini ialah
untuk memproses pengambilan balik tanah dan membayar pampasan yang mencukupi”.
Maka pengwujudannya adalah selaras dengan kehendak artikel 13(2) PP, yang
menyatakan “tiada undang-undang yang boleh membuat peruntukan bagi mengambil
atau mengguna harta benda dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi”.
2.
SUMBER KUASA
APT 1960 memberi kuasa
kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk mengambil tanah milik yang
diperlukan:-
(a). untuk sesuatu maksud
awam;
(b). oleh mana-mana orang
atau badan bagi apa-apa maksud yang pada pendapat PBN adalah berfaedah untuk
pembangunan ekonomi Malaysia atau mana-mana bahagian daripadanya atau kepada
orang ramai amnya atau mana-mana kelas orang ramai; atau
(c). untuk tujuan
perlombongan atau kediaman, pertanian,perdagangan, industri atau tujuan
rekreasi ataupun kombinasi daripada tujuan-tujuan tersebut.
3.
PROSEDUR PENGAMBILAN:
Oleh kerana APT itu sendiri
adalah merupakan undang-undang prosedural, maka untuk mendapatkan penerangan
yang lebih jelas mengenai kandungan APT , adalah bertepatan sekali perbincangan
mengenainya dibuat dengan cara melihat bagaimana prosedur pengambilan balik
tanah dijalankan. Pada kasarnya dan untuk tujuan penulisan esei ini, proses
asas pengambilan dapat dibahagikan kepada tiga keadaan iaitu:-
(a) Pra pengambilan
(b) Pengambilan
(c) Pasca Pengambilan
Tiap-tiap keadaan ini adalah
saling berkaitan dan perlu difahami dengan sepenuhnya bagi mendapatkan gambaran
yang jelas tentang tatacara pengambilan balik tanah dibuat dan perlu dipatuhi
sepenuhnya sebelum melangkah ke keadaaan yang seterusnya.
4.
PRA PENGAMBILAN
Didalam peringkat ini
terdapat beberapa aktiviti/gerak kerja yang penting iaitu permohonan,
pemeriksaan dan pengwartaan tanah yang hendak diambil balik. Permohonan boleh
terus dibuat kepada Pihak Berkuasa Negeri dan Pejabat Tanah dimana tanah yang
hendak diambil balik terletak.
Didalam keadaan-keadaan
tertentu dimana sesuatu tanah itu perlu diperiksa atau disiasat terlebih dahulu
sebelum dipastikan kesesuaiannya bagi sesuatu projek dan juga untuk mengelakkan
perlakuan tidak jujur oleh pihak yang berkepentingan untuk menuntut bayaran
pampasan yang berlebihan, maka tindakan pengwartaan dibawah seksyen 4 adalah
sesuai sekali.
Apabila kelulusan dibawah S.
4 ini telah diperolehi daripada PBN, pemberitahuan dalam Borang A hendaklah
disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri. Disamping itu Pentadbir Tanah (PT)
hendaklah juga menyiarkan kepada pihak awam mengenai notis dalam Borang A itu
dengan cara menampal ditempat tempat tertentu.
Jika didapati adalah perlu
siasatan tanah yang lebih terperinci dilakukan, Pengarah Tanah dan Galian
Negeri (PTG) boleh mengeluarkan surat kebenaran didalam Borang B, membenarkan
mana-mana orang atau pegawai untuk memasuki tanah tersebut bagi membuat kajian
kesesuaian tanah.
Jika sesuatu tanah telah
dipastikan untuk diambil bagi sesuatu projek dan pemeriksaannya tidak
diperlukan ataupun sudah diwartakan dibawah seksyen 4, maka tindakan seterusnya
ialah mengisytiharkan dibawah pengambilan dibawah seksyen 8.
Dalam hal ini PT akan
menyediakan kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan diiringi dengan Borang C dan D
yang mengandungi senarai lot lot tanah, nama pemilik tanah, keluasan yang
diambil dan juga pelan pengambilan. Setelah mendapat kelulusan PBN,
pengisytiharan dibawah seksyen 8 hendaklah disiarkan dalam Warta Kerajaan
Negeri dengan menggunakan Borang D.
Sebaik sahaja diisytiharkan
dalam warta kerajaan, sebagaimana yang dikehendaki oleh seksyen 9, PT hendaklah
menandakan atau menyebabkan ditanda kawasan yang terlibat dengan pengambilan
diatas tanah itu melainkan jika ini telah dilakukan dengan memuaskan hati PT.
Juga PT dikehendaki membuat nota atau menyebabkan dibuat nota tentang
pengambilan di atas dokumen hakmilik yang berkaitan.
5.
PENGAMBILAN
Selepas itu dibawah seksyen
10, PT akan mengeluarkan Notis Awam dalam Borang E yang menetapkan tarikh
siasatan, tempat dan masa bagi mendengar segala tuntutan pampasan keatas tanah
yang terlibat.
PT boleh menunda
siasatan-nya atau menangguhkan perbicaraannya dari semasa ke semasa.
Sebab-sebab penundaan atau penangguhan itu hendaklah direkodkan.
PT diberikuasa untuk
mendapatkan laporan bertulis mengenai nilaian tanah dan juga untuk memanggil
dan memeriksa saksi-saksi, mentadbir sumpah atau pengakuan dan memaksa supaya
dokumen-dokumen (termasuk dokumen hakmilik keluaran dan dokumen-dokumen lain
yang membuktikan hakmilik) dikemukakan dan diserahkan kepadanya.(seksyen 13).
Setelah selesai membuat siasatan dibawah seksyen 12, PT hendaklah menyediakan
award bertulis didalam Borang G bagi tanah yang terlibat dan mmmenyatakan
jumlah pampasan yang perlu dibayar bagi setiap orang yang terlibat mengikut
kepentingan masing-masing. Setiap award ini hendaklah difailkan dan merupakan
bukti muktamad yang mengikat keputusan PT.
Setelah membuat award
bertulis, PT hendaklah membuat tawaran pampasan dengan cara menyerah atau
menyebabkan diserah notis dalam bentuk Borang H kepada tiap-tiap orang yang
berkepentingan.
Pemilikan tanah secara rasmi
dibuat di bawah seksyen 22 dengan cara mengeluarkan notis Borang K dengan
menyampaikan-nya kepada penduduk tanah itu, jika ianya tidak dijumpai hendaklah
mengeposkan notis tersebut. Salinan notis ini hendak-lah juga disampaikan
kepada pemilik tanah, orang-orang yang berkepentingan dan agensi pemohon. Juga
salinan dihantar kepada pihak berkuasa pendaftaran untuk diendoskan didalam
hakmilik tanah yang terlibat.
Apabila Borang K didaftarkan
dengan sempurnanya didalam hakmilik maka tanah yang terjadual yang terlibat
dengan pengambilan dengan sendirinya menjadi tanah kerajaan.
Penarikan balik pengambilan
hanya boleh dibuat sebelum Borang K didaftarkan didalam hakmilik. Penarikan
balik pengambilan boleh dibuat di bawah seksyen 35 dan hendaklah diisytiharkan
didalam Warta Kerajaan. Akibat daripada penarikan ini PT akan menentukan amaun
pampasan yang kena dibayar apa-apa kerosakan pada tanah itu (jika ada).
6.
PASCA PENGAMBILAN
Sekiranya pengambilan balik
tanah melibatkan sebahagian daripada lot tanah, PT hendaklah mengemukakan
permohonan ukur kepada Jabatan Ukur supaya baki lot tanah itu diukur semula.
Pindaan cukai tanah ke atas baki lot perlu dibuat berdasarkan anggaran keluasan
tanah yang tidak diambil dan dibayar pada tahun kalendar yang berikutnya.
Selepas baki lot diukur oleh
Pejabat Ukur, bagi tanah yang dipegang dibawah hakmilik kekal, Pejabat Ukur
akan mengeluarkan hakmilik sambungan yang berkaitan dan diserahkan kepada
PT/Pendaftar (mana yang berkenaan) untuk dilengkapkan dan didaftarkan. Bagi
baki lot yang dipegang dibawah hakmilik sementara, PT dikehendaki membuat
pindaan keatas sempadan lot yang baru pada hakmilik berkaitan.
Semasa menjalankan siasatan,
adakalanya PT menemui jalan buntu untuk menentukan kesahehan sesuatu hakmilik,
suratcara yang dibawa atau pun orang yang layak menerima pampasan. Justru PT
dibolehkan membuat rujukan ke Mahkamah dengan menggunakan Borang M sebagaimana
dinyatakan dibawah seksyen 36.
Perlu diperhatikan bahawa PT
hendaklah berusaha untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum tamat tempoh
pengwartaan seksyen 8, iaitu dua tahun bagi membolehkannya membuat tawaran
pampasan.
Dibawah seksyen 37 mana-mana
orang yang berkepentingan keatas tanah boleh membuat bantahan terhadap :-
(a) ukuran tanah
(b) jumlah pampasan
(c ) siapa yang layak
menerima
(d) pembahagian pampasan
7.
KESIMPULAN
Demikian secara ringkas
tindakan-tindakan utama yang terkandung didalam proses pengambilan balik tanah.
Pada peringkat awal, ketentuan mengenai tanah, keluasan yang terlibat, jumlah
pampasan dan mereka yang menerima pampasan telah dipastikan. Prosedur-prosedur
yang seterusnya selepas itu ialah tindakan-tindakan susulan saperti pindaan
cukai, pengeluaran hakmilik sambungan dan pemilikan secara rasmi dibuat.
Sesungguhnya pengambilan balik tanah perlu diuruskan secara berhati-hati kerana
jika salah urus ia mungkin akan dicabar kesahihannya di Mahkamah. Prinsip asas
undang-undang tentang hak individu keatas hartanah perlu didukung, justru itu
PT perlulah prihatin dan berwaspada semasa menguruskan pengambilan tanah supaya
setiap tindakan yang diambil tidak melampaui Perkara 13 Perlembagaan
Persekutuan.
No comments:
Post a Comment