Sunday, January 23, 2011

MAHATMA GANDHI

Mohandas Karamchand Gandhi merupakan lambang perjuangan nationalisme India. Beliau diberi status Bapa Kebangsaan India selepas mendapat kemerdekaan pada 1947. Beliau juga merupakan tokoh negarawan India yang dikaitkan dengan konsep kebebasan politik. Yang dimaksudkan dengan kebebasan politik di bawah falsafah Ghandi ialah bagaimana beliau memperkenalkan beberapa konsep iaitu; bantahan awam, tindakan langsung, bantahan tanpa keganasan, tindakan secara pasif dan sebagainya.

Konsep yang disebutkan di atas juga berkait rapat dengan konsep kewajipan politik. Kewajipan politik adalah kewajipan rakyat atau warganegara kepada kerajaan mahupun negara atau sebaliknya. Di dalam sistem demokrasi, kewajipan politik dapat dilihat dengan wujudnya sifat dua hala antara rakyat dan pemerintah seperti mana yang telah dinyatakan oleh bekas presiden Amerika Abraham Lincoln iaitu “government of the people, by the people, for the people”. Jelas di sini bahawa di dalam konsep kewajipan politik itu harus ada unsur kebebasan politik. Kebebasan yang dimaksudkan ialah bagaimana rakyat atau masyarakat di dalam sesebuah negara terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memilih kerajaan tanpa ada unsur paksaan.

Maka, atas dasar itu, perbincangan ini akan melihat konsep kebebasan politk yang di ketengahkan oleh Ghandi di India. Konsep bantahan awam yang dahulunya diperkenalkan oleh Henry David Thoreau kini menjadi popular setelah digunakan oleh Ghandi untuk menentang kerajaan british pada masa itu. Apabila Ghandi melaksanakan bantahan awam, konsepnya mula berubah iaitu “sebarang tindakan rakyat yang melanggar undang-undang untuk tujuan membuktikan kelemahan atau ketidakwajaran undang-undang tersebut tanpa menggunakan kekerasan”. Jika diimbas pada masa dahulu, semasa penjajahan british di India, tidak ada kebebasan untuk berpolitik di kalangan rakyat. Hanya golongan atasan sahaja yang dibenarkan berpolitik yang mana golongan ini merupakan golongan yang menyokong setiap tindakan kerajaan British.

Pada ketika itu, rakyat harus mengikut segala arahan atau perintah golongan elit mereka kerana mereka tidak mempunyai kesedaran untuk bertindak. Walaupun mereka tahu mereka ditindas tetapi langkah untuk menentang ketidakwajaran itu belum sampai lagi kepada mereka disebabkan masih jahil tentang konsep kebebasan politik.

Menurut falsafah Ghandi, beliau amat berpegang teguh kepada semangat ajaran agamanya khususnya bahawa kebenaran hanya tercapai melalui rasa kasih sesama manusia, tanpa kekerasan, tanpa keganasan dan tanpa menyakiti mana-mana pihak. Dalam menerangkan tentang kebebasan politik, Ghandi menyarankan supaya jangan menggunakan kekerasan, keganasan dan menyakiti mana-mana pihak supaya kebaikan yang ingin dicapai mampu kekal lama.

Falsafah ini disimpulkan sebagai “satyagraha” atau perjuangan ke arah kebenaran. Ia bersifat falsafah moral yang tegas tentang keseimbangan di antara “cara” dan “matlamat”, kedua-duanya tidak dapat dipisahkan sepertimana falsafah Machiavelli iaitu ‘matlamat menghalalkan cara”. Bagi Ghandi manusia harus menganggap musuhnya sebagai individu-individu yang mencari kebenaran kerana menurut beliau kebenaran itu wujud dalam jiwa setiap insan dan kita harus mencarinya dalam diri kita sendiri.

Di dalam falsafah yang menjelaskan tentang kebebasan politik beliau, Gandhi ada menerangkan tentang peranan rakyat. Gandhi menyatakan bahawa salah satu dosa sosial yang menyebabkan kemerosotan dan penyelenggaraa kehidupan politik adalah politik tanpa prinsip (politics without principles). Menurut beliau, rakyat seharusnya mempunyai suatu prinsip dalam perjuangan politk mereka di mana setipa rakyat harus memperjuangkan prinsip kebenaran. Setiap rakyat mempunyai hak kebebasan selagi kebebasan orang lain tidak disekat. Ini menunjukkan bahawa falsafah Gandhi amat menitikberatkan soal kebebasan politik. Maka dalam hal ini, Gandhi amat menekankan kepada tanggungjawab rakyat berbanding persoalan tentang hak rakyat. Dalam soal kebebasan politik ini, Gandhi melihat rakyat lebih mementingkan hak tetapi telah mengabaikan soal tanggungjawab.


Gandhi menyarankan supaya manusia memberikan kasih sayang antara satu sama lain tanpa kekerasan, keganasan dan tanpa menyakiti mana-mana pihak bagi mencapai jalan kebenaran.

Bagi menjelaskan kebebasan politik dari sudut Pemerintahan Terbaik pula, Gandhi menyarankan supaya setiap pemimpin harus mempunya 5 prinsip iatu; Sathya, Dharma, Shanti, Prema, dan Ahimsa.

Sathya membawa makna iaitu seseorang pemimpin perlu berpegang teguh terhadap kebenaran dan memperjuangkannya secara berterusan dalam sebarang keadaan. Kebenaran yang dipegang oleh pemimpin perlu membawa kepada kebaikan bersama tanpa mengorbankan pihak lain. Dari konsep Sathya ini, jelas menunjukkan bahawa harus ada ruang kebebasan di kalangan rakyat untuk memberi kritikan bagi mencapai kebaikan bersama. Pemimpin tidak boleh merasa tertekan sekiranya rakyat memberi kritikan demi kebaikan bersama.

Bagi konsep Dharma pula ianya menerapkan tentang kebajikan tanpa memperhitungkan kepentingan sendiri, atau golongan tertentu tetapi untuk kebaikan orang ramai. Ianya adalah bertujuan untuk mencapai jalan kebaikan yang membawa kebaikan kepada masyarakat, bangsa dan negara. Di sini pula kita dapat melihat konsep kebebasan politik itu dari sudut di mana semua rakyat adalah berhak untuk mendapat kebajikan tanpa diskriminasi.

Shanti pula lebih menumpukan kepada kedamaian pada setiap masa. Menumpukan kedamaian bagi menghasilkan kebahagiaan bagi semua rakyat amat dituntut di dalam perjuangan Gandhi. Kalau dilihat melalui konsep Shanti ini, kebebasan yang diberikan kepada rakyat untuk melakukan apa sahaja asalkan tidak mengganggu kebebasan rakyat yang lain. Inibermaksud jika rakyat diberi kebebasan tanpa menganggugugat kebebasan yang lain, maka kedamaian mampu dihasilkan dan akhirnya wujud kebahagiaan kepada semua rakyat.

Konsep Ahimsa pula mengajar pemimpin untuk tidak menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan masalah. Kekerasan bukannya suatu penyelesaian masalah malah mengundang kepada rasa kebencian dan rasa dendam. Seseorang pemimpin tidak seharusnya menggunakan kekerasan tetapi lebih mesra rakyat. Ini bermaksud jiwa seorang pemimpin harus bebas dari keganasan dan kekejaman. Rakyat harus dapat merasa diri mereka dihargai oleh pemimpinnya dan mereka juga ingin dilayan seperti rakyat yang berdaulat kerana rakyat telah memilih pemimpin. Dalam konteks kebebasan politik ini, Gandhi menyeru pemimpin supaya menjauhi segala bentuk keganasan dan kekejaman dalam memimpin rakyat.

Berbalik kepada konsep yang diterapkan oleh Gandhi iatu Bantahan Awam, beliau telah mengajak pengikutnya berarak ke suatu tempat sebagai protes terhadap tindakan British pada ketika itu menaikkan cukai garam. Di dalam konteks kebebasan politik, rakyat boleh meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap pemimpin dengan mengadakan pelbagai bentuk demonstrasi. Maka atas dasar inilah, Gandhi telah memulakan gerakan beliau dengan berarak ke arah Dandi iaitu suatu sebuah bandar yang terletak lebih kurang 384km dan terletak di tepi laut di mana garam dari laut boleh didapati secara percuma. Setibanya beliau di sana, beliau telah mencubit sedikit garam dari pasir pantai dan kesan perbuatan Gandhi itu, beribu-ribu rakyat India telah turun ke pantai dan mendapatkan garam percuma sebagai simbolik bantahan mereka terhadap undang-undang British.

Jelas di sini bahawa kebebasan politik itu bukan sahaja ditonjolkan di dalam pilihan raya, malah ianya merangkumi juga pelbagai bentuk bantahan samada secara formal atau tidak formal. Sesebuah kerajaan harus membenarkan rakyatnya berpartisipasi di dalam politik.


Kesimpulan.

Kebebasan politik merupakan isu yang diketengahkan oleh Gandhi semasa memperjuangkan kemerdekaan India. Walaupun seakan tidak dijelas konsep kebebasan politik, namun tindakan beliau mengadakan siri bantahan awam itu jelas menunjukkan bahawa rakyat perlu berpartisipasi dalam sebuah negara. Pada ketika itu beliau melihat bagaimana rakyat India ditindas dan tidak mampu bangkit menentang penjajahan British. Pada ketika itu juga, rakyat India tidak tahu bagaimana untuk bangkit menentang British kerana rakyat tidak diberi kebebasan untuk berpolitik. Selain itu juga, kesedaran dikalangan rakyat juga rendah kerana tiada ruang untuk rakyat berpartisipasi di dalam kancah politik.

Setelah tamatnya pengajian Gandhi, beliau kembali ke India dengan misi untuk membebaskan negara India dari penjajahan British. Dengan berpandukan konsep kebebasan politik itu, Gandhi telah memperkenalkan konsep Bantahan Awam kepada rakyat India. Walau pun pada mulanya mendapat reaksi kurang baik dari rakyat namun beliau tidak berputus asa demi mendapatkan kemerdekaan.

Konsep kebebasan politik ini amat penting di dalam sesebuah negara yang telah mencapai kemerdekaan dan mengamalkan sistem demokrasi. Demokrasi itu sendiri menuntut semua masyarakat berpartisipasi dalam politik. Bentuk-bentuk partisipasi itu pelbagai, seperti menyertai parti politik, persatuan kerajaan, persatuan bukan kerajaan (NGO), kumpulan pendesak, kumpulan berkepentingan dan sebagainya. Atas dasar kebebasan politik itu, maka Gandhi telah memulakan langkah dengan mengajak rakyat India menentang kekejaman dan keganasan di India.

Namun begitu, bantahan yang dianjurkan oleh Gandhi tidaklah di dalam bentuk kekejaman atau keganasan kerana menurut beliau kejayaan yang dicapai melalui bantahan dalam bentuk keganasan atau kekejaman adalah kejayaan yang tidak kekal lama.

2 comments:

  1. thankz post bnde2 cmne...leh bntu sye tok wat asgment sye

    ReplyDelete
  2. lovely pinky blajar di universiti mana ya?

    ReplyDelete