Friday, January 20, 2012

KUASA UNIPOLAR AMERIKA SYARIKAT MAMPU MENGEMBALIKAN KESTABILAN DUNIA??

PENDAHULUAN

Bagi membincangkan perkara ini, perbincangan ni akan menerangkan secara berperingkat bermula dengan bagaimana bermulanya kuasa unipolar Amerika Syarikat setelah tamatnya Perang Dunia Kedua. Kemudian akan menerangkan tentang kesan dari tamatnya Perang Dunia Kedua dan berlakunya Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union. Perbincangan ini turut menerangkan kesan dari tamatnya Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union. Turut dibincangkan ialah bagaimana Amerika dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjalinkan hubungan yang baik serta di akhir perbincangan ini nanti akan dibuat kesimpulan berkisarkan kesemua penerangan dan hujahan bagi topik yang diperjelaskan tadi.


1. PERANG DUNIA KEDUA.

Perang Dunia kedua menyaksikan pembentukan pakatan kuasa antara Amerika Syarikat dan sekutunya dalam menghadapi Nazi, German. Soviet Union merupakan salah satu sekutu yang penting kepada Amerika Syarikat dalam menghadapi tekanan Nazi di bahagian Eropah, khususnya Eropah Timur. Kejayaan pakatan Amerika Syarikat dan sekutunya berjaya mengalahkan Nazi, German, tetapi membawa masalah dalam hubungan Amerika Syarikat-Soviet Union pasca Perang Dunia Kedua.

Apatah lagi selepas Perang Dunia kedua, kedudukan kuasa-kuasa besar lain seperti Britain dan Perancis agak lemah kerana menumpukan kepada kestabilan semula ekonomi dan empayar mereka kesan dari peperangan tersebut. Kelemahan dan kejatuhan dua buah kuasa besar ini membawa kepada kebangkitan kuasa Amerika Syarikat dan Soviet Union dalam menentukan Order Baru dunia pasca perang sehingga mencetuskan krisis dalam hubungan kedua-dua kuasa besar ini.


2. PERMULAAN PEMBENTUKAN KUASA AMERIKA SYARIKAT.

Bagi melihat bagaimana Amerika Syarikat boleh menjadi sebuah kuasa unipolar, perlu juga kita mengimbau kembali sejarah berlakunya Perang Dingin atau Cold War yang telah diperkenalkan oleh Bernard Baruch dan kemudiannya dipopularkan oleh seorang wartawan yang dikenali sebagai Lippman sekitar tahun 1947 setelah berakhirnya Perang Dunia kedua (1939-1945). Istilah Cold War atau Perang Dingin merujuk kepada hubungan dingin dan tegang antara Soviet union dengan kuasa barat ketika itu, terutamanya Amerika Syarikat. Pada masa yang sama, turut menjelaskan bahawa kerjasama antara blok barat dan Timur yang pernah bersama menentang Nazi telah berakhir.

Dengan erti kata yang lain, perang Dingin bermula sebagai kesan daripada berakhirnya Perang Dunia II (1939-1945). Amerika Syarikat dan Soviet Union yang menjadi kuasa dominan selepas Perang Dunia II menjadi musuh selepas kekalahan gabungan Adolf Hitler dengan sekutunya. Masalah yang berlaku dalam hubungan Soviet Union dan Amerika Syarikat sering dikatakan berpunca daripada ideologi komunis yang bertentangan dengan ideologi demokrasi yang diperjuangkan oleh Amerika Syarikat selepas Perang Dunia II. Pada awalnya ideologi bukanlah penyebab kepada ketegangan antara Soviet Union dan Amerika Syarikat, namun selepas Perang Dunia II, hubungan kedua-duanya menjadi tegang dan ideologi dijadikan propaganda utama dalam menerangkan mengapa wujudnya konflik antara Amerika Syarikat dan Soviet Union.

Selain isu ideologi, perlumbaan penciptaan senjata nuklear juga menjadi penyebab kepada konflik Amerika-Soviet. Ketidakpercayaan di kalangan kuasa-kuasa besar semasa Perang Dingin membawa kepada satu situasi di mana berlakunya curiga-mencurigai antara satu sama lain tentang kehebatan teknologi senjata masing-masing. Persaingan yang bersungguh-sungguh dan jelas dalam perlumbaan senjata antara Amerika Syarikat dan Soviet Union, sama ada tentera laut atau udara yang telah dilaksanakan dengan gigih, tekun, dan tanpa henti.

Apatah lagi kedua-dua pihak yakin bahawa melalui kekuatan ketenteraan, mereka tidak akan tergugat jika diancam oleh pihak musuh. Amerika Syarikat sendiri berpendapat bahawa usaha negara tersebut untuk menghapuskan ancaman komunis akan tercapai sekiranya Amerika Syarikat telah mempunyai persediaan militeri yang kuat dan mencukupi. Perlumbaan dalam bidang senjata membawa kepada pengeluaran senjata atom yang paling berbahaya yang dicipta dengan begitu banyak oleh kuasa-kuasa besar antaranya Amerika-Soviet.

Pada dua setengah abad pertama Perang Dingin, Soviet Union mula merasa ketinggalan dan kekurangan daripada Amerika Syarikat dalam semua aspek dalam penciptaan senjata, kecuali pemilikan tenaga buruh yang ramai berbanding Amerika Syarikat. Malah Soviet Union juga bimbang bahawa ketegangan di peringkat antarabangsa antara Amerika-Soviet berhubung beberapa isu seperti di German boleh mencetuskan perang yang baru antara mereka. Pada 1955 di dalam Persidangan Warsaw, Soviet Union telah mengemukakan cadangan supaya Amerika Syarikat dan Soviet Union hanya patut memiliki tentera yang tidak melebihi daripada 1 juta ke 1.5 juta orang sahaja. Mereka tidak wajar memiliki tentera melebihi angka tersebut kerana ianya boleh menggugat keamanan antarabangsa dan propaganda perang.

Selain perlumbaan penciptaan senjata perang, ekonomi juga menjadi faktor yang membawa kepada konflik antara Amerika Syarikat dengan Soviet Union. Ini kerana kedua-duanya mengamalkan sistem ekonomi yang berbeza antara satu sama lain. Amerika Syarikat muncul dengan sistem ekonomi kapitalis dan ingin mengembangkan sistem ekonomi ke semua negara termasuk ke eropah. Dasar ekonomi kapitalis ini menjadi saingan kepada Soviet Union yang muncul dengan sistem komunisme atau Marxis. Ini telah membawa kepada persaingan kuasa di antara mereka untuk mempengaruhi negara-negara lain, sama ada di Eropah, Asia atau Timur Tengah untuk menjalinkan hubungan perdagangan dengan mereka. Tambahan pula apabila tamatnya Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat menunjukkan minatnya untuk menguasai perdagangan minyak di Arab Saudi dan Teluk Persian. Kesan daripada itu, Amerika Syarikat mula meningkatkan hubungan dengan negara-negara Arab di Timur Tengah.

Antaranya ialah tindakan Amerika Syarikat untuk melihatkan kuasanya di timur tengah dan keputusan Amerika Syarikat untuk memberi bantuan yang besar dari sudut ekonomi dan militeri kepada negeri-negeri di timur tengah. Ini sebenarnya didorong oleh perasaan takut Amerika Syarikat sekiranya pengaruh Soviet Union dapat menembusi negara-negara timur tengah. Malah sebagai usaha menyekat ekonomi Soviet Union yang merupakan antara negara pembekal minyak, Amerika Syarikat telah mendesak semua negara pengeluar minyak di Arab Saudi, termasuk negara bukan OPEC (Organization of Petroleum Exporting Countries), supaya mengeluarkan minyak sebanyak yang mungkin. Tujuannya ialah supaya negara luar tidak mengadakan hubungan perdagangan minyak melalui Soviet Union.

Selain isu ekonomi, penghapusan sistem Komunisme turut menjadi isu kepada konflik Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union. Sejak tempoh 1960-an hingga 1970-an, usaha Amerika Syarikat untuk memerangi komunis memang tidak pernah terhenti. Pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat memahami mengenai masalah Perang Dingin dan mereka berusaha untuk menghalang ancaman Soviet Union dengan pelbagai cara. Negara Cuba misalnya, bukanlah pada awalnya dilihat sebagai negara yang dapat menggugat keselamatan Amerika Syarikat. Tetapi pada masa pemerintahan President John F.Kennedy, negara Cuba telah menjadi medan pertempuran antara Amerika Syarikat dan Soviet Union.

Selain Cuba, Afghanistan juga menjadi punca konflik Amerika Syarikat dan Soviet Union. Hubungan negara Afghanistan dan Soviet menjadi baik setelah Amerika Syarikat menarik diri daripada Asia tengah, serta penambahan kuasa dan kedudukan Soviet Union sebagai kuasa besar selepas Perang Dunia Kedua. Sejak itu, hubungan Afghanistan dengan Soviet Union bertambah baik, malah Soviet Union telah banyak membantu Afghanistan, sama ada dari segi ekonomi mahupun militeri untuk membangunkan negara tersebut. Namun Amerika Syarikat menyatakan bahawa Soviet union telah menceroboh masuk ke dalam negara Afghanistan. Soviet menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa kemasukan Soviet Union adalah atas jemputan Presiden Afghanistan iaitu Mohamed Amin, untuk menghapuskan pemberontak Islam yang menggelarkan diri mereka sebagai Mujahiddin. Bagi Amerika Syarikat, Soviet Union seharusnya berundur dari Afghanistan kerana penaklukan Afghanistan akan mendedahkan negara-negara Teluk kepada pengaruh komunis yang boleh menggugat kepentingan Amerika Syarikat ke atas negara-negara yang kaya dengan minyak itu.

Sebaliknya, Soviet Union menegaskan bahawa apa yang mereka lakukan di Afghanistan adalah sama seperti apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dalam Perang Vietnam.

3. KUASA UNIPOLAR AMERIKA SYARIKAT.

Selepas kejatuhan Soviet union, Amerika dilihat sebagai satu-satunya negara yang masih mengekalkan kuasa dari segi ketenteraan, kekukuhan ekonominya dan sokongan dari beberapa negara yang berpengaruh dan ditakuti oleh kebanyakan negara. Kebelakangan ini, sering dikatakan bahawa Amerika Syarikat merupakan suatu kuasa unipolar tanpa dapat digugat oleh mana-mana negara. Ini dapat dilihat apabila Amerika Syarikat mula menyerang Vietnam atas alasan ingin menghapuskan sistem Komunisme yang bertapak di Vietnam. Amerika Syarikat telah mendapat sokongan dari beberapa negara seperti Australia, New Zealand, Korea Selatan, Filipina, Vietnam Selatan(pada ketika itu) dalam melancarkan serangan dan Vietnam pada ketika itu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Vietnam Utara yang dikuasa oleh Negara China dan Russia (komunis) manakala Vietnam selatan dikuasa oleh Amerika Syarikat dan sekutunya (kapitalis).

Bagi Amerika dan sekutunya, sistem Komunis menindas kebebasan dan keupayaan individu. Namun bagi Russia dan China, sistem Komunis mampu menghindarkan rakyat daripada ditindas oleh golongan Kapitalis. Maka, peperangan tercetus. Tidak setakat itu sahaja Amerika bertindak. Walau bagaimanapun peperangan itu dimenangi oleh pihak Komunis dan Amerika Syarikat dan sekutunya terpaksa berundur. Namun, kekalahan itu tidak menjatuhkan semangat Amerika untuk bertindak dengan cara lain. Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan perdagangan terhadap Vietnam dan ini telah menyebabkan ekonomi Vietnam merundum. Amerika Syarikat akan menggunakan apa sahaja cara untuk mencapai matlamatnya.

Apa yang menghairankan, bagaimana Amerika boleh dilihat sebagai sebuah kuasa unipolar yang agung di dunia? Persoalan ini harus di perjelaskan dengan melihat, aktor yang ada disebalik Amerika Syarikat. Secara umumnya seseorang individu tidak mampu menjadi kuat selamanya melalui kekuatan fizikalnya semata-mata. Keupayaan minda juga tidak akan kekal lama tanpa mempunyai sokongan dari pelbagai pihak. Sebagai contoh; Mantan Perdana Menteri Malaysia, Y.Bhg. Tun Mahathir juga, tidak akan dapat mencapai pengaruhnya yang tersendiri tanpa sokongan ramai. Justeru, Amerika Syarikat juga dilihat tidak akan dapat menjadi sebuah kuasa unipolar yang berpengaruh di dunia tanpa sokongan beberapa organisasi dan negara. Maka timbul persoalan;
1. Siapakah yang menyokong Amerika Syarikat ini?
2. Apakah kepentingan mereka untuk memberi sokongan kepada tindak-tanduk Amerika Syarikat ini?.

Kita sedia maklum bahawa Amerika Syarikat merupakan antara negara yang terbesar di dunia dan juga mempunyai jumlah ketenteraan yang besar serta kelengkapan ketenteraan yang tercanggih didunia. Perkara ini telah menjadi kelebihan bagi Amerika Syarikat bagi mendapatkan sokongan dari negara-negara kaya seperti; Israel, Switzeland, Norway, Britain dan sebagainya dalam melancarkan serangan. Sokongan ini boleh jadi dalam bentuk kewangan dan ketenteraan. Negara-negara kaya ini banyak membantu Amerika Syarikat dalam melancarkan serangan ke negara-negara yang bergolak.

Negara-negara ini sentiasa memberi sokongan kepada Amerika Syarikat kerana mereka mengharapkan Amerika Syarikat akan dapat membantu mereka sekiranya mereka menghadapi masalah seperti konflik antara negara, berlaku kegawatan ekonomi domestik, serta mahu melebarluaskan pengaruh mereka. Dengan bantuan Amerika Syarikat, maka impian mereka mudah dicapai kerana tidak ada negara yang mampu menentang kehendak Amerika Syarikat walaupun pada hakikatnya tindakan Amerika Syarikat itu tidak dipersetujui oleh badan dunia iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

4. PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) DAN AMERIKA SYARIKAT.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB ialah sebuah pertubuhan antarabangsa yang dibentukkan di San Francisco, California pada 24 Oktober 1945 selepas Perang Dunia II. Keahliannya terbuka kepada semua negara di seluruh dunia. Matlamat-matlamat utamanya, sebagaimana yang ditetapkan dalam piagam PBB, adalah untuk mengelakkan perulangan pertikaian yang hebat, menegaskan hak asasi manusia yang utama, menjamin rasa hormat akan undang-undang antarabangsa, serta memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia.

Piagam PBB ialah untuk menyelamatkan generasi-generasi akan datang daripada kesengsaraan peperangan, selain itu ia juga menjaga hak-hak asasi manusia, hak-hak kesamarataan lelaki dan perempuan serta negara-negara besar dan kecil, ia juga mengangkat keadilan dan menghormati undang-undang yang serta mempromosikan kemajuan sosial dan taraf hidup yang lebih baik dalam kebebasan yang lebih luas kepada masyarakat dunia. Maka untuk menjayakan maksud piagam PBB ini ia akan;

akan mengamalkan toleransi dan hidup bersama-sama dalam keamanan dengan satu sama lain sebagai jiran-jiran yang baik, dan
akan menyatukan kekukuhan antara negara untuk memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa, dan
akan memastikan, melalui penerimaan prinsip-prinsip dan institusi kaedah-kaedah, bahawa kuasa bersenjata tidak akan digunakan, kecuali untuk kepentingan umum, dan
akan menggunakan jentera antarabangsa bagi mempromosikan kemajuan ekonomi dan sosial untuk semua manusia.

Walaupun PBB menumpukan sebahagian besar daripada usaha-usahanya dalam bidang keamanan dan keselamatan, dalam banyak kes, ahli-ahli PBB telah menunjukkan keberatan untuk mencapai ataupun menguatkuasakan ketetapan-ketetapan Majlis Keselamatan. Misalnya pada 2003, Amerika Syarikat mengetuai serangan terhadap Iraq di tengah-tengah rasa tidak setuju yang kuat antara kebanyakan ahli-ahli PBB. Untuk hampir sedekad, Israel menentang ketetapan yang memerlukannya menghapuskan petempatan-petempatan di Tebing Barat dan Gaza. Kegagalan-kegagalan ini berpunca daripada sifat antara kerajaan PBB — dalam banyak hal, ia merupakan persatuan yang terdiri daripada 191 ahli negara yang harus mencapai sepersetujuan, dan bukannya sebuah pertubuhan yang bebas. Walaupun tindakan-tindakan telah diberikan mandat oleh Majlis Keselamatan, Sekretariat jarang diberikan sumber-sumber yang mencukupi untuk melaksanakannya.

Adakah PBB masih relevan bagi mengawal tindak-tanduk kuasa besar seperti Amerika Syarikat?

Di antara sebab yang menjadikan PBB tidak relevan pada masa ini ialah; Salahguna kuasa VETO. Lima buah negara menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan (Amerika Syarikat, Rusia, Britain, Perancis dan China) sering menggunakan kuasa Veto terhadap isu-isu yang menyentuh kepentingan mereka. Kuasa Veto ialah kuasa pembatal atau pemutus yang diberikan oleh PBB kepada kuasa-kuasa besar dunia dianggap istimewa. Ini kerana negara-negara tersebut boleh mengenepikan kutukan dan kritikan dari negara-negara anggota dalam Perhimpunan Agung PBB. Amerika Syarikat dan Rusia sering menggunakan kuasa Veto ini untuk kepentingan sendiri. Contoh : isu pencerobohan Rusia ke atas Afghanistan, isu Palestin dan isu pengeboman Amerika Syarikat ke atas Libya pada tahun 1987.

Selain itu PBB digunakan untuk kepentingan sendiri. Dalam keadaan tertentu PBB dijadikan alat oleh negara tertentu untuk mencapai tujuan politik negara tersebut. Kuasa-kuasa besar menggunakan PBB untuk menekan negara lain supaya tunduk kepada kemahuan mereka. Jelas Amerika Syarikat mendesak PBB supaya mewujudkan kumpulan pakar pengkaji nuklear yang ditugaskan oleh PBB menyiasat senjata-senjata di Iraq iaitu kuasa baru di Timur Tengah yang boleh mengugat kepentingan mereka. Pasukan penyiasat juga dikatakan sedang berusaha untuk menyiasat senjata nuklear di Korea Utara. Tindakan sedemikian sebenarnya didalangi oleh kuasa-kuasa besar.

Sebab lain pasukan tentera menghadapi masalah. Peranan pasukan tentera pengaman PBB juga menghadapi masalah terutama mengenai pembiayaan, diplomatik, kebenaran negara-negara terlibat halangan PBB dan menyerang dua kampung di Selatan Lebanon hingga menyebabkan 30 pejuang Hizbulah terbunuh, dianggap paling hebat kepada imej dan maruah PBB. Menurut laporan, tentera Israel dan askar PBB bertumbuk ketika pasukan Israel mara ke kampung Kafra dan Yater. Dua askar PBB cedera dalam pergaduhan itu. Israel juga menggunakan jentolak untuk melanyak dua buah kenderaan PBB yang diletak di tengah jalan bagi menghalang kemaraan Israel. Tindakan Israel ini juga dilihat oleh Amerika Syarikat sebagai tindakan yang adil sama seperti menjaga hak dan kebebasan individu padahal Israel dan Amerika Syarikat adalah sekutu yang sangat kuat. Apa sahaja tindakan yang diambil oleh Israel akan disokong oleh Amerika Syarikat dan begitu juga tindakan dari Amerika Syarikat turut disokong oleh Israel.

Selain daripada kegagalan PBB bertindak sebagai badan dunia, sokongan kuat dari Bank Dunia dan IMF turut membantu kepada pengekalan kuasa unipolar Amerika Syarikat. Kedua-dua badan kewangan dunia ini bertindak menyalurkan bantuan kepada Amerika Syarikat dalam membangunkan sistem ketenteraannya. Bantuan yang diberikan kepada Amerika Syarikat tidak dikenakan syarat yang ketat kerana Amerika Syarikat menyatakan bahawa pembangunan sistem ketenteraan mereka adalah untuk kepentingan semua.

Persoalan lain yang boleh dibincangkan ialah;
Bagaimana untuk mengawal kuasa unipolar Amerika ini?
Adakah Amerika dengan kuasa sokongan ini mampu mengekalkan keamanan dan kestabilan dunia?

Walaupun Amerika Syarikat telah menjadi satu kuasa besar dikala ini, namun tidak semua negara memperakui tindakannya. Misalnya serangan 11 September 2001 yang berlaku pada World Trade Centre (WTC) dilihat oleh penganalisis politik sebagai agenda Amerika untuk menghapuskan Islam. Mereka telah membuat cerita kononya Islam adalah pengganas. Walaupun mereka terpaksa mengorbankan aset mereka yang berbilion dollar termasuk nyawa, namun itu tidak dipedulikan oleh Amerika. Jumlah berbilio itu dapat dikumpul kembali apabila mereka memulakan siri serangan kepada negara-negara Islam yang kebanyakannya memiliki hasil minyak.

Tindakan Amerika Syarikat ini dilihat oleh kebanyakan negara bukan sekutunya sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara kerana menceroboh sempadan negara lain tanpa mendapat keizinan negara tersebut dan PBB.

Bagi mendepani kuasa unipolar Amerika, negara-negara bukan sekutu perlulah membentuk gabungan yang besar yang mampu mempunyai kekuasaan ekonomi, politik, intelektual dan juga keselamatan. Tindakan demikian telah diambil oleh Kesatuan Eropah (EU) yang tidak menyenangi tindak-tanduk Amerika. EU dapat berdiri sebagai kuasa ekonomi yang dapat mencabar Amerika. Mereka menggunakan matawang yang sama yang dikenali dengan wang euro yang dapat menggugat dan menurunkan nilai matawang dollar Amerika hingga Malaysia sendiri ada rancangan untuk mensetarakan nilai wangnya berasaskan wang euro. Dari segi politik, EU berdiri teguh sebagai satu entiti atau blok tanpa dapat digugat oleh Amerika begitu juga dengan ketenteraannya jika dapat disatukan makan akan mampu mengugat Amerika Syarikat.

Bagi umat Islam yang mempunyai banyak negara (lebih dari 50 negara) dan mempunyai penduduk melebihi 1.5 bilion orang dan kaya dengan hasil petroleum mempunyai potensi menjadi satu kesatuan negara-negara yang kuat yang tidak boleh diperkotak-katikkan oleh kuasa luar, bahkan boleh menggugat dan mengancam mereka. Namun, malangnya, Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) tidak banyak membantu untuk mengugat kedudukan Amerika Syarikat. OIC seharusnya mendapatkan kerjasama dengan badan-badan antarabangsa yang lain terutamanya PBB dan Negara-negara Berkecuali (NAM), ASEAN, Negara Selatan-Selatan, East Asia bagi menyatakan pendapat, cadangan, pandangan dan ancaman.

Pemilikan senjata nuklear juga mampu mengawal tindak tanduk Amerika seperti yang telah digunakan oleh Iran. Namun, Amerika menyatakan bahawa tindakan Iran mempunyai senjata nuklear akan merosakkan dunia. Namun jika difikirkan Amerika Syarikat juga telah terlebih dulu memiliki senjata Nuklear. Kenyataan Amerika Syarikat itu bukanlah kenyataan yang adil, sebaliknya kenyataan yang dilontarkan itu adalah kenyataan untuk memastikan hanya mereka sahaja yang mampu berkuasa didunia dengan adanya senjata paling berbahaya itu.

Namun peliknya, walaupun Amerika Syarikat memiliki kekuatan ketenteraan, kuasa politik, kewangan dan sebagainya, dunia tetap bergolak, siri perang saudara dan demonstrasi kepimpinan di dalam beberapa negara seperti di Mesir, Libya dan Somalia tetap berlaku. Justeru, apakah agenda Amerika ini? Mengapakah Amerika berdiam diri jika sesuatu rusuhan atau peperangan antara rakyat dan kerajaan di sesebuah negara itu berlaku? Jawapannya ialah Amerika hanya akan datang membantu kerajaan yang menjadi sekutunya dan mampu memberi pulangan yang menguntungkan kepada mereka sahaja. Sebagai contoh, siri perang saudara di Rwanda tidak langsung mendapat perhatian Amerika begitu juga dengan Thailand kerana negara yang bergolak itu tidak mempunyai hasil bumi yang menguntungkan Amerika sebaliknya siri demonstrasi untuk menjatuhkan Muammar Ghadaffi amat mendapat perhatian mereka kerana Libya terkenal dengan sumber minyaknya. Maka, tidak hairanlah mengapa Amerika begitu berminat untuk menghapuskan Muammar Ghadaffi.

Jelaslah kepada kita bahawa Amerika Syarikat yang dikatakan sebagai polis dunia menggunakan segala yang ada dari segi ketenteraan mahupun sokongan kuat dari sekutunya untuk menggugat negara-negara lain yang difikirkan boleh mendatangkan keuntungan kepadanya. Namun begitu, Amerika telah lupa bahawa tindakan mereka itu mengundang rasa tidak puas hati banyak negara kerana Amerika telah melanggar kedaulatan negara lain atas alasan memburu pengganas.

5. KESIMPULAN.

Ternyata Amerika Syarikat merupakan kuasa besar yang mampu mengugat kedaulatan negara lain dengan mencampuri hal ehwal dalaman negara yang sedang bergolak. Campur tangan Amerika ini tidaklah semata-mata ingin menyelesaikan konflik negara yang sedang bergolak sebaliknya mereka mempunyai agenda nakal dan jahat bagi kepentingan mereka.

Kehadiran Amerika Syarikat dalam sesebuah negara sememangnya mengundang rasa gelisah dan takut rakyat kerana belum pernah sejarah menunjukkan kehadiran Amerika Syarikat dalam membantu menyelesaikan konflik negara yang sedang bergolak diakhiri tanpa kematian. Malah yang menakutkan rakyat ialah, kehadiran Amerika ini meninggalkan kesan buruk kepada negara berkonflik kerana Amerika tidak membantu membangunkan semula runtuhan bangunan kesan dari peperangan tersebut dan ditambah lagi dengan jumlah kematian orang awam yang tidak berdosa kesan peperangan.

Namun begitu, kesan ini tidak mampu memberi sebarang jaminan bahawa Amerika Syarikat mampu membawa kestabilan dan keamanan kepada dunia, kerana sikap mereka yang mementingkan diri dan sekutunya dan bukan rasa tanggungjawab kepada kebajikan dunia sejagat. Kita masih boleh melihat bahawa banyak negara yang berkonflik dan mengalami kemiskinan seperti di Somalia, Rwanda, manakala Mesir dengan krisis pentadbiran dalamannya, di Libya pula masih dengan siri demonstrasi rakyatnya. Jika dilihat, negara yang disebut di atas adalah majoriti beragama Islam dan mengapakah Amerika tidak menghulurkan bantuan? Jelas menunjukkan bahawa mereka telah meletakkan peristiwa 11 September sebagai asas menganggap Islam sebagai pengganas dan tidak perlu dibantu. Sebaliknya menganggap negara Islam adalah negara yang melahirkan pengganas.

Bagi EU pula kuasa unipolar yang ada pada Amerika tidak menjejaskan kesatuan tersebut kerana kebanyakan negara kesatuan tersebut tidak mempersetujui tindakan Amerika mencampuri hal ehwal negara lain tanpa mendapat persetujuan dari PBB. PBB pula seakan-akan tidak mampu bersuara apabila Amerika menyuarakan hasrat untuk melancarkan serangan ke atas sesebuah negara. Seolah-olah PBB merestui tindakan Amerika Syarikat walaupun suara majoriti negara ahli menentangnya.

Justeru, kestabilan dan keamanan dunia tidaklah bergantung penuh kepada kuasa unipolar Amerika Syarikat, sebaliknya kestabilan dan keamanan itu datangnya dari sifat hormat menghormati kedaulatan negara lain dan tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara jiran tanpa mendapat persetujuan dari PBB. Selain itu juga, kuasa besar lain seperti China, Perancis, Rusia, dan Britain turut mengimbangi kuasa Amerika dan mengecam tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa. Kuasa unipolar Amerika lebih banyak mendatangkan ketidakstabilan dan rasa huru-hara dunia kerana kehadiran Amerika Syarikat pastinya akan mengundang peperangan.



RUJUKAN

Fukuyama, Francis.1989. The End Of History.National Interest. Summer.
Huntington, Samuel P. 1997. The Clash of Civilizations and the Remaking of World
Order. Great Britain: Simon & Schuster UK Ltd. ms. 233.
Keohane, Robert & Joseph Nye. (sunt.).1972. Transnational Relations and World Politics. Cambridge, Mass.:Harvard University Press.
O’Meara, Patrick, Howard D. Mehlinger & Matthew Krain. (sunt.). 2000. Globalizations and the Challenges of a New Century: A Reader. Bloomington and Indianapolis:Indiana University Press.
Ryan, Stephen. 1990. Ethnic Conflict and International Relations. Dartmouth:Aldershot.
Spiegel, Steven L. (sunt.). 1977. At Issue: Politics in the World Arena. Ed. Ke 2. New York:St.martin Press.
Viotti, paul & Mark Kauppi. 1998. International Relations Theory: Realisme, Pluralisme, Globalism and Beyond. Ed. Ke 3. Boston: Allyn and Bacon.
Waltz, Kenneth. 1959. Man, State and War. New York: Colombia University Press.
Waltz, Kenneth. 1979. Theory of International Politics. New York: Mc-Graw Hill.
Watanabe, Paul Y. 1984. Ethnic Groups, Congress and American Foreign Policy. Westport, Connecticut: Greenwood Press.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Perang_Dingin

No comments:

Post a Comment