Thursday, October 21, 2010

SISTEM POLITIK

1. SISTEM POLITIK

Sistem politik mempunyai beberapa definisinya. Menurut David Easton sistem politik ialah satu sistem atau organisasi yang merangkumi semua aspek persekitaran masyarakat misalnya ekonomi, sosial dan budaya yang saling berinteraksi di mana aspek tersebut akan mengubah atau diubah oleh sesuatu proses politik.

Almond & Powell (1984) pula menyatakan sistem politik adalah sebahagian daripada susunan yang dimiliki oleh masyarakat untuk membentuk dan mengejar matlamat kolektif yang dikehendaki. Sistem politik di dalam masyarakat boleh dibezakan melalui hubungannya dengan ciri paksaan (coercion) yang dianggap absah. Ini membawa maksud bahawa dasar yang dibentuk oleh sistem politik boleh secara absah disokong oleh ciri paksaan dan ketaatan yang dipaksa dari rakyat.

Sistem politik boleh menyebabkan peperangan atau menggalakkan kewujudan keamanan, memupuk perdagangan antarabangsa atau membataskannya, membuka sempadan untuk bertukar idea dan pengalaman atau menutupnya dan sebagainya. Oleh itu sistem politik harus mempunyai institusi seperti parlimen, birokrasi dan parti politik untuk menjalankan aktiviti khusus atau fungsi bagi membolehkan ia merumus dan melaksana dasar-dasarnya.

Sesebuah sistem politik mempunyai kedua-dua persekitaran domestik dan antarabangsa. Sistem politik menerima input kehendak dan sokongan daripada kedua-dua persekitaran ini dan cuba untuk membentuk mereka melalui output atau dasarnya. Institusi atau bahagian sistem politik adalah saling bergantungan. Sebagai contoh, sekiranya perwakilan sebuah kerajaan adalah berdasarkan pemilihan rakyat ke dalam badan perundangan maka perlu dibentuk sebuah sistem pilihanraya dan seterusnya ahli-ahli politik yang ingin bertanding perlu memobilisasi rakyat dan menyusun parti politik untuk menjalankan kempen pilihan raya.

1.1 PARLIMEN

Bagi memahami dengan lebih mendalam maksud sistem politik ini, kita boleh mengambil contoh sebuah negara seperti Amerika Syarikat yang mengamalkan sistem politik demokrasi perwakilan untuk melihat ciri-ciri sistem politiknya. Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem politik yang melantik pemimpin sebagai wakil kepada pandangan awam. Maka untuk merealisasikan perkara ini perlu diwujudkan pilihan raya presiden. Selain itu juga Amerika juga mengamalkan teori separation of power sepenuhnya. Bermaksud setiap badan yang ada terpisah antara satu sama lain. Ahli dari badan perundangannya (mahkamah agong) berbeza dengan ahli dalam kongres. Ciri lain sistem politik Amerika ialah mewujudkan check and balance antara badan-badan tersebut yang bertujuan tidak berlakunya penyalahgunaan kuasa. Ciri lain sistem politik Amerika ialah ia mengamalkan sistem negara persekutuan di mana kuasa diagihkan kepada dua iaitu kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Jika dilihat di Malaysia, sistem politiknya berbeza sedikit dengan Amerika Syarikat. Seperti yang kita sedia maklum bahawa kerajaan Malaysia terbahagi tiga iaitu eksekutif, perundangan (Legislatif), dan kehakiman (Judiciary). Badan Eksekutif di Malaysia tidak sama dengan badan Eksekutif di Amerika Syarikat kerana di Amerika Syarikat badan eksekutifnya ialah Presidennya sendiri yang mempunyai kuasa veto manakala badan Eksekutif di Malaysia ahlinya adalah dari badan legislatif. Ini berbeza dengan Amerika Syarikat kerana ahli Eksekutif dan Legislatifnya adalah berbeza.

Amalan di Malaysia, Ahli eksekutif dan ahli perundangan (legislatif) adalah dari orang yang sama kerana mereka dipilih melalui pilihan raya. Maka tiada pengasingan kuasa dalam erti kata yang sebenar di dalam sistem politik Malaysia berbanding Amerika Syarikat. Di Amerika Syarikat, mereka dilantik oleh Presiden di atas budi bicaranya sendiri asalkan pada waktu lantikan ia bukan ahli Kongres ataupun bukan dari badan kehakiman. Jika Presiden melantik seorang ahli Kongres atau kehakiman menganggotai kabinetnya, beliau hendaklah meletak jawatan dari menjadi ahli Kongres atau kehakiman tersebut. Walau bagaimanapun pelantikan ini juga memerlukan pengesahan daripada dewan Senat, ini kerana Dewan Senat mempunyai kuasa untuk menolak atau menerima cadangan daripada Presiden. Di Malaysia, ketua eksekutifnya ialah Perdana Menteri dan dibantu oleh menteri kabinet yang lain.

Di Malaysia badan legislatifnya dikenali sebagai parlimen manakala di Amerika Syarikat pula badan legislatifnya dikenalai sebagai Kongres. Ia terdiri daripada dua dewan (bicameral) iaitu Dewan Senat dan Dewan Perwakilan manakala di Malaysia Parlimennya diwakili oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Anggota Dewan Senat dikenali sebagai Senator yang terdiri daripada dua orang wakil bagi setiap negeri di Amerika yang menjadikannya 100 ahli semuanya dan mereka semua dipilih melalui proses pilihan raya yang dijalankan setiap 6 tahun sekali. Manakala ahli Dewan Perwakilannya turut dilantik melalui pilihan raya setiap dua tahun sekali. Keadaan ini berbeza sekali dengan amalan di Malaysia kerana hanya ahli Dewan Rakyat sahaja yang dilantik melalui pilihan raya manakala anggota Dewan Negara dilantik oleh Yang Dipertuan Agong dengan nasihat perdana menteri.

Tanggungjawab badan kehakiman Amerika Syarikat terletak di tangan mahkamah begitu juga Malaysia. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem persekutuan, sistem mahkamah Amerika Syarikat terbahagi kepada dua peringkat iaitu mahkamah persekutuan dan mahkamah negeri. Di Malaysia, mahkamah agung mempunyai hierarki yang tertinggi dalam mahkamah persekutuan.

Bidangkuasa mahkamah adalah untuk mentafsir dan mengisytiharkan sesuatu tindakan sebagai tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan. Dalam hal ini badan kehakiman haruslah menjadi neutral di antara dua badan yang lain. Ini bertujuan sebagai check and balance kepada badan eksekutif dan legislatif supaya tindakan yang dibuat tidak menyalahi undang-undang. Justeru , anggota mahkamah tidak dipilih melalui pilihan raya bagi mengelakkan penyalahgunakan kuasa dan lebih adil.
Namun konsep check and balance tidak dapat dipraktikkan sepenuhnya di Malaysia kerana ahli di dalam badan eksekutif dan badan legislatif adalah orang yang sama.

1.2 BIROKRASI

Di dalam sistem politik, tidak dapat lari dari kewujudan birokrasi. Birokrasi ialah satu bentuk organisasi sosial yang tidak hanya membabitkan jabatan, agensi dan biro eksekutif (institusi kerajaan) tetapi termasuk juga institusi lain seperti sektor swasta, tentera, sekolah, hospital, mahkamah, dan lain-lain. Walaupun birokrasi sering dikaitkan dengan unsur negatif seperti red tape , tidak efisien, kurang kawalan dan sebagainya, tetapi birokrasi sebenarnya memainkan peranan penting di dalam menggerakkan dasar kerajaan.

Di Amerika Syarikat, birokrasi dianggap sebagai badan keempat kerajaan selepas Kongres, Eksekutif dan Kehakiman. Ini menunjukkan betapa pentingnya birokrasi dalam melaksanakan undang-undang, polisi awam dan program kerajaan serta mengawal pelaksanaan sesuatu dasar.

Malaysia misalnya turut mempunyai birokrasi dan merupakan sebahagian daripada badan eksekutif kerana fungsi utama birokrasi adalah untuk melaksanakan polisi dan undang-undang negara. Sebagai contoh, Jabatan Buruh menubuhkan unit Pentadbiran Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan untuk mengimplementasikan Akta Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan 1970. Di dalam proses melaksanakan polisi dan undang-undang negara, birokrasi juga mempunyai fungsi kawalan terhadap pelaksanaan sesuatu peraturan. Mentadbir pula adalah rutin tugasan birokrasi di mana merangkumi menggaji personel, memberi nasihat undang-undang, menyediakan bekalan, dan menyediakan infrastruktur.

Kegagalan sesuatu program sering dikaitkan dengan kelemahan dalam pentadbiran. Ini disebabkan di dalam birokrasi itu terdapat banyak red tape dan gejala rasuah menyebabkan dasar dan polisi awam kerajaan tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Justeru birokrasi adalah elemen penting di dalam sistem politik sesebuah negara. Ianya dianggap sebagai jentera penggerak kepada kerajaan dan memastikan program yang direncanakan oleh kerajaan akan dilaksanakan dan sampai kepada maksud dasarnya.

1.3 PARTI POLITIK

Parti politik juga dianggap sebahagian daripada sistem politik sesebuah negara. kewujudan parti politik di dalam sistem politik negara bertitik tolak daripada konsep demokrasi. Menurut slogan keramat bekas Presiden Amerika Syarikat iaitu Abraham Lincoln, demokrasi adalah sistem politik dari rakyat, untuk rakyat kepada rakyat. Mengapakah parti politik penting di dalam sistem politik sesebuah negara? Ini kerana parti politik yang memenangi pilihan raya akan memerintah negara dan menjadi kerajaan yang sah dan absah. Jika parti politik yang tidak abash memerintah negara maka ianya tidak akan kekal lama melainkan mereka menggunakan unsur paksaan terhadap rakyat.

Terdapat banyak indikator yang boleh diperhatikan dalam mengukur tingkat demokrasi sesebuah negara. Indikator ini termasuklah kekayaan tangible dan intangible, kebebasan media, partisipasi rakyat dalam politik, pengangkutan, tahap ekonomi dan pendidikan rakyat dan banyak lagi.

Crouch berpendapat bahawa kerajaan demorkasi adalah bertanggungjawab terhadap tekanan dari bawah atau dari golongan massa. Kerajaan seharusnya bertindak sedemikian kerana hak pemerintahan menurut tuntutan demorkasi adalah diperolehi daripada sokongan massa melalui proses pilihan raya. Keabsahan yang diperolehi dari rakyat harus diterjemahkan kembali dengan bersifat responsif terhadap kehendak atau kepentingan rakyat.

Dalam konteks ini, negara demokrasi perlu mempunyai sistem pilihan raya dan melaluinya rakyat harus bebas untuk berpartisipasi, mewujudkan persaingan politik dalam mendapatkan sokongan. Sistem politik yang berkesan harus juga mempunyai kumpulan berkepentingan atau pendesak yang boleh berperanan mempengaruhi polisi kerajaan dan mengutarakan kepentingan kelompok sektor tertentu. Media juga seharusnya diberi kebebasan dalam menyalurkan maklumat kepada golongan massa.

Menurut Dahl , demokrasi sebenarnya merupakan sistem memberi peluang kepada rakyat untuk mempengaruhi dan membuat keputusan-keputusan secara umum. Beliau menjelaskan lagi kepentingan parti politik di dalam sistem politik. Menurut beliau rakyat berhak dan bebas menubuhkan parti politik walaupun berlainan ideologi dengan parti pemerintah, menubuhkan kumpulan pendesak dan kumpulan berkepentingan serta bebas menyertai mana-mana organisasi.

Sebagai contoh, India yang mengamalkan demokrasi membenarkan pelbagai parti politik yang berbeza dari segi aliran, ideologi dan prinsip-prinsip perjuangan termasuklah parti yang mendokong ideologi komunis. Begitu juga di Malaysia, wujud pelbagai parti berlandaskan kaum seperti di Sabah dan Sarawak.

Mengapakah parti politik penting di dalam sistem politik sesebuah negara? Ini kerana parti politik yang memenangi pilihan raya akan memerintah negara dan menjadi kerajaan yang sah dan absah. Jika parti politik yang tidak absah memerintah negara maka ianya tidak akan kekal lama melainkan mereka menggunakan unsur paksaan (coersive) terhadap rakyat.


2. KEABSAHAN

Apakah yang dimaksudkan dengan keabsahan sesebuah kerajaan? Keabsahan atau legitimasi ialah apabila rakyat sesebuah sistem politik menerima secara rela golongan yang menggunakan kuasa ke atas mereka. Sekiranya ini berlaku, maka golongan yang diperintah bukan sahaja memperakui kuasa pemerintah mereka, tetapi turut merasakan bahawa para pemegang kuasa tersebut wajar memiliki kuasa serta sewajarnya dipatuhi. Sesebuah sistem politik yang kuat haruslah diterima oleh rakyat. Dalam erti kata yang lain, rakyat menerima sistem politik tersebut dan menjadikan kerajaan yang sah dan kuat. Sebuah sistem politik sesebuah negara mestilah mempunyai keabsahan samada secara sah disisi undang-undang atau secara paksa. Keabsahan ini penting bagi membolehkan segala tindakan kerajaan atau pemerintah diterima dan disokong oleh rakyat.

Tokoh terkenal Max Weber telah mengenal pasti tiga jenis sumber keabsahan politik iaitu tradisi, karisma dan kerasionalan atau legality. keabsahan tradisi didefinasikan sebagai kuasa yang disifatkan absah disebabkan nilai tradisi sebagaimana raja zaman dahulu yang dilihat sebagai memerintah kerana mewarisi hak ketuhanan (divine right) atau juga golongan tua di perkampungan diterima sebagai pemerintah yang abash kerana mereka selalunya telah memerintah pada masa lampau. Contoh kepimpinan tradisi adalah seperti yang berlaku di zaman pemerintahan maharaja China dan Jepun. Maharaja ini dianggap mewakili Tuhan dan setiap tindakan mereka mesti dipatuhi oleh rakyat.

Sesetengah pemegang kuasa pula memperoleh kuasa kerana ciri karismatik yang dimiliki. Karisma turut dikaitkan dengan unsur mistik dan keagamaan antara seorang pemimpin dan pengikutnya dan bukan hanya kerana kepopularan atau daya tarikan yang dimiliki oleh pemimpin tersebut. Di sini pemimpin sememangnya berhak atau mempunyai keabsahan kerana kedua-dua pihak pemimpin dan pengikut berkongsi kesedaran bahawa beliau telah ditakdirkan untuk memerintah dan adalah menjadi tanggungjawab pengikutnya untuk patuh seperti pemerintahan Hitler di Jerman. Sebenarnya pemikiran rakyat telah dikawal oleh pemimpin tersebut. Dengan mengatakan bahawa beliau telah ditakdirkan untuk menjadi pemerintah maka pengikut serta rakyat tiada pilihan lain selain mengikut sahaja tindakan pemerintah tersebut.

Sumber keabsahan kontemperori yang paling biasa ialah kekuatan kerasionalan dan kesahan pemimpinn. Kebanyakan pemimpin masakini mendapat keabsahan berdasarkan kenyataan bahawa mereka telah memperoleh kuasa melalui cara yang telah ditentukan oleh perlembagaan atau lain-lain peraturan tetap. Mereka mengekalkan keabsahan tersebut dengan memenuhi pengharapan golongan yang diperintah bahawa mereka akan dijaga makan dan minum dan diberi perlindungan daripada ancaman keganasan luaran dan dalaman. Golongan pemimpin demokratik pula memperolehi keabsahan melalui kejayaannya dalam pilihan raya yang membuktikan mereka disokong oleh majoriti. Demikian juga pemimpin autoritarian juga memperolehi keabsahan melalui cara ini apabila mereka memenuhi harapan rakyat berhubung kecemerlangan kerajaan mereka.

Selalunya jika sebuah sistem politik yang mempunyai keabsahan akan diterima oleh rakyat tanpa soal namun begtu jika sistem politik tersebut dilihat sering mengamalkan politik rasuah dan penipuan di dalam pilihan raya tidak mustahil keabsahan sesuatu rejim itu akan hilang sendirinya. Sebagai contoh, kerajaan Thailand semasa dibawah pemerintahan Thaksin di mana beliau telah digulingkan melalui kudeta . Walau bagaimanapun tidak semua rejim yang tidak absah itu digulingkan dengan mudah kerana mereka menggunakan kekerasan untuk menghalang berlakunya revolusi atau kerana tidak ada rejim pilihan lain yang boleh dipercayai wujud.

Contoh lain yang boleh kita lihat ialah Myanmar di mana kerajaan Juntanya sehingga kini memerintah dengan tanpa dicabar oleh pihak lain meskipun pemimpin Pro-Demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi mempunyai pengikutnya yang setia dan menyokong sistem demokrasi ini. Ini disebabkan kerajaan Junta Myanmar menggunakan kekerasan terhadap rakyat yang cuba menentang pemerintahan mereka sehinggakan pemimpin Pro-demokrasi ini dikenakan tahanan di rumahnya sendiri. Walau pun dunia melihat ciri keabsahan Myanmar ini melanggar nilai demokrasi namun organisasi dunia tidak mampu menyelesaikannya disebabkan Myanmar adalah sebuah negara berdaulat.

Keabsahan amat penting bagi sesebuah sistem politik itu untuk terus merancang agenda dan polisi awam sesebuah negara. Sebagai contoh, kerajaan Brunei mempunyai keabsahan tersendiri kerana mengamalkan sistem pemerintahan Monarki mutlak. Maka tiada siapa yang mampu mempertikaikan keputusan Sultan Brunei. Dengan adanya keabsahan ini maka pemerintah mudah melaksanakan rancangan pembangunannya dan mentadbir negara dengan aman. Keabsahan boleh juga dilihat sebagai satu bentuk kuasa di mana rakyat merelakan diri mereka diperintah oleh pemerintah tertentu.

Thailand juga mempunyai cerita tersendiri tentang keabsahan pemerintahannya. Semenjak rejim Thaksin memerintah Thailand, rakyat sering meluahkan ketidakpuasan hati terhadap pemerintahannya yang dikatakan berpaksikan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan keamanan dan keselamatan Thailand. Konflik pemerintahan Thailand bermula semasa pemerintahan Thaksin. Bermula dengan pemerintahannya yang bermasalah dengan unsur-unsur kronisme, nepotisme, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya sehinggalah beliau digulingkan oleh tentera, masalah pemerintahan di Thailand terus berlanjutan kepada Samak selepas menggantikan Thaksin.

Samak dikatakan proksi Thaksin kerana dasar-dasarnya masih mengikut pola pemerintahan Thaksin. Dasar-dasar kerajaan yang pro-Amerika yang diperkenalkan oleh Thaksin, hanya mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira kebajikan rakyat. Ini telah menyebabkan rakyat mencela pemerintahannya sama seperti Thaksin sehingga memaksa Samak meletakkan jawatannya.

Politik Thailand tidak habis di situ sahaja malah berlanjutan kepada pengganti Samak iaitu Somchai. Somchai turut dituduh menjadi proksi kepada Thaksin. Penderitaan rakyat yang dilahirkan melalui demonstrasi telah menyebabkan Mahkamah Perlembagaan Thailand mengarahkan Somchai meletakkan jawatannya. Setelah pilihan raya baru diadakan, Parti pimpinan Abhisit Vejjajiva iaitu Parti Demokrat telah memenangi Pilihan raya. Maka Abhisit telah dilantik menjadi perdana menteri Thailand yang baru.

Pada mula pemerintahan beliau, dilihat seakan tiada apa yang berlaku dan rakyat kebanyakannya memberi sokongan dan harapan kepada Abhisit untuk memulihkan ekonomi dan pergolakan di Thailand. Namun kumpulan Baju merah membuat protes dengan menuduh kemenangan Parti Demokrat tidak sah kerana mendapat sokongan tentera. Sekali lagi pemerintahan kerajaan Thailand tidak mendapat keabsahan dari rakyatnya sendiri.

Apa yang ingin disampaikan di sini ialah sifat keabsahan pemerintahan amat penting bagi menjamin keamanan dan kestabilan politik sesebuah negara. Walaupun Parti Demokrat pimpinan Abhisit telah memenangi pilihan raya, namun keabsahan tidak boleh digambarkan melalui proses pilihan raya semata-mata sebaliknya harus juga dilihat dari pelbagai sudut seperti kronisme, nepotisme, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya yang boleh mendatangkan kemarahan serta hilang raya percaya kepada pemerintah. Selepas beberapa siri demonstrasi oleh kumpulan baju merah, maka Abhisit telah memberi pelan pendamaian iaitu pilihan raya baru akan diadakan pada November 2010.

3. KESIMPULAN

Sistem politik boleh disimpulkan sebagai sebuah sistem yang merangkumi semua aspek persekitaran masyarakat misalnya ekonomi, sosial dan budaya, undang-undang, pendidikan, kesihatan dan lain-lain lagi yang saling berinteraksi di mana aspek tersebut akan mengubah atau diubah oleh sesuatu proses politik. Sistem politik yang baik harus membenarkan rakyatnya berpartisipasi di dalam politik dengan menubuhkan parti politik dan bebas menyuarakan pendapat dan pandangan terhadap kerajaan.

Untuk mengekalkan sebuah sistem politik yang dinamik maka ianya harus mendapat keabsahan dari rakyat. Keabsahan ini boleh diperolehi melalui proses pilihan raya, cara pentadbiran kerajaan, tahap ekonomi rakyat dan sebagainya. Kerajaan yang mendapat keabsahan dari rakyat sudah tentu akan mudah melaksanakan segala program dan rancangannya manakala kerajaan yang tidak mendapat keabsahan sering mendapat tentangan dari rakyat. Thailand misalnya tidak pernah lekang dengan isu pemerintahannya. Namun berbeza dengan Myanmar walaupun negara itu diperintah oleh pihak Junta yang jelas bertentangan dengan konsep demokrasi, namun rakyatnya tidak melakukan sebarang demonstrasi kerana wujud unsur paksaan oleh Junta di Myanmar.

Daripada isu Thailand dan Myanmar, dapat kita simpulkan bahawa ciri keabsahan penting di dalam sistem politik. Keabsahan yang diperolehi melalui paksaan seperti di Myanmar tidak diiktiraf oleh negara yang memperjuangkan demokrasi. Begitu juga dengan Thailand, walaupun keabsahan diperolehi melalui pilihan raya, namun pemerintahan yang mengabaikan rakyat dan mengamalkan rasuah juga tidak diiktiraf oleh rakyat. Oleh itu, jelas menunjukkan sistem politik yang mendapat keabsahan mampu bertahan lebih lama. Demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat untuk berpartisipasi dan mewujudkan parti politik dilihat menyumbang kepada keabsahan sesebuah rejim pemerintah. Birokrasi. Maka sistem politik dan keabsahan saling melengkapi antara satu sama lain bagi memastikan rejim pemerintahan diterima rakyat dan mampu melaksanakan program dan polisinya.

No comments:

Post a Comment