Wednesday, July 7, 2010

MENGKAJI TINDAKAN PENGUNDI

Bagaimana pengundi membuat keputusan? apakah sebabnya pengundi memilih sesuatu parti?
Persoalan ini sering dibincangkan oleh kebanyakan orang politik mahupun penganalisi politik. Seperti yang diketahui terdapat tiga pendekatan yang harus diambil berat untuk memahami bagaimanakah pengundi membuat keputusan dan pengundi memilih sesuatu parti. Pertama, pendekatan Sosiologikal, kedua pendekatan Identifikasi Parti, dan ketiga pendekatan Pilihan Rasional.
Pendekatan Sosiologikal merujuk kepada status sosioekonomi seperti pendidikan, pendapatan dan kelas pengundi selain agama, etnik atau kaum dan tempat tinggal samada kawasan bandar ataupun luar bandar memainkan peranan terhadap pilihan pengundi. Pendidikan pengundi dibantu oleh agen sosialisasi politik selain pendedahan yang diterima oleh pengundi melalui pendidikan formal di Universiti dan sebagainya. Bagaimanakah pendidikan pengundi ini mendorong kepada tindakan pengundi. Sebagai contoh, pelajar Universiti yang pertama sekali menjadi pengundi dilihat lebih bersifat terbuka semasa membuat keputusan, mereka dilihat tidak membuang undi mengikut emosi malah mereka lebih bersifat rasional dan begitu mendalami kepentingan membuang undi. ini disebabkan mereka didedahkan dengan konsep demokrasi yang sebenar semasa berada di universiti lagi. maka tidak hairanlah jika ada dikalangan pelajar universiti membuang undi yang memihak kepada pembangkang dan kerajaan sedia ada. alasan mereka adalah berbeza mengikut kepentingan masing-masing.
Pendapatan pengundi juga mendorong kepada hal ini, pengundi yang berpendapatan sederhana dilihat lebih pro kepada kerajaan kerana mereka masih mengharapkan kerajaan membantu mereka dalam soal ekonomi manakala golongan berpendapatan tinggi pula dilihat lebih realistik, sesetengah dari mereka menyokong kerajaan dan sesetengah dari mereka menyokong pakatan pembangkang dengan alasan kerajaan sedia ada masih tidak mampu melonjakkan ekonomi negara.
Soal agama juga tidak dipandang enteng kerana secara budayanya pengundi golongan Protestan akan menyokong parti republikan di Amerika Syarikat. namun berlainan di Malaysia, pegangan agama seseorang individu tidak boleh diukur di atas kertas undi kerana menjadi amalan di Malaysia akan terjadi pertembungan dua pakatan iaitu Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC,PPP dan sebagainya) dan Pakatan Rakyat (DAP,PAS,ADIL). seandainya pakatan rakyat meletakkan calon dari DAP yang majoritinya bangsa cina dan beragama buddha di sesuatu kawasan maka pengundi beragama Islam dari parti PAS akan memberi sokongan begitu juga BN.
Identifikasi parti merujuk kepada ikatan kesetiaan yang mendalam kepada sesebuah parti dan atas dasar itu maka parti tertentu dipilih dalam pilihanraya. Bagaimana kesetiaan ini terbentuk? ia terbentuk melalui hasil sosialisasi yang digerakkan oleh agennya. agen seperti ibubapa, saudara mara, jiran, rakan, sekolah dan organisasi politik. maka tidak hairanlah jika bapanya dari parti kerajaan maka anaknya juga akan menyokong parti kerajaan dan begitu juga pembangkang. sebagai contoh; Anwar Ibrahim (PKR) Nurul Izzah (PKR), Lim Kit Siang (DAP) Lim Guan Eng (DAP), Tun Mahathir (UMNO) Mukhriz (UMNO) dan banyak lagi. selain itu darjah kesetiaan boleh juga dilihat melalui tempoh seseorang menyokong parti. semakin lama seseorang menyokong sesebuah parti maka semakin tinggi darjah kesetiaannya kepada parti itu.
Ketiganya ialah pendekatan pilihan rasional. pendekatan ini menyatakan pengundi keluar dan membuat pilihan rasional semasa membuang undi. sekiranya pengundi merasakan dia tidak mendapat apa-apa faedah dengan memilih mana-mana calon, maka dia tidak akan keluar mengundi. ini dilihat dari sudut pertimbangan ekonomi. kos untuk keluar mengundi (seperti masa, wang ringgit, dan aktiviti lain) melebihi dari pulangan yang diperolehi dari mengundi. selain itu manifesto sesebuah parti turut menyumbang kepada tindakan pilihan rasional pengundi ini. maka dilihat pendekatan pilihan rasional lebih bersifat kepentingan.
Oleh itu tindakan pengundi disebabkan oleh tiga faktor tersebut iaitu Sosiologikal, identifikasi parti dan pilihan rasional.

No comments:

Post a Comment